SAHABAT BLOG

06 August 2009

Sediakan Slot Berita Dari Blog dalam Berita Perdana

Ini mungkin satu idea yang sukar untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Sekarang ini kita dapati begitu banyak blog-blog persendirian yang dicipta oleh mereka yang cuba untuk mengemuka idea masing-masing. Kadang-kadang apa yang mereka tuliskan itu bukannya betul pun. Banyak yang mengarutnya. Namun demikian banyak daripada tulisan mereka itu yang dibaca dan dipercayai oleh pembaca geneasi muda. Pihak kerajaan terutamanya tidak mampu untuk mengawal perkara ini daripada merebak. Akibatnya kesan atau natijah daripada tulisan-tulisan para bloger yang tidak bertanggungjawab itu, generasi terkini telah ditanam dengan perasaan benci kepada kerajaan.

Bukan kerajaan tidk memberikan penjelasan namun demikian tidak ramai para pembaca blog yang melayari blog-blog para pemimpin kerajaan. Mereka lebih suka untuk membaca blog-blog puak-puak mereka sahaja. Lama kelamaan minda mereka terttutup untuk mendengar ataupun menerima penjelasan daripada pada pemimpin. Bukan tidak ada blig-blog prio kerajaan yang cuba untuk menangkis, Ahli Blog Pembela Negara ( BPN ) umpamanya. Namun seperti juga blog pihak lawan, blog-blog mereka juga penuh dengan tulisan-tulisan yang tidak bertanggungjawab dan penggunaan kata-kata yang teruk. Matlamat untuk membela Negara itu sebenarnya kabur dan tidak tercapai maksud. Pembaca-pembaca blog membentuk klompok masing-masing. Kebiasaannya isi atau kandungan blog itu akan disebarkan oleh para pembaca dalam blog masing-masing. Lama-kelamaan ianya akan merebak di dalam dunia blog. Blog pemimpin yang cuba untuk menangkis kebiasaannya dilayari oleh mereka yang akademik sahaja.

Berbeza dengan alam maya, Televisyen masih lagi mampu dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Mungkin ada yang tidak menonton TV tetapi berbanding blog, peratus yang tidak menonton TV disebabkan benci kepada kerajaan mungkin kurang. Mereka masih lagi menonton tv untuk mendengar berita-berita ataupun mencari hiburan. Menyedari merebaknya penggunaan blog, pihak kerajaan mengadakan satu rancangan di TV1 iaitu Blog. Mereka memanggil para penulis blog yang popular untuk diwawancara. Namun demikian, para penonton kebiasaannya kurang memberikan perhatian ataupun tidak menonton rancangan itu disebabkan kandungannya yang mungkin kurang berkesan.

Oleh yang demikian, dicadangkan supaya rancangan blog ini diperkayakan lagi kandungannya. Setiap malam, ambil masa lebih kurang 10 minit waktu berita untuk menyiarkan berita daripada sumber blog-blog semua pihak samada pihak pemimpin pembangkang ataupun pihak pemimpin kerajaan samada dari pro pembangkang ataupun pro kerajaan. Siarkan tulisan blog mereka untuk ditatap ataupun dibaca oleh semua penonton. Pilih sahaja blog-blog yang ingin dipaparkan supaya rakyat ramai yang tahu berita yang sedang popular dan disamping dapat menilai bentuk tulisan ataupun penggunaan ayat-ayat yang digunakan oleh para penulis blog. Misalnya blog Teranungkite mengulas sesuatu perkara, pastikan ada blog-blog lain yang mengulas perkara yang sama dari pandangan berlainan. Seimbangkan tulisan-tulisan di dalam blog supaya rakyat dapat membuat penilaian masing-masing. Jika dibiarkan dalam blog sahaja tanpa diwar-warkan kepada penduduk atau rakyat yang tidak celik komputer, kebiasaannya mereka akan terima bulat-bulat perkara yang ditulis dalam blog dan diketika yang sama tulisan blog yang menangkis atau mengulas sebaliknya tidak mereka ketahui.

Aku tahu bahawa kerajaan mengawal sepenuhnya TV dan juga Surat Khabar. Tidak ada kebebasan sepenuhnya. Kerajaan tidak boleh nafikan perkara ini kerana semua orang tahu. Bagi yang tidak tahu, mereka diberitahu. Bukan sahaja kerajaan, tetapi pihak pembangkang juga melakukan perkara yang sama iaitu mengawal akhbar mereka. Mereka tidak boleh mendabik dada mengatakan bahawa kerajaan mengawal berita yang disalurkan kepada para pembaca atau pendengar, padahal mereka juga mengawal berita untuk para pembaca mereka.

Aku percaya apabila apabila kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menyiarkan blog-blog terpilih di dalam TV, maka para penonton yang tidak mempunyai kemudahan internet dapat mengetahui apa yang ditulis oleh penulis blog. Siarkan ia dalam waktu berita perdana sebagai satu slot sepertimana slot berita sukan. Sekurang-kurangnya para penonton dapat mengetahui berita dunia blog secara sendiri dan bukannya mendengar daripada orang lain. Kerajaan hendaklah menyiarkan juga identiti penulis blog bagi blog-blog yang dipertontonkan kepada masyarakat . Lama kelamaan para penulis blog mungkin akan lebih berhati-hati dan lebih bertanggungjawab untuk menulis.. Rasanya tidak ada akta yang menghalang tindakan dan langkah ini dilaksanakan.

No comments: