SAHABAT BLOG

26 April 2010

Budaya Lapuk Politik Negara

Mingguan Malaysia 25 April 2010

Setiap kali ada pilihan raya sama ada umum (PRU) atau kecil (PRK), penduduk kawasan terlibat akan bersorak gembira kerana mereka akan mendapat peruntukan sana sini dan boleh menuntut itu dan ini. Tidak cukup dengan itu, ada yang begitu berani menggugut untuk mengundi parti lain atau berpaling tadah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Bagi parti yang mahukan kemenangan, sudah tentu peruntukan disalurkan kerana jentera tidak akan bergerak tanpa habuan. Kawasan terbabit akan mendapat jalan baru, tar baru, tapak sekolah baru, kemudahan sekolah baru, pelbagai projek pembangunan baru dijanjikan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Tidak salah, cuma kadang kala naik sebu telinga mendengarnya. Namun, apakan daya inilah realiti budaya politik kita yang diharapkan akan berubah.

Jika ianya berterusan, selepas ini saya bimbang, rakyat saban hari akan berdoa kepada Tuhan supaya wakil rakyat mereka meninggal dunia atau mati cepat. Logiknya mudah, apabila berlakunya kematian wakil rakyat seperti parlimen Hulu Selangor ini, maka PRK akan diadakan. Kawasan tersebut tiba-tiba menjadi meriah. Episod menagih janji dan menunaikan janji, serta tuntut menuntut pun bermula. Sekelip mata kita akan dapat melihat perubahan wajah fizikal kawasan yang terbabit. Begitulah yang berlaku di parlimen Hulu Selangor, antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Boleh dikatakan semua orang mendapat manfaat.

Tidak kurang yang mendapat keuntungan segera hasil kemeriahan tersebut. Hotel dan rumah tumpangan penuh, makanan habis dijual di restoran-restoran dan berbagai lagi. Sebelum ini ramai yang tidak buat kisah keadaan Hulu Selangor kerana satu pihak telah menang, dan satu pihak lagi telah kalah, sehinggalah wakil rakyatnya meninggal dunia. Sepatutnya yang menang menjaga kawasan, yang kalah memantau. Keadaan berlaku sebaliknya.

Budaya ini menunjukkan bahawa seolah-olah pilihan raya adalah medan untuk mendapatkan sesuatu habuan, bukannya untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa perubahan ke arah lebih baik daripada yang sebelumnya. Trend ini menunjukkan bahawa kita masih belum matang dalam kehidupan berpolitik dan berpilihan raya berbanding dengan negara maju.

Ulasan saya:

Saya teramat bersetuju dengan Dr. apabila Dr menyatakan bahawa apa yang dipamerkan dan dihidangkan di dalam kempen PRK Hulu Selangor dan PRK yang lainnya adalah budaya berpolitik orang kita. Apabila disebut dan dicop sebagai budaya, sudah tentu ianya amat sukar untuk dihapuskan. Saya percaya budaya ini telah meresapi ke dalam jiwa setiap parti yang samada pemerintah atau pembangkang.

Sehubungan dengan itu, jika ingin melihat dan mewujudkan satu budaya baru di dalam pemilihan pemimpin kita melalui pilihanraya, para akademik dan bijak pandai hendaklah menyarankan bagaimanakah sepatutnya dilaksanakan oleh setiap parti untuk lebih matang di dalam pilihanraya dan seterusnya setiap parti hendaklah melakukan pengorbanan untuk meninggalkan budaya lama dan menerima budaya baru yang disarankan oleh para bijak pandai kita. Kalau tidak , sampai bila-bila kita akan berterusan mengamalkan budaya lama dalam berpolitik. Apa budaya lama itu, seperti menabur janji-janji,menabur duit, projek-projek segera, fitnah- menfitnah, ejek-mengejek, memburukkan peribadi calon-calon dan sebagainya. Ini semua adalah budaya yang telah diwariskan sejak turun temurun. Budaya ini akan menghalang dan membelenggu fikiran rakyat untuk memilih pemimpin yang berkualiti di kalangan mereka. Pemimpin yang berkualiti tidak semestinya datang daripada parti pemerintah sahaja. Semua orang layak untuk menjadi wakil kepada rakyat. Budaya politik kita, apabila wakil rakyat bukan daripada parti pemerintah, maka dia tidak akan dibantu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

No comments: