KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi seorang pegawai polis memaklumkan bahawa Tun Dr Ling Liong Sik tidak akan didakwa jika beliau (Dr Mahathir) memberi kenyataan kepada polis lebih awal.
  
Dr Mahathir, 87, saksi keempat pembelaan pada perbicaraan membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berkata polis mengambil kenyataan beliau selepas bekas Menteri Pengangkutan itu didakwa pada 2010.
  
"Saya masih ingat seorang daripada tiga pegawai berkata jika saya memberi kenyataan lebih awal, mereka tidak akan mendakwa Dr Ling," katanya sambil menambah polis mengambil keterangan beliau sama ada hujung tahun lepas atau pada awal tahun ini sebanyak dua kali.
  
Beliau juga mengesahkan seorang daripada pegawai polis itu ialah Superintenden R.Rajagopal.
  
Dr Mahathir, yang juga Menteri Kewangan ketika kejadian, berkata selepas beliau membaca dalam akhbar berita berkaitan pendakwaan Liong Sik, tertuduh ada datang dan bertemu dengannya.
      
Terdahulu, Dr Mahathir memberitahu mahkamah bahawa PKFZ adalah satu projek yang sangat baik untuk negara dan beliau telah dua kali berkunjung ke Zon Bebas Jabel Ali di Dubai.
  
Ketika menjawab soalan peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Liong Sik, Dr Mahathir berkata, tidak ada menteri yang membuat aduan berhubung projek itu.
  
Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak membuat sebarang laporan polis terhadap Liong Sik dan tidak ada menteri yang memaklumkannya bahawa Liong Sik telah melakukan penipuan.
  
Liong Sik didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp (sekaki persegi) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Menteri Pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986 itu didakwa melakukan semua kesalahan di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 November 2002.
  
Mengulas surat Liong Sik bertarikh 29 Jun 2002 yang mengandungi kadar RM25 skp untuk pengambilan tanah terbabit serta kadar faedah 7.5 peratus setahun, Dr Mahathir berkata beliau tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan.
  
"Tidak ada sesiapa yang memberitahu saya bahawa kos keseluruhan ialah RM1.088," katanya.
  
Dr Mahathir juga berkata, Kabinet tidak terikat dengan laporan JPPH bagi pengambilan tanah di Pulau Indah.
  
Wong: "Sebagai Menteri Kewangan, adakah anda memihak terhadap tindakan pengambilan wajib tanah berkenaan untuk projek PKFZ?"
  
Dr Mahathir: "Biasanya tidak, kerana pegawai penilai akan membantu kerajaan menjimatkan wang."
 
Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan menilai kurang tanah terbabit.
  
"Sebagai seorang ahli politik, saya bergantung kepada populariti. Jadi, saya tidak akan menilai kurang tanah tersebut kerana tindakan itu akan menjadikan saya tidak popular, dan status saya bergantung kepada populariti," katanya.
  
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan esok untuk Dr Mahathir menyambung keterangan.
  
Sementara itu, pada awal prosiding, beliau berkata permohonan mencabar kebolehpercayaan keterangan bekas menteri kabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akan diputuskan di akhir kes pembelaan.
  
Terdahulu, Hakim Ahmadi meminta Abdul Kadir memberi penjelasan berhubung keterangan beliau sebelum ini iaitu kadar faedah 7.5 peratus dalam pembelian tanah adalah muktamad, sedangkan dalam percakapan beramarannya sebelum ini tidak menyatakan demikian.
  
Abdul Kadir berkata keterangannya adalah secara menyeluruh berdasarkan pengalaman dan beliau tidak ingat tentang kes berkaitan Liong Sik. - Bernama