SAHABAT BLOG

04 September 2008

pENANAMAN pADI hUMA

Padi Huma adalah padi yang diusahakan dihuma-huma yang kebiasaannya diterokai oleh para petani sekali dalam setahun. Penanamam padi huma merupakan satu cabaran yang sukar dan memerlukan ketabahan yang tinggi kepada setiap petani yang mengusahakannya. Mungkin proses penanaman padi huma ini berbeza dari satu tempat ke satu tempat. Proses penanaman padi huma yang ingin ku ceritakan disini adalah proses penanamam padi huma yang diusahakan oleh arwah ayah aku kira-kira 25 tahun yang lampau.

Musim yang paling sesuai untuk menanam padi sekitar bulan Mac – Jun setiap tahun. Apabila tiba musim membuat padi huma ini, semua penduduk kampong akan berpakat bersama-sama. Kalau tak berpakat, maka tak ada orang yang akan buat padi huma. Tak pernah ada orang buat padi seorang diri.

Membersih tanah huma

Setelah dipersetujui, maka ayah aku akan mula membersihkan tanah sekangkang kera milik keluarga. Kadang-kadang ayah aku dan kawan-kawan dia akan membuka satu kawasan tanah baru milik kerajaan, di kawasan paya di bukit. Proses memilih tanah mana yang akan diusahakan padi huma ini penting kerana jika masing-masing membuat huma ditanah masing-masing, maka padi akan menjadi habuan burung pipit. Kebiasaan proses membersih tanah ini diusahakan oleh ayah aku dan ibu aku. Aku masih belajar dan duduk di asrama, maka jarang sekali aku dapat tolong mereka. Reba-reba ataupun pokok-pokok yang tumbang seperti senduduk, leban, dan sebagainya akan ditebang oleh ayah aku dengan tulang empat keratnya. Reba-reba ini akan dihimpun di satu-satu kawasan dan akan dibakar. Proses ini dinamakan ‘mengangkat’. Apabila reba-reba ataupun rating-ranting pokok itu dibakar, ianya akan menjadi kawasan terbakar yang cukup subur. Kawasan ini dinamakan’ punan ‘.

Dalam proses membersihkan tanah, pokok-pokok yang besar akan digunakn oleh ayah aku sebagai bahan membuat pagar. Aku masih ingat, pagar-pagar yang dibuat oleh ayah aku cukup kukuh kerana beliau memggunakan teknik dimana kayu-kayu sebesar betis akan diselitkan diantara 2 batang tiang pagar. Pagar ini ayah aku namakan sebagai ‘pagar belat’.

Setelah tanah siap dibersihkan, maka ayah aku pun akan mendirikan danga atau pondok kecil di tengah huma untuk berteduh. Ayah aku memang seorang tukang rumah yang mahir dan danga yang didirikannya cukup selesa untuk kami sekeluarga tidur di ketika musim membuat padi.

Setelah tanah siap dibersihkan, pagar serta danga telah diap didirikan, maka ‘punan-punan’ yang terbetuk akan di tabor dengan benih bayam dan mamam dan juga benih timun batang. Untuk menanam tinum, mak aku akan menyemai butir timun terlebih dahulu. Untuk menyemai biji timun mak aku akan ambil pelepah pisang dan dibelah dua, kemudian butir timun akan ditabur dan pelepah pisang itu ditakup kembali, dalam masa beberapa hari, butir timun akan bercambah. Ayah dan mak aku juga akan menanam jagung sementara menaman padi kerana jagung akan dapat dituai hasil dahulu sebelum padi masak.

Tanah-tanah sudah siap dibersihkan, begitu juga dengan tanah-tanah kawan-kawan ayahku yang lain. Tibalah masanya proses menanam benih padi. Proses ini memerlukan pengelibatan semua pihak. Pengelibatan pihak-pihak lain ini dinamakan ‘bederau’. ‘Berderau’ ini bermaksud setiap petani akan bergotong royong menanam benih padi dari satu kawasan ke satu kawasan. Apabila tiba giliran tanah ayah aku,. Maka emak aku akan tanah nasi pulut dan dibungkus dalam sejenis daun ‘ lupa dah daun apa’. Sebelum upacara menanam benih padi ini dimulakan. Ayah aku akan melakukan satu ritual amalan tradisi. Aku sudah lupa bentuk ritual tersebut tetapi seingat aku dimana ayah aku akan memilih satu kawasan dan disitu akan ditanam benih-benih padi sebelum proses sebenar dilakukan.

Menugal padi

Proses menanam padi huma ini dinamakan ‘menugal padi’. Kaum lelaki akan mengasak menggunakan asakan manakala kaum perempuan akan mengisi benih-benih padi ke dalam lubang asakan tersebut. Asakan ialah sejenis alat yang diperbuat daripada buluh sebesar tangan budak dan dihujung buluh tersebut akan diletakkan kayu dan ditajamkan. Ada juga pihak yang membuat asakan menggunakan kayu lurus sebesar lengan budak kecik dan sepanjang 6 kaki. Kebiasaannya setiap seorang akan menggunakan dua asakan di kiri kanan dan membentuk lubang dengan menikam tanah. Ayah aku dan kawan-kawannya cukup pandai mengasak dan lubang yang terbentuk tersusun dengan begitu rapi. Proses mengasak akan siap terlebih dahulu dan diikuti dengan mengisi benih padi dalam lubang asakan. Oleh kerana aku masih kecil, maka tugas aku adalah mengisi benih padi. Aku bukan tak pandai mengasak tetapi tak tersusun degan rapi. Proses menugal ini kebiasaannya akan habis setelah tengahari.

Merumput ( menerah ) padi

Setelah proses menugal ini siap dan ‘derau-derau’ telah dibayar, maka sampailah masanya anak-anak padi dah mula membesar. Dalam proses membesar ini, bayam, timun, dan jagung sudah boleh dipetik. Apabila anak-anak padi sudah mencapai ketinggian lebih kurang 6 inci, maka proses membuang rumput dilakukan. Proses membuang rumput ini dipanggil ‘menerah’ dengan menggunakan sejenis peralatan dinamakan ‘keri’. Keri-keri ini terlebih dahulu mengalami proses penajaman. Proses penajaman keri-keri ini dinamakan ‘katok keri’. Proses ‘katok keri’ ialah proses dimana keri-keri akan dibakar sehingga merah dan selepas itu diketuk bagi menajamkannya. Keri-keri ini kebiasaannya akan diasah selepas ianya dikatok.

Semasa proses merumput ataupun ‘menerah’ , ibuku akan mengupah orang kerana tak larat juge beliau nak menerah seorang diri. Tugas ‘menerah’ ini memang tugas hakiki orang perempuan dan tak pernah aku nampak ayah aku ‘menerah’ padi. Akupun dah lupa berapa upah yang dikenakan tetapi ukuran kawasan yang dirumput ikut kiraan depa.

Proses ‘menerah’ ini kebiasaannya bermula awal pagi hingga tengahari. Bagi melindungi mak aku daripada cuaca panas dia akan pakai “lapik anggal’. “ Lapik anggal’ dibentuk menggunakan kain batik yang dipakai dikepala dan boleh dirombak kembali bila sudah tidak mahu digunakan lagi. Disamping itu juga , Ayah aku akan membuat sejenis tempat berteduh yang dinamakan “rimau rangkak’. ‘ Rimau rangkak’ ini mempunyai dua kaki dan satu tongkat. ‘Rimau rangkak’ lebarnya lebih kurang 5 kaki dan tingginya lebih kurang 6 kaki. Daun sagu atau daun pokok salak digunakan untuk membuat atap manakala buluh-buluh sebesar lengan budak kecik digunakan untuk membuat rangkanya. “ rimau rangkak’ ini akan dialih-alihkan kemana-mana diperlukan.

Sementara mak aku dan kawan-kawannya ‘ menerah’ padi, ayah aku akan mengemas-ngemaskan pagar-pagarnya dan juga memperkemaskan lagi dangau yang dibuatnya. Disamping itu juga beliau akan mengenalpati kawasan-kawasan yang tidak tumbuh anak padi. Kawasan-kawasan yang tidak tumbuh anak padi, akan disulap oleh ayah aku. Proses ‘menyulap’ ini kebiasaanya menggunakan anak-anak padi yang direndam terlebih dahulu sehingga bercambah dan ditugal di kawasan yang tak tumbuh anak padi. Ada juga ketikanya ayah aku akan menahan perangkap burung puyuh.

Membuat Pa’uh.

Pa’uh adalah makanan tradisi masyarakat kampung aku apabila tiba musim menanam padi huma. Pa’uh memang enak dimakan dengan kuah ‘ni’san’ ataupun nyiur kukur.
Pa’uh diperbuat daripada padi muda dan bukannya padi masak. Proses membuat pa’uh dimulakan apabila padi dah mengeluarkan buah dan dah berisi tetapi masih belum menguning lagi. Padi muda ini akan dituai oleh mak aku lebih kurang dua ‘gemal’. Satu ‘gemal’ bersamaan satu gengam padi yang dituai, dan dibawa pulang kerumah pada sebelah petang setelah habis bekerja.

Padi muda berkenaan akan dilurut dari tangkainya setelah itu dibasuhkan. Apabila tiba waktu selepas isyak, mak aku akan hidupkan api dihadapan rumah manakala aku akan membawa keluar padi muda yang telah dibasuh dan diisi dalam besen. Kebiasaannya proses membuat pa’uh ini hanya melibat mak aku dan anak-anak sahaja. Ayah aku kurang masuk Campur, dia akan memerhati sahaja sambil menggulung rokok nipahnya. Oleh kerana anak-anak dah boleh tolong, maka ayah aku tak le menolong lagi. Tetapi sebelum itu, dia akan mengoreng padi dan mak aku pula menumbuk pa’uh. Sekali sekala aku turut menumbuk, tetapi banyak risikonya kerana kadang-kadang alu tertumbuk tepi lubang lesung dan boleh menyebabkan lesung terbalik.

Bunyi mak aku m,enumbuk pa’uh kedengaran seluruh kampung, tung, tung, tung. Tung, tung. Bunyi ini bukannya datang dari rumah aku sahaja kerana ramai lagi orang kampung yang menumbuk pa’uh.

Kerja-kerja menumbuk pa’uh siap lebih kurang pukul 11.00 malam. Bila dah siap, mak aku pun menampi pa’uih untuk membuangkan dedak dan kulit-kulit padi. Adik-adik dah masuk tidur, tinggallah aku saja yang membantu mak aku, ayah pun dah mula masuk tidur. Besuk pagi, bila kami semua dah bangun dari tidur, mak aku dah siapkan kuah ni’san dan juga nyiur kukur. Kami pun bersarapan bersama-sama satu keluarga makan pa’uh dengan nyiur kukur dan kuah ni’san.

Menuai Padi

Padi di huma dah pun meguning. Ayah aku dah membuat orang-orang ataupun’layut’ bagi menghalau burung pipit. Sudah tiba masanya mak aku menuai padi. Ayah aku pun membuat tuai menggunakan batang pulai ataupun lebihan papan dinding. Mata tuai diperbuat daripada mata pisau cukur manakala pemegang atau penyendal jari diperbuat daripada buluh sebesar ibu jari. Di danga, ayah aku dah siap membuat kepuk. Dinding kepuk diperbuat daripada kulit kayu. Menuai padi aku pun pandai tetapi kurang cekap. Bagi yang tangan besar, gemal yang dihasilkan besar-besar. Mak aku dan kawan-kawan dia berderau untuk menuai padi. Proses menuai padi memakan masa lebih kurang seminggu dan bergantung kepada luas mana huma yang dibuat oleh ayah aku.

Mengerek padi

Setelah padi dituai, maka tibalah masanya untuk ‘mengerek’ padi. Mengerek adalah satu proses meleraikan padi dari tangkainya. Kalau di sebelah Kedah, mereka membanting padi. Untuk mengerek padi, ttikar mengkuang diperlukan untuk digunakan sebagai tempat mengumpul padi. ‘Mengerek dimulakan dengan membentang tikar mengkuang di ‘lam’bur’ danga. ‘lam’bur’ kebiasaannya diperbuat daripada gelegar buluh sebesar lengan budak kecik dan disusun rapat-rapat di Bahagian hadapan danga. Macam beranda hadapan danga. Setelah tikar dihampar, maka gemal-gemal padi akan ditimbunkan seperti busut tingginya. Selepas itu proses ‘mengerek’ padi dimulakan dengan memijak-mijak dan memusing-musingkan tapak kaki bagi tujuan meleraikan padi dari tangkainya. Miangnya tak boleh nak cerita,bagi yang berkudis dinasihatkan jangan mengerek padi kerana bahananya cukup besar. Setelah habis gemal-gemal padi dierek, maka padi itu akan dimasukkan ke dalam kepuk ataupun dibawak balik kerumah untuk dijemur. Oleh kerana keluarga kami tidak ada kenderaan untuk mengangkut padi-padi itu ke rumah, maka ayah aku dan ibu aku akan memikul atau menanggung guni-guni padi ke rumah. Bila aku dan adik aku dah besar, kami pu turut memikul. Pernah suatu ketika ayah aku buat padi di kawasan paya yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari rumah aku. Bayangkan bertapa jerihnya ayah aku nak bawak balik padi yang berguni-guni. Namun demikian, beliau seorang yang cukup tabah dan pandai membuat ukuran. Itu adalah kemahiran seorang tukang rumah.

Tidur di danga

Bila tiba musim membuat padi,. Kami sekeluarga kadang-kadang tidur di danga jika musim tak sekolah. Ayah aku memilih untuk tidur di danga kerana menjimatkan perjalanan ulang-alik antara rumah ke huma. Tidur di danga cukup seronok tetapi kurang selesa. Jika tidur di danga, makan nasi berlauk budu pun terasa sedap yang amat sangat. Jika kebetulan huma kami di kawasan paya, maka ayah aku akan tahan taut ikan haruan dan ikan keli untuk dicecah dengan budu. Manakala ulam-ulam seperti pucuk serai kayu, petai, tempoyak menambahkan lagi selera

Bila aku kenang kembali mas kecik-kecik dulu, bestnyer…rasa nak kembali ke zaman itu. Tetapi masa tak pernah akan undur balik ke belakang. Kini ayah aku dah kembali kepada penciptanya dan tinggallah ibu tua aku yang masih dapat ku tatap dan ku peluk. Aku cukup sedih dengan kembalinya ayah aku ke rahmatullah, kerana dalam kedaifan kami sekeluarga, banyak perkara yang kami lalui bersama dan meninggalkan banyak kenangan manis.

No comments: