SAHABAT BLOG

10 February 2010

Yang Benar Pasti Ditolong Allah S.W.T.

Zambry MB, Perak kekal milik BN
Oleh NORLIZAH ABAS, HASHNAN
ABDULLAH dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 9 Feb. – Pergolakan politik di Perak yang berlarutan sejak setahun lalu ekoran perebutan jawatan Menteri Besar, tiba ke penghujung setelah Mahkamah Persekutuan hari ini memuktamadkan ia milik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Penghakiman bersejarah itu menzahirkan hak istimewa Sultan Perak melantik Zambry berlandaskan perlembagaan negeri setelah baginda memperkenankan beliau yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keputusan penting tersebut turut menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri yang menyatakan undi tidak percaya mesti diperoleh dalam sidang Dewan sahaja.
Ini bermakna, isu kepercayaan terhadap Menteri Besar boleh ditentukan melalui sumber lain berdasarkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957.
Demikian keputusan sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff ketika menolak rayuan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52.
Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Penghakiman yang menjadi nas undang-undang itu sekali gus mengakhiri usaha pakatan pembangkang ‘turun naik’ mahkamah bagi mengembalikan semula jawatan penuh kontroversi itu kepada pemimpin Pas tersebut.
Keputusan muktamad mahkamah tertinggi negara itu mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) sekali gus menamatkan penguasaan pembangkang di negeri yang diselubungi krisis politik ekoran perebutan kuasa yang bermula Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, pakatan DAP-Pas-PKR itu mempunyai satu lagi peluang mencabar keputusan itu melalui permohonan semakan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan yang membolehkan satu panel lain menyemak keputusan mahkamah terdahulu.
Mohammad Nizar merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei tahun lalu yang mengisytiharkan Zambry, 47, sebagai Menteri Besar yang sah.
Hakim Arifin dalam penghakimannya berpuas hati bahawa Sultan Perak betul dan bertindak berdasarkan undang-undang sewaktu melantik Zambry menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari tahun lalu.
Beliau menegaskan, pelantikan Zambry sah setelah baginda berkenan wujud undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar walaupun beliau mendakwa tidak meletak jawatan manakala sidang Dewan tidak dibubarkan.
Menurut Hakim Arifin, terdapat bukti kukuh bahawa BN mendapat sokongan majoriti daripada 31 ahli DUN dalam satu pertemuan dengan Sultan Perak.
‘‘Mohammad Nizar melanggar prinsip demokrasi jika terus diberi kuasa menerajui Perak sedangkan beliau telah kehilangan sokongan majoriti.
‘‘Namun begitu, keputusan hari ini bukan titik penyudah kerana beliau masih berpeluang mengemukakan undi tidak percaya terhadap Zambry dalam sidang Dewan atau membuat representasi kepada Sultan Perak bila-bila masa,’’ ujar beliau ketika membacakan penghakiman bertulisnya genap satu jam.
Penghakiman setebal 41 muka surat yang dibaca bermula pukul 10.10 pagi itu turut mentafsirkan dengan jelas Perkara 16(6) iaitu anggota Exco kerajaan negeri boleh dianggap dipecat jika Menteri Besar enggan meletak jawatan.
Sehubungan itu, Hakim Arifin berpendapat, Mohammad Nizar sepatutnya menghantar surat peletakan jawatannya dan juga anggota Exco apabila permohonan untuk membubarkan sidang Dewan tidak diperkenan oleh Sultan Perak.
Menurut beliau, mahkamah berpendapat, keengganan berbuat demikian menyebabkan mereka dianggap telah meletak jawatan, sekali gus menjadikan pelantikan Zambry di bawah Perkara 16(2) UTKNP sah.
Sehubungan itu, panel tersebut sependapat bahawa Mahkamah Rayuan betul ketika mengekalkan Zambry sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar.
Pemimpin Pas itu diwakili barisan 11 peguam bela diketuai oleh Sulaiman Abdullah manakala Zambry diwakili oleh Datuk Cecil Abraham.
Datuk Mohd. Hafarizam Harun bertindak sebagai peguam pemerhati BN manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah bagi pihak kerajaan.
Sementara itu, Abraham ketika ditemui pemberita menyatakan, keputusan hari ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja mengikat negeri-negeri, malah turut melibatkan peringkat persekutuan.
Abdul Gani dalam komen ringkasnya pula menyatakan, keputusan tersebut amat jelas menyentuh tafsiran terhadap isu-isu perlembagaan manakala alasan yang diberikan oleh panel hakim tersebut adalah munasabah.

Pembangkang desak adakan pilihan raya
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kecewa apabila keputusan Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada mereka, pembangkang mendesak supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan siapa yang sepatutnya menjadi menteri besar yang sah tidak boleh berselindung di sebalik institusi kehakiman kerana ia merupakan mandat yang diberi oleh rakyat.
"Saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan sebenarnya telah menasihati Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menerima kemungkinan keputusan tidak berpihak kepada kami.
"Pakatan bagaimanapun mendesak supaya pilihan raya diadakan dengan segera bagi memberi ruang kepada rakyat menentukan siapa menteri besar pilihan mereka,'' katanya ketika ditemui selepas perbicaraan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang mengekalkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Ditanya mengenai reaksi para penyokong pembangkang selepas ini, Anwar menasihatkan supaya semua mereka bertenang dan menggunakan ruang waktu yang ada ini untuk memperkukuhkan lagi pakatan pembangkang.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali juga ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, pakatan pembangkang tidak mempercayai ketelusan sistem kehakiman negara walaupun menerima keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan.
Kepada soalan kenapa baru sekarang mempersoalkan ketelusan sistem kehakiman sedangkan pembangkang sendiri yang membawa isu itu ke mahkamah, Syed Husin berkata, ia dilakukan bagi membuktikan pembangkang tidak menolak saluran perundangan yang ada.
"Keputusan ini memang dijangka kerana tidak mungkin mahkamah akan mengambil ketetapan yang berbeza dengan keputusan Sultan,'' katanya
Dua berita yang saya petik daripada akhbar utusan bertarikh 10/02/2010.



Ulasan saya: Tahniah kepada Datuk Seri Dr. Zambry Kadir atas kemenangan 2 -1 ( 3 mahkamah yang terlibat ) dan 6 – 1 ( enam orang hakim yang terlibat ) dalam mempertahankan jawatan Menteri Besar Perak. Walaupun kita dapati bahawa hakim yang memberikan kemenangan kepada DS Zambry, tetapi kemenangan sebenarnya berpihak kepada pasukan penguambela beliau. Saya difahamkan kalau mengikut surat khabar Utusan, peguam DS Zambry hanya seorang sahaja melawan 11 orang peguam di pihak DS Nizar. Macam peperangan badarlah pulak rasanya. Sikit lawan Ramai. Kita dapat lihat siapakah dipihak yang benar. Oleh itu, janganlah meminta pertolongan orang kafir untuk bermusuhan dengan orang Islam kerana Allah sentiasa bersama hambanya yang mempercayai KEESAANNYA berbanding mereka yang tidak mempercayaiNya. Takbir Allahuakbar3X.

Sebagaimana biasa, apabila kemenangan tidak berpihak kepada mereka, maka puak-puak pembangkang akan melemparkan pelbagai tuduhan seperti menyalahkan Institusi Mahkamah yang tidak bebas dan, tidak boleh mengatasi kuasa Sultan dan sebagainya. Namun jika sekiranya kemenangan berpihak kepada mereka lain pulak nada mereka memberi komen. Apa betul ke tak betul pendirian puak pembangkang ni? Bagi mereka yang waras, patut tanya perkara ni dalam diri masing-masing. Sesiapa yang masih memberi sokongan kepada puak-puak yang tidak tetap pendirian ni, tak tahulah nak labelkan bagaimana. Inilah masalahnya kepada pihak pembangkang Negara Malaysia, terlalu sukar menerima kekalahan dan asyik menyalahkan pihak kerajaan. Berbalik kepada isu MB perak, pihak pembangkang bertekad inginkan rakyat yang membuat keputusan dengan cara mengadakan pilihanraya kecil baru. Sebelum mereka nakkan perkara ini berlaku, aku nak tanya kepada pihak pembangkang Perak khususnya dan PR amnya, adakah mereka sanggup terima jika rakyat juga menolak mereka dalam pilihanraya itu. Tidakkah nanti pelbagai perkara akan dibangkitkan seperti pengundi hantulah, SPR tak telus, masih dikongkong oleh kerajaan dan sebagainya. Oleh yang demikian, aku memberikan nasihat percuma kepada pembangkang Perak, tunggu je lah PRU ke 13 nanti. Pada ma situ kita tahulah siapa yang sebenarnya rakyat mahu. Aku tahulah sekarang ni mereka dok anggap, rakyat sokong mereka. Itu pasallah mereka nakkan pilihanraya kecil diadakan. BN pulak cerdik, kenapa perlu diadakan pilihanraya jika mereka sah berkuasa. Soal rakyat nak terima atau tidak, itu soal kedua, kerana ramai juga rakyat yang menyokong BN dan mungkin lebih ramai daripada yang menyokong PR kerana bukan semua rakyat boleh mengundi dalam pilihanraya.

No comments: