SAHABAT BLOG

19 March 2011

Swasta Hendaklah Dahulukan Bahasa Melayu - Muhyidin Yassin

Aku sebenarnya tidak mahu mengulas panjang tentang apa yang diucap dan disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri berkenaan penggunaan Bahasa Melayu di dalam sektor awam dan swasta.  Apa yang disaran dan dicadangkan oleh beliau amatlah saya setuju dan mengalu-alukan. Suatu jawatankuasa hendaklah ditubuhkan dipengerusikan oleh TPM sendiri untuk memantau perkara ini agar segala saranan dan cadangan oleh beliau itu  menjadi kenyataan. 

Sebagai permulaan, aku cadangkan supaya perlaksaan KPI ini dimulakan di syarikat-syarikat milik kerajaan ataupun GLC dan GLIC kerana sebagai sebuah entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, sudah tentu merekalah terlebih utama untuk mematuhi segala  arahan kerajaan.

Pengalaman ku semasa bekerja disebuah GLIC, penggunaan bahasa Inggeris amat diutamakan sehinggakan segala mesyuarat peringkat pengurusan  yang dihadiri oleh semua pegawai melayu, yang fasih berbahasa melayu tetapi menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengatar. Itu belum lagi arahan-arahan berbentuk e-mail daripad pihak atasan kepada pekerja bawahan, semuanya berbahasa inggeris.

Dalam urusan kenaikan pangkat, kebolehan berbahasa Inggeris menjadi keutamaan. Mana-mana kakitangan yang kurang mahir berbahasa inggeris, usah mimpi untuk naik pangkat keperingkat pengurusan walaupun mereka cemerlang dan boleh buat kerja.

Jadi, saranan dan cadangan YAB TPM ini amat kena pada tepat dan masanya dimana sekarang ini bahasa melayu seolah-olah telah menjadi bahasa kedua malahan mungkin ke tiga di sektor swasta.


Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta


Muhyiddin Yassin, Dr. Rais Yatim, Datuk Maglin Dcruz (kiri), Joseph Salang Gandum dan Kamaruddin Siaraf memegang bola kaca semasa merasmikan Pembudayaan Bahasa di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kaedah perlu dirangka bagi menilai tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan swasta untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum dalam era kepimpinan negara yang menekankan kepada Indeks Prestasi Utama (KPI).
Penilaian itu, jelas beliau, menjurus kepada tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dengan diberi keutamaan dan status yang sewajarnya.

"Sebagai contoh dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan.

''Selain itu, risalah dalam menyampaikan maklumat organisasi kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti juga sewajarnya mendahulukan bahasa Melayu," katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Pembudayaan Bahasa anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan di Kompleks Kraf Tangan, hari ini.

Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Muhyiddin menambah, bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi memperteguh jati diri bangsa.
Ini kerana menurut beliau, suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran.

"Terdapat banyak nilai baik di dalamnya yang boleh kita jadikan panduan dan pedoman," katanya.
Muhyiddin berkata, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan.

Interaksi manusia, jelas beliau, menjadi semakin luas dan pantas melalui bukan sahaja secara bersemuka, atas talian malah di alam siber.

"Kita juga seharusnya tidak ketinggalan dan perlu seiringan dengan perubahan yang berlaku dan jangan sesekali berundur ke belakang," katanya.

Menurut Muhyiddin, situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-sewenangnya.

Pencemaran bahasa itu, katanya, sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati.

"Ledakan ini telah menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa-bahasa lain," katanya.
Akibatnya kata Muhyiddin, kelangsungan bahasa Melayu mendepani zaman sekarang melalui saat yang sangat getir.

No comments: