SAHABAT BLOG

16 October 2012

Ustaz Kantoi Gara-Gara Salah Kiblat

  
Tuesday, 16 October 2012 09:15

GOMBAK: Temberang seorang lelaki yang pura-pura bersolat bagi mengelak daripada dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik di kedai menjual pakaian milik pasangannya di Selayang, dekat sini, kelmarin, tidak berhasil apabila dia tersalah arah kiblat.
Lelaki 46 tahun itu dan pasangannya yang berusia 37 tahun, dicekup suami wanita berkenaan selepas curiga dengan kehadiran lelaki terbabit dalam kedai isterinya yang ketika itu tertutup.

Menurut sumber, sebelum kejadian si suami yang berusia 37 tahun mahu menjemput isterinya keluar makan pada jam 12 tengah hari, namun berasa pelik apabila mendapati kedai isterinya tertutup seolah-olah tidak beroperasi.

“Mengesyaki ada sesuatu tak kena, si suami masuk dalam kedai, tetapi masih tidak menemui isterinya. Dia kemudian ke sebuah bilik di bahagian belakang dan menemui kasut isterinya diletakkan di tepi pintu.

“Lelaki itu memanggil isterinya dan mengajaknya keluar makan tengah hari, namun wanita itu enggan, malah memberitahu dia akan pergi sendirian kerana ada urusan perlu diselesaikan,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa cuba menolak pintu bilik berkenaan, namun tidak berhasil kerana disekat dari dalam.
"Curiga dengan sikap isterinya, dia menolak pintu dengan kuat dan berjaya masuk dan mendapati ada seorang lelaki dikenalinya dan digelar 'ustaz' sedang bersolat.
"Bagaimanapun si suami menyedari ustaz terbabit hanya berpura-pura solat kerana arah kiblatnya salah lalu bersemuka dengannya untuk menuntut penjelasan," katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit gagal memberi jawapan memuaskan, malah dia dilihat serba salah sebelum cuba melarikan diri.
Berikutan itu, si suami terus menghubungi pihak berkuasa dan polis yang tiba beberapa minit kemudian membawa isterinya bersama 'ustaz' terbabit ke Balai Polis Selayang.
"Hasil pemeriksaan pada telefon bimbit wanita itu, si suami mendapati isterinya meletakkan nama ustaz terbabit sebagai ustazah bagi melindungi hubungan sulit yang terjalin di antara mereka," katanya.
Suami wanita itu membuat laporan di balai polis sama dan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan itu.
Menurutnya, kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sumber: malaysiandigest.

No comments: