SAHABAT BLOG

14 September 2012

Peserta Perhimpunan BERSIH 3.0 Ingin Seperti Rusuhan Di Thailand dan Mesir - Polis

"Kita mahu mempertahankan Kuala Lumpur. Kita tengok mereka ini seolah-olah nak jadi macam di Thailand, di Mesir," - ACP Khairi Ahrasa.




KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis mengaku di hadapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa tindakan mencederakan orang awam termasuk petugas media dalam sesuatu perhimpunan merupakan tindakan yang sangat hina.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa (gambar) berkata, polis sepatutnya hanya menangkap peserta yang didapati melanggar arahan, bukan mencederakan mereka.

Katanya, tangkapan di lobi hotel ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu juga tidak sepatutnya berlaku.

"Saya setuju sepatutnya tak ada tangkapan dilakukan dalam hotel.

"Polis hanya boleh menangkap peserta yang didapati ingkar arahan polis tapi tak boleh mencederakan dan kalau ianya berlaku, ini satu tindakan yang sangat hinalah," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana anggota bawahannya boleh mengasari petugas media sedangkan sudah dinyatakan dalam taklimat bahawa polis mesti menghormati petugas media yang menjalankan kerja mereka.

"Sampai hari ini saya masih berfikir kenapa anggota saya bertindak kasar terhadap media sebab dalam taklimat ditekankan mengenai hak dan kebebasan media untuk menjalankan tugas.

"Saya katakan pada mereka, tindakan terhadap wartawan akan mencemarkan imej polis. Tapi perkara ini tetap berlaku," katanya.

Beliau bagaimanapun mempertahankan tindakan polis simpanan persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata dan air kimia kerana menyifatkan ia sesuai dilakukan untuk menyuraikan peserta perhimpunan.

"Kita lepaskan gas dan air kimia berdasarkan situasi ketika itu.

"Kalau (melepaskan gas dan air kimia) menyebabkan kecederaan (orang awam) pun, ia masih dianggap tindakan sesuai untuk mengelakkan perhimpunan lebih besar," katanya.

Beliau turut beranggapan peserta Bersih 3.0 ingin melakukan rusuhan seperti yang berlaku di Thailand dan Mesir.

"Kita mahu mempertahankan Kuala Lumpur. Kita tengok mereka ini seolah-olah nak jadi macam di Thailand, di Mesir," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Sumber: http://bm.harakahdaily.net/

No comments: