SAHABAT BLOG

28 October 2013

DS Najib Lemah atau Terbuka?


DS Najib dan pentadbiran beliau bakal dilanyak teruk oleh Tun Dr,Mahathir. Ini bukan aku yang kata tetapi PAS yang kata. Kenyataan dan andaian PAS ini disuarakan Naib Presiden mereka iaitu Salahuddin Ayub. PAS beranggapan Tun mengkritik pentadbiran DS Najib disebabkan peranan besar DS dalam memastikan penyandang Naib Presiden UMNO memenangi pertandingan 6 penjuru bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan baru-baru ini. Peranan DS Najib ini secara tidak langsung telah menyebabkan Mukhriz kecundang bagi merebut salah satu jawatan tersebut. Dalam kata lain, PAS beranggapan bahawa  Tun  berdendam kerana anak beliau kecundang. 
 
Pada pendapat aku, kalau melihat kepada corak dan cara DS Najib mentadbir negara memang ada kelemahannya. Perkara ini telah lama berlaku semenjak beliau mengambil alih pentadbiran dari Pak Lah. DS Najib dilihat terlebih memberi muka kepada kaum lain terutama kaum Cina dengan tujuan kaum Cina akan memberi undi kepada BN semasa PRU13 baru-baru ini. Namun hakikatnya, orang Cina merasakan bahawa apa yang dilakukan oleh DS Najib itu bukannya sesuatu yang istimewa dan bukan sesuatu yang patut diberi penghargaan. Mereka beranggapan itu merupakan kelemahan DS Najib. 

Pada masa yang sama, puak-puak pembangkang telah memberikan tekanan yang cukup hebat kepada DS Najib. Peluang ini telah diambil oleh NGO-NGO yang ekstrem untuk menyuarakan tuntutan mereka. Kelemahan dan lambat bertindak Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh sepupu DS Najib telah menyebabkan perjuangan para NGO ini semakin sukar untuk dibendung. Yang paling terkini dan paling berbahaya kepada negara ialah gabungan 54 NGO ataupun dikenali sebagai COMANGO. COMANGO ini dikhabarkan akan membawa perjuangan mereka kepada persidangan hak asasi PBB bagi menuntut kebebasan beragama, kebebasan perkahwinan sejenis dan banyak lagi. Tuntutan ini secara zahirnya bertentangan dengan perlembagaan dan roh sebuah negara Islam.

Isu lain terdahulu dari itu ialah berkenaan tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh kristian. Mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa Majalah mingguan kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada God di dalam penerbitan bahasa Melayu mereka. Walaupun keputusan Mahkamah itu telah jelas, tetapi pihak kristian dengan disokong oleh Pakatan Rakyat masih lagi memainkan isu berkenaan. Walaupun tidak dinyatakan tujuan mereka secara tersurat, tetapi secara tersiratnya boleh dibaca. Mereka sengaja memainkan isu ini secara berterusan kerana mereka akan membawa isu ini ke mahkamah persekutuan. Mereka mengharapkan para hakim mahkamah persekutuan  akan terpengaruh dengan kenyataan-lkenyataan mereka dan seterusnya memberi kemenangan kepada mereka. 

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, aku fikir sudah sampai masanya seseorang yang berpengaruh untuk menegur DS Najib dan pentadbiran beliau. Oleh yang demikian, aku tidak terkejut jika sekiranya Tun Mahathir mengambil tanggungjawab tersebut. Kalau sebelum PRU13 dahulu, Tun Mahathir mungkin banyak bersabar demi untuk memberi kemenangan kepada DS Najib, tetapi tidak kali ini. Sudah sampai masanya DS Najib wajib disedarkan dari fatamorgana beliau semoga ianya belum terlewat untuk beliau melakukan sesuatu. 

Kalau nak baca kritikan Tun Mahathir dan ulasan PAS, sila klik di SINI dan di SINI LAGI

No comments: