SAHABAT BLOG

28 July 2011

Luka Harimau masih belum sembuh, tunggu di SEA Games

Malam ini sungguh berdebar-debar rasa hati kerana mengenangkan apakah untung nasib Harimau Malaya. Aku tidak mampu untuk hadir ke Stadium Bukit Jalil kerana kehabisan tiket perlawanan. Hajat besar di hati untuk turut sama bersorak memberi semangat kepada pasukan Harimau Malaya terpaksa aku pendamkan. Sebagai galang gantinya, aku telah memandu sejauh 20 km untuk ke tempat kawan aku bagi turut sama merasai bahan perlawanan. Kami menonton di sebuah Bistro yang dipenuhi oleh para penyokong Harimau Malaya. Teh Tarik segelas sudah memadai untuk aku terus berada dikerusi makan tanpa dipedulikan oleh tuan punya Bistro. Aku turut sama melonjak gembira apabila Safee Sali berjaya menjaringkan goal. Sebelum itu, kami semua dilanda saat-saat yang mendebarkan disebabkan kelalaian bahagian pertahanan Harimau Malaya. Mujurlah kecekapan Khairul Fahmi telah menyelamatkan keadaan dan menghidarkan rasa malu diaibkan terlebih awal oleh Singapura. 

Berkubur sudah impian dan harapan Harimau Malaya untuk melangkah lebih jauh. Segala impian dan harapan dinafikan oleh kehebatan waganegara Import  Singapura yang telah menjinakkan pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan sengit. Ketiadaan tonggak berpengelaman di bahagian pertahanan menyebabkan benteng kita beberapa kali dibolosi pihak lawan. Kita sebenarnya bernasib baik dengan keputusan seri 1 sama kerana jika bukan disebabkan kecekapan Khairul Fahmi, pasukan kita sebenarnya boleh diaibkan oleh Singapura dengan beberapa jaringan lagi.

Walaupun mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa kita bermain di bawah tahap sebenar, tetapi secara rasionalnya, aku tidak boleh menafikan kehebatan kelincahan tonggak warganegara import Singapura telah mengucarkacirkan benteng kita. Beberapa kali kita dapat lihat benteng kita begitu mudah dibocori oleh pihak lawan. 

Menulis panjang tiada gunanya lagi. Cuma satu nasihat akhir aku kepada pasukan Harimau Malaya, carilah gandingan Safee Sali yang setanding beliau dan kukuhkan lagi benteng pertahanan kita serta mantapkan lagi bahagian tengah. Bahagian lain aku tidak nampak ada masalah besar. Gunalan dan Amirul Hadi telah bermain dengan cemerlang di bahagian sayap. Khairul Fahmi telah membuktikan bahawa penjaga goal no 1 negara memang milik beliau. Rata-rata pemain kita masih muda dan mereka masih boleh pergi jauh dengan syarat, mereka memerlukan latihan dan pendedahan bermain pada tahap yang lebih tinggi. Setiap pemain mesti mempertajamkan skil permainan masing-masing dengan latihan dan dorongan. Menumbangkan Singapura, Indonesia, Thailand, Pilipina, Vietnam, Myamar bukan lagi satu misi yang sukar tetapi bagamana dengan Jepun, Korea Selatan, Iraq, Iran, dan lain-lain pasukan gergasi Asia, adakah kita mampu untuk menyaingi mereka dengan kemampuan yang kita ada sekarang ini. 

No comments: