Rakaman audio pertemuan antara guru besar SK Seri Pristana dan ibu bapa murid, mendedahkan bahawa tiada permohonan maaf dibuat, kata seorang kakitangan sekolah tersebut.

Semua akhbar silap, kata kakitangan tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan. "Rakaman itu boleh membuktikan bahawa guru besar tidak meminta maaf."

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Hussein Mohd Ariff, yang turut hadir dalam pertemuan pada hari Isnin itu.

"Setakat yang saya ingat, guru besar tidak meminta maaf... mungkin ibu bapa salah faham," Hussein kepada Malaysiakini.

Semalam, setiausaha Malaysian Tamilan Today, K Gunasekaran mendakwa beliau telah diberitahu oleh ibu bapa bahwa guru besar, Mohd Nasir Mohd Nooh, telah meminta maaf kepada mereka kerana murid makan dalam bilik persalinan semasa waktu rehat pada bulan Ramadan.

Sekolah rendah di Sungai Buloh itu mendapat perhatian selepas gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan muncul di Facebook.

Apabila perkara itu mendapat bantahan awam, ibu bapa yang mendedahkan kejadian itu mengadu bahawa anak-anak mereka telah menjadi sasaran para guru.