SAHABAT BLOG

23 May 2013

Perhimpunan Balckout 505 Menghina Perlembagaan Persekutuan

Seribu syukur dan sejuta rahmat kerana negara Malaysia ini masih diperintah oleh BN yang mana UMNO menjadi peneraju utamanya. Sebagai negara yang berbilang kaum dan kepercayaan agama, adalah menjadi kebangaan kepada seluruh rakyat negara yang cintakan keharmonian dan kedamaian apabila agihan kerusi kabinet yang telah diputuskan tidak dipertikaikan oleh semua parti yang menjadi gabungan di dalam BN. Walaupun secara peribadinya aku kurang bersetuju dengan seorang Timbalan Menteri dari HINDRAF kerana tidak boleh berbahasa Melayu, tetapi diharapkan isu ini tidak diperbesarkan.

Keharmonian dan kedamaian amat penting bagi sesebuah negara kerana dengan keamanan yang dikecapi itu membolehkan setiap warganegara boleh melaksanakan tugasan mereka tanpa risau dengan diri dan keluarga mereka. Politik dan kuasa itu hanyalah sebahagian daripada kehidupan kita, sedangkan banyak lagi bahagian-bahagian lain dalam umur kehidupan ini untuk diuruskan. Walau siapa yang menerajui tampuk kepimpinan negara, siapa yang berusaha untuk berjaya, maka mereka bakal mengecapi kejayaan. Tidak ada kuasa politik yang boleh menghalang mereka untuk berjaya kecuali mereka sengaja mencari alasan untuk menyalahkan kuasa politik.

"Serangan" pihak pembangkang terhadap kerajaan BN melalui Blackout 505 nampaknya telahpun mula ditangani oleh kerajaan. Beberapa pemimpin samada orang politik ataupun remaja hingusan,  yang didapati melanggar undang-undang bakal dihukum.

Perhimpunan yang dinamakan blackout 505 adalah satu perhimpunan yang mencabar perlembagaan negara. Perlembagaan negara telah menyatakan siapa diantara ahli parlimen yang mendapat sokongan teramai dikalangan ahli parlimen, maka beliaulah yang berhak menjadi Perdana Menteri. Selepas PRU13,  DS Najib mendapat sokongan seramai 133 orang ahli Parlimen berbanding Anwar yang cuma mendapat 89 orang sahaja sokongan ahli parlimen. Maka semua rakyat hendaklah akur kepada apa yang telah ditulis oleh perlembagaan. Mempertikai DS Najib menjadi perdana menteri samalah seperti mempertikai Perlembagaan.

Seperti aku telah tulis sebelum ini, aku fikir sudah sampai masanya Perlembagaan itu dilindungi oleh sebuah akta. Sesiapa sahaja yang mempertikai kehendak perlembagaan hendaklah dihukum. Tidak boleh sewenang-wenangnya rakyat Malaysia ataupun pihak asing mempertikaikan perlembagaan negara. Perlembagaan negara adalah undang-undang tertinggi negara. Ianya digubal dengan begitu susah payah dan begitu teliti. Maka sewajarnya ianya dilindungi oleh satu akta khusus dan bukannya mengharapkan akta-akta lain yang boleh dieksploitasi seperti akta hasutan dan sebagainya.

Berkenaan penangkapan Adam Adli , Nik Nazmi, Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris, yang ada kaitannya dengan Blackout 505, aku fikir kerajaan telah bertindak dengan betul. Namun demikian, aku sebenarnya masih belum berpuashati kerana penangkapan individu di atas masih belum meredakan keadaan. Sepatutnya kerajaan berusaha untuk menangkap ahli dua buah keluarga yang aku lihat memainkan peranan besar kebangkitan rakyat ini.

Langkah yang paling tepat dan paling berkesan sekali ialah menghadkan penggunaan kemudahan internet . Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia hendaklah bertindak drastik untuk menyekat dan menghalang naskah-naskah dan berita-berita yang dilihat menentang amalan demokrasi dan mencabar perlembagaan negara. Blog-blog pro pembangkang yang sentiasa sahaja menulis artikel yang menghina dan mengeji perlembagaan hendak disekat. Mempertikai keputusan PRU 13 baru-baru ini adalah sama dengan perbuatan menghina dan mempertikaikan perlembagaan kerana PRU 13 telah dijalankan secara sah mengikut perlembagaan persekutuan. Ini tidak bermakna perlembagaan tidak memberi ruang kepada pihak yang kalah mencabar keputusan PRU, kerana perlembagaan memberikan tempoh selama 21 hari untuk pihak mengemukakan petisyen di mahkamah.


No comments: