Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit telah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.
"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu telah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak.
Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain.
"Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya.
Selain itu Omar berkata Cuepacs turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi oleh 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak.
Tegas beliau pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap.
Sementara itu, Cuepacs katanya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.
Antara isu yang akan dibangkitkan termasuklah gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.
Dalam pada itu Cuepacs akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Feb depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya.
"Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada Cuepacs.
"Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dahulu," kata Omar. - Bernama