SAHABAT BLOG

29 March 2011

NEGERI KU BANJIR LAGI


Negeri ku banjir lagi. Ini merupakan kali ke dua banjir melanda Terengganu untuk pusingan kali ini. Kalau dalam bolasepak, kiranya ini separuh masa kedua. Setakat ini masih belum ada dilaporkan kemalangan jiwa.Minta-minta tak ada. Ibu-ibu, bapak-bapak, jagalah anak-anak masing-masing. Budak-budak ni kalau pasal banjir, nakal tak boleh dikawal.

Kampung aku, aku yakin tidak terlibat kerana semenjak terbinanya empangan kenyir, banjir dah tak masuk ke dalam kampung aku. Kalau dulu, sebelum ada empangan kenyir, boleh dikatakan setiap tahun air akan masuk kampung. Bagi yang suka memukat, mereka akan menggunakan peluang ini untuk memukat ikan "kawan". Selepas surut bah, masing-masing pakat cari kayu api dan juga merawai. Masa itu ikan kelah usah ceritalah. Ikan baung dan ikan Tilam, boleh dikatakan hari-hari boleh dapat. Ikan tilam paling suka makan umpan cacing. Aku  merawai juga, tetapi jarang-jarang kerana tak ada perahu. Namun dapat merasalah juga makan ikan kelah hasil usaha sendiri.Sekarang ni....jauh panggang dari api.

Hujan kita tidak boleh nak kawal atau elak kerana itu adalah pemberian rahmat dari Allah. Banjir masih boleh di kawal dan dielak jika kena cara dan kaedahnya. Janganlah pula seperti sesetengah pihak yang beranggapan bahawa banjir ni adalah suatu bala dari Allah kepada hambanya kerana banyak maksiat yang sedang melanda sejak akhir-akhir ini. Namun setiap musibah yang datang itu hendaklah memberi keinsafan kepada mereka yang beriman.

Lebih 700 dipindahkan di Terengganu
29/03/2011 3:24pm

KUALA TERENGGANU 29 Mac - Hujan berterusan sesekali lebat sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di negeri ini dilanda banjir dengan lebih 748 terpaksa dipindahkan sehingga tengah hari ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, empat daerah yang teruk dilanda bencana itu ialah Marang, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Mangsa dariapda 188 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan dengan daerah ini mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 211 mangsa daripada 46 keluarga.

Mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal membabitkan 191 mangsa daripada 44 keluarga manakala 20 mangsa daripada dua keluarga di balai raya Kampung Kubang Ikan.

Sebanyak 171 mangsa daripada 49 keluarga di Kemaman dipindahkan ke dua pusat pemindahan di daerah itu.
Daripada jumlah itu, 170 orang mangsa dari 48 keluarga di tempatkan di SK Kemasek manakala seorang ibu tunggal yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Labuan.

Bagi daerah Marang, sebanyak 14 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu sembilan keluarga daripada lima keluarga di SK Marang manakala lima mangsa daripada satu keluarga di Balai Raya Tanah Lot Kubu.

Sementara daerah Dungun, setakat ini empat mangsa daripada sebuah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Majlis Sukan Negara (MSN) di daerah tersebut.

Dalam pada itu, beberapa buah sekolah di negeri ini juga diarah tutup sementara keadaan banjir kembali pulih.
Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud berkata, arahan itu dikeluarkan serta merta untuk sementara waktu membabitkan sekolah-sekolah yang terbabit dengan banjir demi keselamatan pelajar serta guru.

Sekolah-sekolah tersebut antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, SK Wakaf Mempelam, SK Padang Midin (Kuala Terengganu); SK Ajil dan SK Lubuk Periuk (Hulu Terengganu) manakala SK Delong (Dungun).
"Kita terpaksa arahkan sekolah-sekolah terbabit ditutup untuk sementara dan kalau keadaan semakin baik dan pulih seperti biasa, ia akan dibuka semula," katanya ketika dihubungi hari ini. - Utusan

No comments: