SAHABAT BLOG

20 July 2011

Ramai golongan muda Pulau Pinang terlbat rasuah

Pulau Pinang yang diperintah oleh seorang Ketua Menteri yang medakwa beliau mentadbir seperti Umar Abd Aziz telah begitu ramai kaki rasuah di kalangan orang muda. Dalam bahasa mudah, anak-anak muda di Pulau Pinang rajin berasuah. Aku tak tahulah anak muda dari golongan mana samada kakitangan kerajaan ke, kakitangan swasta ke, ataupun orang politik ke, yang jelas angka-angka yang ditunjukkan cukup mengerunkan. Menurut pengarah SPRM Pulau Pinang, 71 peratus ataupun 27 orang daripada 44 jumlah tangkapan adalah golongan muda yang berumur antara 15 tahun hingga 44 tahun. Amboi, 15 tahun pun dah terlibat dengan rasuah. Rasuah polis kot pasal tak ada lesen memandu. Umur 15 tahun rasuah polis dik, bila umur 30 tahun rasuah ahli cawangan pulak, bila umur 40 tahun rasuah ketua bahagian pulak, begitulah ianya berterusan sehingga ke akhirnya. Sumber: utusan.

Rasuah ni satu perbuatan yang jijik. Islam sendiri memandang hina kepada perasuah atau penerima rasuah.  Namun demikian,masih ramai dikalangan orang muda termasuk aku sendiri yang kurang faham dan kurang mengerti rasuah yang bagaimanakah yang dilarang oleh Islam dan tahap keseriusan pandangan Islam mengenai rasuah. Di bawah ini aku catatkan sedikit berkenaan rasuah enurut Islam semoga kita boleh jadikan sebagai panduan. Anak-anak muda yang kurang ilmu tu elok benar ketahui. Aku fikir, bukan Islam sahaja yang kutuk rasuah, agama-agama lain pun turut sama mengutuk rasuah ni. Masalahnya, penganut agama lain kurang mengikuti ajaran agama mereka. Mereka hanya ikut yang mana boleh mendatangkan keuntungan dan keseronokan kepada mereka sahaja. Mana-mana yang boleh menghalang mereka mencari keuntungan dan keseronokan, mereka akan nafikan atau abai-abaikan.

Artikel di bawah ini bukan aku yang tulis, tetapi dipetik dari http://www.ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=1441.


Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuahsyarikat selepas memberi wanghadiah, keraian atau seumpamanya kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) terdapat empat kesalahan rasuah yang utama: meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, dan menyalahguna jawatan/kedudukan.

Rasuah disebut dalam bahasa Arab sebagai ar-rasywah yang membawa maksud sebagai penyambung yang dapat menyampaikan tujuan dengan barang atau harta sogokan.Maksud tersebut diambil dari kata asal rasuah, ar-rasyaa, bermaksud tali timba yang disambung kepada sesuatu dan digunakan untuk mengambil air perigi.

Sementara di dalam kitab al-'Arus, rasuah bererti sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukum sesuatu atau memikul sesuatu seperti yang dikehendaki oleh si pemberi.

Jenayah rasuah yang begitu menular di dalam masyarakat kita hari ini dikatakan telah sampai ke paras yang cukup mencemaskan sehingga timbul saranan agar para penjenayah jenis ini dikenakan hukuman yang lebih berat.  Amalan rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang kian meningkat itu menyebabkan kita tertanya-tanya apakah sistem pengurusan dan pentadbiran kita sedang mengalami keruntuhan akhlak yang sudah tidak terkawal lagi?

Persoalan yang timbul sebenarnya mungkin lebih jauh dari soal hukuman.  Dalam kaitan ini mungkin berfaedah kita merenung persoalan yang lebih dasar iaitu persoalan terhakisnya nilai amanah dalam cara hidup kita.  Ternyata untuk membina budaya hidup yang unggul, tidak cukup hanya dengan kemahiran dan peralatan canggih, tetapi ianya mesti dilandasi dengan kekuatan rohaniah dan nilai-nilai akhlak yang murni.  Dengan kata lain, pembinaan budaya hidup itu mestilah bermula dari pembinaan insan itu sendiri.

Nilai amanah dalam menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan seharusnya berpangkal dari hakikat paling dasar iaitu amanah sebagai matlamat keinsanan yang terpenting. Masyarakat yang telah kehilangan nilai amanah akan segera ditimpa masalah  kepercayaan.  Demikian pulalah halnya dengan kehidupan di dunia ini yang telah kehilangan nilai amanahnya pasti akan runtuh.  
Hakikat inilah yang pernah diisyaratkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bahawa apabila amanah sudah hilang, tunggu sahajalah saat keruntuhannya.  Ketika ditanya bagaimana amanah boleh hilang, Baginda Nabi s.a.w. menjawab "apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan kepada yang tidak layak." (maksud Hadith).  Yang dimaksudkan dengan kelayakan di sini tentulah bukan cuma ketrampilan dan kepakaran tetapi termasuk juga kewibawaan akhlak atau moral integrity.  Penyerahan tugas kepada yang tidak layak memang seringkali terjadi dalam budaya nepotisme dan amalan pilih kasih, atau dalam masyarakat yang sudah tidak lagi merasakan tugas itu sebagai taklif (amanah dan tanggungjawab) tetapi menganggapnya sebagai tashrif (simbol kebesaran).

Jenayah rasuah adalah gejala penyakit rohaniah yang berpunca dari sifat tamak dan ingin cepat kaya dengan cara yang batil.  Penyakit rohaniah yang seperti ini antaranya dapat disembuhkan menerusi ibadah-ibadah khusus yang dilakukan dengan ikhlas sepertimana yang telah disyariatkan oleh Islam seperti  solat, puasa, zakat, haji, zikir dan sebagainya. 

Begitu juga dengan amalan rohaniah seperti membaca, memahami dan menghayati al-Quran yang amat dititik-beratkan dalam tradisi kepemimpinan Islam.  Kerana membaca al-Quran dalam konteks ini harus diertikan sebagai proses muhasabah, mengkritik dan menilai diri.  Inilah yang telah diperlihatkan oleh Khalifah Umar ibn Abd. Aziz, Khalifah Islam yang terkenal dengan keadilan dan amanahnya itu dikatakan mempunyai amalan membaca al-Quran setiap hari, termasuk hari yang paling sibuk.  Tidak ada hari yang berlalu tanpa membaca al-Quran, paling tidak satu atau dua ayat.

Pada masa yang sama juga kita tidak menafikan bahawa Islam memerintahkan kita untuk mencari rezeki.  Sumber rezeki ialah dari Allah yang bersifat Raziq. Ini bererti bahawa mencari rezeki ada hubung-kaitnya dengan Tuhan.  Kesedaran tentang Tuhan dalam kegiatan harian akan membentuk sikap yang betul dalam hidup.  Keyakinan terhadap Allah sebagai Tuhan yang memberi rezeki menumbuhkan sikap optimis dalam menghadapi kegiatan hidup, bahawa rezeki ada di mana-mana asalkan dia mahu berusaha.  Namun ia juga sedar bahawa Tuhan tidak cuma memberi rezeki, tetapi juga menentukan kadarnya.  Ia harus rela menerima kadar rezekinya dan tidak perlu tamak.  Kadar ketentuan rezeki dari Tuhan itu ada hikmahnya kerana andainya Tuhan melayani segala kemahuan manusia nescaya manusia itu sendiri akan rosak dan melampaui batas.

Kesedaran bahawa rezeki itu anugerah Allah akan menumbuhkan pula rasa keterikatan dengan hukum dan nilai keTuhanan.  Rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal tanpa merugikan orang lain akan membawa barakah atau keberkatan.  Barakah adalah satu lagi nilai yang dapat membentuk perilaku seseorang.  Hanya yang halal yang akan membawabarakah, sedang yang haram hanya akan membawa padah.

Seterusnya kesedaran bahawa rezeki adalah juga amanah dari Allah akan menumbuhkan pula sikap bertanggungjawab dalam membelanjakan harta.  Setiap ringgit akan dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah.  Kesedaran tentang kekayaan sebagai ujian Tuhan akan dapat mewujudkan budaya hidup yang sederhana dan menghindari gaya hidup bermewah-mewah. 

Pemilik mutlak segala kekayaan adalah Tuhan sendiri.  Manusia pada hakikatnya hanya penerima amanah.  Anggapan kononnya setiap orang berhak membelanjakan hartanya sesuka hati, termasuk untuk hidup bermewah-mewah dan membazir adalah tidak benar.  Biasanya gaya hidup bermewah-mewah itulah yang menjadi penyebab utama pelbagai jenayah rasuah itu.  Seorang pengurus yang melakukan penipuan berjuta-juta ringgit bukanlah terdesak untuk memenuhi keperluan asasi hidupnya, tetapi lebih kepada  memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah-mewah.

Dalam bahang pembangunan masa kini yang lebih terarah kepada kepuasan nafsu, peranan agama terasa semakin penting.  Tanpa panduan agama, insan yang diserahkan tanggungjawab untuk menguruskan amanah negara, akan bertukar menjadi manusia yang rakus dan boros.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan nafsunya dipenuhi. Oleh yang demikian, demi mewujudkan budaya hidup yang bersih dari gejala rasuah, agama harus menjiwai dan menyatu dalam budaya kerja.

Memang undang-undang dan hukuman yang setimpal boleh membentuk perilaku seseorang.  Tetapi ada manusia yang dengan kepintarannya tidak pernah kehabisan helah untuk melepaskan diri dari undang-undang.  Malah dalam budaya hidup sekarang dengan  adanya dikotomi atau pemisahan di antara undang-undang dengan moral, orang boleh saja melakukan perbuatan-perbuatan tidak berakhlak tetapi dianggap sah menurut undang-undang.  Lalu timbullah ungkapan ‘legally right, but morally wrong'.  Sesungguhnya kecelaruan dan kekeliruan ini menuntut perhatian yang lebih besar dan iltizam perubahan yang bersungguh-sungguh, kerana sebahagian besar dari apa yang disebut sebagaiproblem of humanity (masalah kemanusiaan) zaman ini pada hakikatnya adalah problem of morality  atau masalah akhlak dan kerohanian. (rujukan:http://www.ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=1441).

No comments: