SAHABAT BLOG

08 October 2008

mEMBUAT lEMANG

Membuat lemang setiap kali musim perayaan sudah menjadi satu kemestian bagi keluarga aku. Boleh dikatakan setiap tahun , keluarga aku membuat lemang. Bukan sahaja keluarga aku, bahkan ianya seperti menjadi satu tradisi bagi penduduk di kampung aku. Di kejiranan aku, semua keluarga membuat lemang kecuali seorang jiran aku yang aku panggil Tok De Saudah. Beliau ini boleh di katakan setiap musim perayaan membuat pulut ’akap’. Mungkin ada yang tidak kenal bagaimana bentuk dan rasa pulut dakap. Pulut dakap ialah beras pulut yang dibungkus dalam dalum pisang atau daun lerek dan didakap atau pun melekat antara satru sama lain dan diikat menggunakan tali yang kebiasaannya daripada daun mengkuang. Inilah kelainan yang ada pada Allahyarham Tok De saudah.

Masa dan ketika untuk membuat lemang ini yang kadang-kadang menjadi kekeliruan kepada mak dan kawan-kawannya. Ini disebabkan penentuan raya kebiasaannya ditentukan dengan melihat anak bulan. Ada ketikanya lemang yang dibuat awal daripada sepatutnya kerana anak bulan tidak kelihatan dan raya ditunda kehari berikutnya. Ini adalah cabaran-cabaran yang kadang-kadang menjadi masalah juga kepada mak dan kawan-kawannya, iaitu Mak Long Sulong, Mak Su Siti, Nani Pak Din dan juga kakak aku yang sulong.

Mencari Buluh Lemang dan daun Lerek

Mencari buluh lemang yang baik adalah satu kepakaran arwah ayah aku. Ayah aku dan kawan-kawannya akan keluar mencari buluh lemang pada 28 Ramadhan ataupun 29 Ramadhan. Buluh lemang adalah sejenis buluh nipis. Buluh lemang mempunyai ruas yang panjang kira-kira dua kaki. Buluh lemang yang digunakan untuk membuat lemang adalah buluh lemang terpilih yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda. Bagi yang tidak kenal dengan buluh lemang, kadang-kadang mereka terkeliru dengan sejenis buluh nipis yang seakan buluh lemang, ianya dipanggil buluh nipis telur. Buluh nipis telur ini kebiasaannya digunakan untuk membuat dinding rumah. Di sebelah rumah aku, terdapat seperdu buluh lemang, tetapi kini sudah tiada.

Buluh lemang yang ditebang akan dipotong dengan menggunakan pisau yang tajam. Ada sesetengah pihak menggunakan gergaji. Penggunaan pisau yang tajam amat perlu kerana jika tidak , buluh lemang itu boleh pecah semasa proses memotongnya. Buluh lemang itu dipotong pada setiap ruasnya dengan meninggalkan lebih kurang 2 inci daripada buku. Buluh lemang itu dipotong daripada hujung dan bukan dari pangkalnya. ini bermakna pangkal batang lemang ialah sebelah hujung. Setelah dipotong, maka buluh lemang dibuang miangnya dengan menggunakan sabut kelapa dan dibasuh. Selepas di basuh, buluh lemang akan disusun secara terbalik bagi tujuan menyejat air.

Ada satui tahun aku diajak oleh Pak Long Sahak untuk mencari buluh lemang. Aku, Pak Long Sahak, Saiful, Pak Din dan Pak Lah telah pergi mencari hingga ke sempadan Kampung Kemat. Kami bertolak dari pagi. Dalam perjalanan ke tempat buluh lemang, kami melalui tanah rancangan getah RISDA dan kebetulan pokok cempedak sedang berbuah. Kebetulan ada sebiji buah cempedak yang sedang elok masaknya, maka Aku, Pak Din dan Pak Lah makan le. Tak puasa le kami pada hari tu. Manakala yang lain masih bertahan berpuasa. He he he .

Selain buluh lemang, daun lerek adalah satu kemestian dalam proses membuat lemang di kampung aku. Mak dan ayah aku jarang menggunakan daun pisang kerana penggunaan daun lerek lebih memberikan keharuman kepada lemang. Daun pisang digunakan oleh orang Bandar je kerana mereka tak dapat nak cari daun lerek. Asalnya pembuatan lemang menggunakan daun lerek. Daun lerek adalah sejenis daun yang lebar-lebar sepanjang dua atau tiga kaki. Ada dua jenis daun lerek yang biasa digunakan iaitu daun lerek lapam yang berbentuk lebar seperti ikan lapam dan daun lerek tilam yang lebih tirus seperti bentuk ikan tilam. Kebiasaannya mak aku dan kawan-kawannya akan memastikan setiap orang mempunyai buluh dan daun yang mengcukupi. Daun lerek ini akan dibasuh dan dilap dengan kain bagi menghilangkan segala kotoran yang ada dan untuk melembabkan daun tersebut.

Setelah daun lerek dan buluh lemang telah disediakan, maka mak aku akan menyukat beras pulut. Prosesnya menentukan sukatan beras pulut akan ditentukan bergantung kepada berapa banyak buluh lemang yang ada. Segatang beras pulut memerlukan 10 batang buluh lemang tetapi bergantung besar kecik buluh. Kebiasaannya buluh sebesar lengan orang dewasa. Beras pulut ini akan dibasuh dan disejatkan selama lebih kurang dua jam sebelum ianya diisi ke dalam buluh lemang.

Kebetulan aku pulang ke kampung pada musim raya tahun ini, maka aku berkesempatan untuk bertanyakkan kepada mak aku cara-cara membuat lemang. Raya tahun ini, mak aku telah dibantu oleh Menantu bongsunya iaitu suami adik perempuan aku membuat lemang. Rasa lemang masih tidak berubah sepertimana mak aku buat dulu.

Aku tanya mak aku, bagaimana sukatan santan yang diperlukan untuk membuat lemang. Mak aku cakap sebiji kelapa untuk secupak ataupun sekilo beras pulut. Kelapa ini diperah dua kali. Kalau masa arwah ayah aku masih hidup, tugas-tugas memerah kelapa diserahkan kepadanya kerana kudrat beliau lebih gagah berbanding mak aku. Tetapi bila arwah dah meninggal dunia, tradisi memerah kelapa itu diserahkan kepada aku. Walaupun kudrat aku kuat, tetapi teknik memerah santan yang betul tidak kupelajari dari ayah aku. Oleh yang demikian santan yang terhasil tidaklah sebanyak yang diperah oleh ayah aku. Raya tahun ni, aku langsung tak usik untuk membuat lemang kerana aku balik raya lewat.

Apabila santan telah siap diperah dan ditapis, maka garam, gula dan bahan perasa ( aji no moto ) pun dimasukkan secukup rasa. Memasukkan bahan-bahan ini memerlukan kemahiran. Jika tidak , lemang akan memberikan rasa masin, tawar ataupun terlebih manis. Kemudian, beras pulut yang telah siap direndam dan disejatkan akan dimasukkan ke dalam santan dan direndamkan buat seketika. Sekepas itu beras pulut itupun diisi ke dalam buluh yang tersedia di alas dengan daun lerek. Ketika proses memasukkan beras pulut ke dalam buluh lemang ini, mak dan arwah ayah aku akan sama-sama memasukkan. Setelah semua beras telah dimasukkan, santanTidak ada petua dan pantang larang yang diamalkan, Cuma yang penting jangan diisi terlampau penuh kerana bila ianya mendidih, santan akan melimpah keluar. Bagi memastikan lemang itu padat, maka hendaklah buluh-buluh lemang itu dihentak-hentak supaya beras-beras itu padat. Jika tidak , beras-beras itu tidak padat dan lemang yang akan terhasil akan terburai bila dikeluarkan. Masa aku kecil-kecil dulu, aku dan adik-adik aku biasa bakar lemang olok-olok. Kami mengisi buluh lemang yang lebih dengan hampas kelapa dan kami pun bakar bersama.

Pernah suatu masa, musim durian jatuh dalam musim perayaan. Maka, aku dengan idea kreatif aku telah mencampurkan durian dalam salah satu lemang. Ini untuk percubaan kata aku. Mak aku tak cakap apa-apa kerana itu memang aku yang saje nak buat. Bila dah masak, rasanya memang sedap daripada lemang biasa kerana ada rasa durian.

Membakar lemang

Ayah aku ditugaskan untuk membuat ‘pangar’ lemang ataupun tempat membakar lemang. Ini adalah satu tugas mudah. Cari je 4 batang anak pokok sebesar lengan yang ada ‘cangat’ ataupun cabang dan 2 batang kayu lurus. Apabila lemang telah siap diisi dalam buluh yang ada daun lerek, maka api pun dinyalakan. Apabila api telah dihidupkan, maka buluh-buluh lemang itupun diletakkan diatas ‘panggar’. Api yang digunakan pada peringkat awal ini adalah api yang nyala. Sama seperti kita memasak nasi. Pada peringkat awal, api mestilah kuat supaya lemang itu mendidih. Jika ada lemang-lemang kekurangan santan, maka mak aku akan menambahkan santan. Sebagai petua, salah satu daripada lemang-lemang itu dijadikan piawaian dimana pelepah pisang sebesar jari telunjuk anak saudara aku yang berumur tiga tahun dimasukkan ke dalam lemang piawaian itu.

Apabila lemang telah kering, maka kenyalaan api pun diperlahankan secara beransur-ansur. Lemang-lemang hendaklah dipusingkan seberapa kerap supaya masak sekata. Jika tidak lemang akan berkerak. Api hendaklah dilaraskan supaya sekata dan jangan terlalu besar dan tidak terlalu kecil nyalaannya. Menjaga api dalam proses membakar lemang adalah satu tugas yang paling rumit.

Apabila lemang dah kering, api pun akan disuraikan dan yang tinggal hanyalah bara-bara api sahaja. Apabila dirasakan lemang sudah hampir masak untuk memastikan lemang dah masak ke belum ada dua cara. Pertamanya pelepah pisang dalam lemang piawaian akan ditarik keluar untuk memastikan samada lemang dah masak ke belum. Keduanya lemang piawaian itupun diangkat dari tempat pembakaran dan dibelah untuk memastikan lemang dan masak atau belum. Kebiasaannya tidak pernah terjadi jangkaan mak dan ayah aku yang tidak tepat, Cuma kadang-kadang kepala lemang yang lambat masak. Maka mak aku akan merendahkan kepala hujung lemang dengan ‘adjust’ kedudukan kaki lemang. Proses membakar lemang ini kadang-kadang memakan masa yang lama. Kebiasaannya mak aku mula meletakkan lemang di’panggar’ pukul 3-4 petang, dan lemang akan siap dibawak masuk ke dalam rumah lebih kurang pukul 9-10 malam. Lupa nak bagi tau, raya tahun ni, mak aku buat lemang 4 kilo beras.

Memakan Lemang

Kalau dulu, mak aku tidak begitu biasa membuat rendang. Lemang cuma dimakan dengan air madu ataupun gula. Penggunaan rendang hanyalah dibuat setelah aku merasa nak buat rendang. Sebenarnya sejarah membuat rendang dirumah aku dimulakan oleh aku kira-kira 10 tahun dulu. Aku yang memulakan memasak rendang ayam setelah aku mememinta resepi-resepi daripada kawan-kawan. Itu pasal setiap kali musim perayaan, adik perempuan aku akan meminta kau membuat rendang. Sebenarnya aku bukan reti pun membuat rendang, tetapi aku pakai masuk saje bahan-bahan yang aku rasa nak masukkan seperti halia, lengkuas, kunyit, daun kunyit, asam keeping, kerisik dan santan, bawang merah dan bawang besar tidak ku l;upa nak taruhklan sekali. Bukannya sedap mana pun rendang yang aku buat, tetapi mereka asyik suruh aku buat setiap kali raya. Aku sendiri tak pernah memuji rasa rendang yang aku buat. Sedap ke??

Raya tahun ini, aku tak buat rendang dan tugas memasak rendang telah diambil alih oleh adik ipar aku iaitu suami adik perempuan aku. Rasanya boleh tahan dan aku fikir mungkin lebih sedap daripada rendang yang aku buat. Aku paling gemar makan bahagian lemang yang paling bawah, ataupun aku panggil ‘ pantat’ lemang kerana semua lemak-lemaknya turun ke bawah. Manakala bahagian paling atas ataupun dipanggil ‘kepala lemang’ paling tidak digemari kerana ianya lembik dan kadang-kadang masih mentah jika tidak kena caranya.

Petua memakan lemang, jangan memakan lemang ketika ianya masih terlalu panas kerana jika kita makan lemang semasa ia baru diangkat dari atas tempat pembakaran, maka cepat muak iaitu kita akan hilang selera hendak makan lagi.

Penutup

Inilah tradisi membuat lemang di rumah aku. Walaupun cerita ini tidak lengkap tetapi sekurang-kurangnya ianya ada direkodkan untuk tatapan generasi akan datang. Adakah tahun depan aku masih berkesempatan untuk membuat lemang brsama-sama ibu aku, hanya Allah yang MAHA mengetahui. Aku berdoa semoga dipanjang usia kami semoga kemeriahan tradisi membuat lemang keluarga aku tidak akan berkurangan. Amin.

5 comments:

Muhammad Azli Shukri said...

ikuti ulasan saya tentang KJ di azlishukri.blogspot.com

Yb Nasir said...

InsyaALLAH,berkat doa saudara dan para penyokong,insyaALLAH dapat saya menduduki kerusi ahli majlis tertinggi nanti,saya berharap saudara dapt menyokong dan membantu saya sedikit sebanyak dalam mendapatkan pencalonan di bahagian-bahagian dan undi,insyaALLAH

RAJA SIBER said...

cerita yang menarik jika dihiasi gambar yg sesuai lagi maka menarik lagi. terus berkarya.

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

salam dan selamat berkenalan....

http://aberamly.wordpress.com

http://ramlyotai.blogspot.com

putrarahman said...

Terima kasih Raja Siber, saya hargai pandangan anda. Teruskan memberi komen yang membina.