SAHABAT BLOG

30 June 2012

Mengundi PAS Sudah Menjadi Makruh, Mengundi UMNO Mendapat Pahala? Minta Majlis Fatwa Selesaikan.

Orang Islam akan dihitung dosa dan pahala ataupun tidak ada dosa dan tidak ada pahala apabila melakukan sesuatu perbuatan. Inilah balasan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Perkara yang dilakukan itu akan mendapat pahala ataupun akan mendapat dosa ataupun langsung tidak mendapat apa-apa iaitu perbuatan makruh. Tidak ada perbuatan yang dibalas selain dari  ini.  Jika melakukan perbuatan yang baik yang menepati kehendak sayak, maka balasannya adalah pahala, manakala jika seseorang itu melakukan perbuatan yang tidak baik yang berlawanan dengan kehendak syarak, maka balasannya adalah dosa. 

Di negara kita ini, pemilihan pemerintah dilakukan secara undi sulit. Pengundian ini melibatkan semua rakyat yang layak mengundi samada orang Islam ataupun orang bukan Islam. Bagi orang bukan Islam, kita sudah tahu bahawa mereka tidak ada balasan pahala mahupun dosa kerana diri mereka ataupun tubuh badan mereka itu sendiri sentiasa berada di dalam keadaan berdosa. Namun  demikian, bagi orang Islam mereka masih lagi dihitung perbuatan mengundi  mereka itu adakah akan mendapat balasan pahala ataupun dosa ataupun tidak mendapat balasan apa-apa.

Dalam soal ini, PAS sejak awal-awal lagi telah mendakwa bahawa pengundi akan diberikan pahala oleh Allah S.W.T. jika memilih untuk mengundi PAS. Ada yang membuat sifir mudah  bahawa dengan pahala ini akan menjamin  syurga. Sifir mudah sebegini kurang tepat dan boleh mengelirukan. Ketentuan syurga dan neraka itu urusan Allah S.W.T. dan bukannya disebabkan pahala ataupun dosa seseorang itu. Ustaz aku ada cakap, kita hendaklah melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan perbuatan yang ditegahNya dengan niat ikhlas kerana Allah dan takut kepada kemurkaanNya bukannya dengan niat untuk mendapatkan pahala ataupun takut dosa.  Kerana ustaz aku kata, jika kita melakukan perbuatan baik dan meninggalkan perbuatan tidak baik itu  kerana inginkan pahala dan takut dapat dosa sedangkan perbuatan itu dilakukan bukan niat kerana Allah dan tidak ikhlas kerana Allah, bimbang nanti Allah tidak terima amal perbuatan kita itu.  

UMNO pula tidak pernah mendakwa undi parti mereka boleh memberikan pahala kepada pengundinya.    PAS berani mendakwa bahawa undi PAS akan mendapat pahala bersandarkan dalil akali bahawa mereka berjuang untuk menegakkan sebuah negara yang melaksanakan dasar Al Quran dan Hadis. Dalam masa yang sama UMNO juga menegakkan syiar Islam dan melaksanakan segala suruhan Allah S.W.T. mengikut AL Quran dan Hadis yang termampu mereka lakukan. Ada juga yang tidak terdaya untuk dilaksanakan seperti Hudud dan Qisas. Ketidak mampuan ini disebabkan UMNO berkongsi kuasa pemerintahan dengan bukan Islam. 

Oleh itu, aku fikir sudah sampai masanya bijak pandai agama seperti jabatan Mufti mengeluarkan fatwa bahawa mengundi UMNO di dalam Pilihanraya tidak bercanggah dengan hukum syarak. Oleh itu jika seseorang itu mengundi parti UMNO dengan niat kerana Allah, akan mendapat balasan pahala dari Allah S.W.T.  Fatwa ini amat penting untuk diwartakan sekarang ini kerana kekeliruan di dalam masyarakat Islam sudah sampai ke tahap boleh berlakunya kemudaratan yang lebih besar akibat perbuatan PAS yang sentiasa mendakwa bahawa mengundi PAS mendapat pahala dan mengundi UMNO akan mendapat dosa.

Kalau boleh pada masa yang sama keluarkan juga fatwa berkenaan perbuatan mengundi PAS. Adakah ianya bertepatan dengan kehendak syarak atau sebaliknya. Sebelum fatwa dikeluarkan kena ingat bahawa PAS sekarang ini sudah tidak sama lagi dengan PAS suatu ketika dahulu. Jika dahulu mereka berjuang untuk menegakkan negara Islam, tetapi sekarang ini mereka telah bergabung dengan musuh Islam yang kononnya berjuang untuk menegakkan negara kebajikan.Yang paling penting untuk diambilkira ialah kedudukan mereka di dalam gabungan. Adakah mereka dominan dan mempunyai kata putus di dalam gabungan seperti UMNO ataupun mereka adalah pengikut yang terpaksa menerima segala keputusan.  Mungkinkah  berdasarkan senario semasa memberikan undi kepada PAS adalah satu perbuatan yang makruh , iaitu satu perbuatan jika dilakukan tidak berdosa tetapi jika ditinggalkan ataupun tidak memberikan undi kepada PAS akan mendapat pahala.

No comments: