SAHABAT BLOG

15 October 2008

rAYA pERTAMA

Akibat keletihan kerana memandu seharian dari KL ke Kuala Berang,. pagi itu aku sembahyang subuh sekitar jam 6.45 pagi. Nasib baik isteri aku tak terlupa untuk meneruskan mengejutkan aku setiap pagi. Kalau tidak tentu terlewat aku bangun pada pagi itu. Selepas sembahyang subuh, aku kejutkan Along, Angah dan Acik. Nampaknya keajaiban hari raya dapat kulihat, tanpa banyak kali dikejutkan anak-anak aku terutama Along begitu mudah dikejutkan. Sekali aku sebut hari raya je, mereka lantas bangun dan mandi. Si Angah sibuk menanyakan niat untuk mandi sunat hari raya kerana katanya Ustaz Suhaimi ada mengajar, tetapi dah lupa katanya. Nasib baik aku tidak tersasul untuk sebutkan niat mandi wajib. Macam-macam si Angah ni.

Pukul 7.30 pagi, kami sekeluarga kecuali isteri aku dah bersiap-siap dengan baju baru. Tahun ini adalah tahun pertama dalam sejarah hidup, aku memakai baju melayu teluk belanga iaitu baju Melayu Johor. Aku tak berapa pasti, adakah sesuai baju Melayu Johor ini sesuai dengan aku, kerana leher aku ini tergolong dalam golongan makhluk yang berleher jinjang. Kawan aku Zuki Dollah Pak Ndah Isa pernah kata, sesiapa yang berleher jinjang ini pandai mengalunkan azan. Tetapi bagi aku kenyataan itu mungkin ada benarnya tetapi untuk orang lain, bukan aku. Setetlah semua bersiap, kami pun makan nasi dagang yang Mertua aku siapkan, lemang pun ada. Memang tradisi orang kampung aku dan juga orang kampung isteri aku, pada pagi hari raya pertama, kueh raya langsung tidak diusik. Kami biasanya akan menyiapkan hidangan istimewa seperti nasi dagang, nasi minyak ataupun nasi ayam disamping lemang atau ketupat. Jadi, memang senak perut pada hari raya pertama kerana setiap rumah yang dikunjung akan menyiapkan hidangan istimewa yang menjadi tradisi masing-masing.

Setelah habis maka, aku pun mula nak ke masjid. Aku ajak angah, tetapi tak maunya dia. Isteri aku memang semenjak kahwin dengan aku jarang pergi sembahyang raya. Dia yang masih belum mandi. masih lagi mengemas-ngemas rumah yang tidak sempat dikemaskan pada sebelah malamnya kerana masih modify baju raya.

Kat depan rumah, Mat Amin, iaitu jiran sebelah aku sedang memanaskan enjin kereta Myvinya. Ndah Yunus pun sudah ada dalam kereta,

“ Nak gi sembayang kat ane?” Tanya Mat Amin pada aku.

“ Ikut mung le”. Aku jawab. Memang aku tak ada rancangan nak sembahyang di masjid mana pun.

“ Kite gi sembahyang raya Kg Lebak”. Ajak Mat Amin. Mat Amin memang aku tahu akan bersembahyang raya di masjid yang menjadi pilihan para penyokong PAS. Aku ikut je.

“ Ok, tak jadi hal”. “Aku ambik air sembahyang kejap” Jawap aku sambil mencapai songkok raya tahun lepas.

Aku, Mat Min dan Ayah dia menaiki kereta MyVi ke kampung Lebak. Sebaik sahaja masuk dalam kereta, Mat Amin menghulurkan kad ( kertas Photostat je) jemputan jamuan hari raya bekas Ahli Parlimen PAS, Ustaz Muhyidin.

“ Kalau ada Masa, jemput le, Uztaz Muhyidin buat majlis rumah terbuka belakang pejabat Pos” Kata Mat Amin pada aku.

“ Tengok le”. Aku jawab tanpa memberikan komitmen sambil memasukkankad tersebut ke dalam dalam poket. Mat Amin tahu aku adalah penyokong atas pagar. Itu pasal dia berani ajak aku ke majlis-majlis yang dianjurkan oleh PAS. Malah pada PRU12 yang lalu, aku ikut Mat Amin berada dalam bilik gerakan PAS kawasan Hulu Terengganu.

Dalam kereta tak banyak yang diceritakan atau dibualkan. Cuma bercerita pasal isu-isu semasa dan juga pasal memancing udang. Kalau ada masa, aku tak lepaskan peluang untuk turun memancing bersama-sama Mat Amin memancing Di Tepi Air Berang. Tetapi dalam sejarah hidup aku, tak pernah kail aku dimakan oleh udang. Itu pasal aku tak berapa yakin dapat menaikan udang setiap kali memancing dengan beliau.

Kami bertolak lebih kurang pukul 8.15 pagi. Sampai di Kampung Lebak, orang masih lagi kurang ramai kerana masih awal. Rupa-rupanya Mat Amin ajak sembahyang di Surau Kampung Lebak, aku ingatkan Masjid. Tetapi tak jadi soal kerana ianya bukan sembahyang Jumaat.

“ Duit bina surau ni, semuanya atas derma orangramai”. Jelas Mat Amin. Memang jelas kelihatan surau tersebut dibiayai oleh derma orang ramai kerana beberapa Bahagian yang masih belum siap. Karpetnya yang menjadi alas sembayang pun masih belum cukup sepenuhnya.

Imam yang membaca khutbah aku dengar telo Indonesia campur Terengganu. Aku agak ini mesti Ustaz Hashim yang selalu bagi ceramah di Kampung kami. Ustaz Hashim ini memang dikenali sebagai Imam yang telus bila berkhutbah. Beliau begitu disukai oleh kebanyakkan ahli PAS, kerana disebabkan ketelusan beliau bila menyampaikan ceramah. Antara kandungan khutbah beliau yang menarik perhatian aku ialah doa yang dipohon oleh Abu Jahal kepada Allah semasa peperangan Badar. Doa ini yang dibaca oleh Ustaz Hashim, belum pernah aku dengar sebelum ini.

“Ya Allah! Dia (maksudnya nabi Muhammad SAW) telah menyebabkan hubungan persanaan (silaturahim) antara sesama kami terputus, dia telah datang kepada kami dengan sesuatu yang tidak kami kenal, karenanya, hancurkanlah dia esok hari.?” Ini doa Abu Jahal.

Nabi Muhammad S.A.W juga memohon doa kepada Allah S.W.T semasa peperangan tersebut. Maka terjadilah peperangan doa antara kedua pemimpin dalam peperangan badafr tersebut.

“Jika sekelompok ummat ini binasa, Engkau (ya Allah) tidak akan disembah lagi di bumi.?”. Ini Antara kandungan doa yang dipohon oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Selesai sembahyang sunat Hari Raya, aku pun bersalam-salaman mana-mana orang yang berada di situ. Tidak semua jemaah dapat ku salami. Kalau di kampung aku, kami akan beratur mengikut saf dan setiap orang akan berpeluang menyalami setiap Jemaah dan memohon kemaafan zahir dan batin di samping berbalas-balas ucapan selamat hari raya. Tradisi ini telah lama diamalkan dan aku fikir ianya adalah sesuai diamalkan jika jemaah Masjid itu tidak terlalu ramai. Tradisi kampung aku juga masih mengekalkan tradisi membawa hidangan atau juadah ke masjid setiap pagi raya. setiap keluarga akan membawa juadah istimewa masing-masing ke masjid. Ada yang bawa ketupat, lemang, rendang, tapai, nasi minyak, nasi dagang, nasi pulut dan bermacam-macam jenis lagi. Waktu inilah para jemaah Masjid berpeluang untuk menjamah makanan yang menjadi kegemaran mereka. AKu biasanya akan mencari mana-mana hidangan yang mempunyai Tapai Pulut.

Kami pulang ke Kampung setelah selesai sembahyang kira-kira pukul 9.30 pagi. Jemaah yang lain pun turut pulang. Sampai di rumah, isteri aku dah bersiap-siap. Aku dan anak-anak sekali lagi menjamu selera dengan lemang pulak. Aku bertandang kerumah jiran-jiran berhampiran. Di rumah Mat Amin aku makan nasi beriani. Di rumah Abang Zul, aku tak makan apa-apa kerana ramai tetamu lain. Aku terliur nak makan laksa penang, tetapi perut masih kenyang. Selesai aku beraya di rumah jiran-jiran, aku ajak isteri dan anak aku balik untuk berjumpa dan beraya dengan keluarga aku pulak di kampung Dusun.

Kami sampai di Kampung kelahiran aku tetapi bukan kampung kelahiran mak aku, lebih kurang pukul 2.00 petang. Aku dan keluarga bermaaf-maafan dengan mak dan ahli keluarga yang lain.

1 comment:

Yb Nasir said...

Terima Kasih atas pandangan saudara,insyaALLAH saya akan cuba untuk meningkatkan lagi prestasi di dewan,tetapi sebenarnya saudara ianya bukan semudah yang dilihat,saya berharap saudara juga dapat membantu saya dengan apa cara sekalipun,insyaALLAH,demi memartabatkan bangsa