SAHABAT BLOG

26 April 2010

BN berjaya menewaskan PKR ( 24,997 - 23,272 )di Hulu Selangor


HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.


Ulasan: Berita ini dipetik daripada Utusan Online. Memang patut pun BN menang kerana Kamalanathan telah berusaha dengan begitu gigih menemui para pengundi disegenap ceruk rantau. Ada berita mengatakan bahawa beliau telah berjaya menemui seramai 60,000 orang pengundi. Ternyata langkah beliau itu telah memberikan kesan positif kepada beliau dimana 24, ooo lebih telah memilih beliau untuk menjadi calon. Tanpa di bantu usaha gigih Kamalanathan ini, saya percaya peluang BN untuk menang adalah tipis. Walaupun begitu banyak janji-janji dan juga projek-projek segera yang ditabur dan dilaburkan oleh kerajaan BN, aku percaya bahawa semuanya ini tidak menjadikan rakyat rabung mata. Para pengundi sudah tidak termakan dengan taktik lapuk kerajaan BN ini kerana ianya begitu mudah dipatahkan oleh pihak parti lawan. Namun demikian, pihak parti lawan tidak berupaya untuk mematahkan senjata yang dimiliki oleh Kamalanathan itu sendiri iaitu kegigihan beliau menemui para pengundi disegenap ceruk rantau. Secara peribadi aku berpendapat bahawa kemenangan BN di HS adalah kemenangan peribadi Kamalanathan.

Kesimpulannya, jika BN hendak memenangi PRU 13, faktor utama adalah Calon dan bukannya janji-janji pembangunan dan projek-projek segera. Tahniah kepada Kamalanathan, dan tunaikan janji-janji yang telah ditaburkan semasa berkempen.

No comments: