SAHABAT BLOG

16 September 2012

PRU 13 - PENENTU TEGAK ATAU TUMBANGNYA MELAYU

Aku berani menyatakan bahawa PRU 13 nanti adalah pilihanraya yang akan menentukan hidup mati kuasa politik orang Melayu. Sebagaimana menjadi pengetahuan umum bahawa kuatnya melayu sekarang ini hanyalah disebabkan mereka memiliki kuasa politik. 

Dalam sektor lain,  Melayu sebenarnya telah kalah dan kecundang kepada bangsa lain. Melalui kuasa politik inilah para pemimpin Melayu berusaha sedaya upaya untuk mengagihkan kemakmuran negara ini kepada orang melayu. Tanpa kuasa politik ini, orang melayu hanya akan menjadi pengikut di dalam semua sektor baik ekonomi, pendidikan, kebudayaan, sosial dan sebagainya. Sebagai pengikut sudah tentu orang melayu hanya akan mengikut apa sahaja yang ditentukan oleh ketua sektor. 

Melayu dan Islam sudah tidak boleh dipisahkan. Gahnya Islam di Malaysia disebabkan kuasa politik yang dipunyai oleh orang melayu yang menjadi penganut terbesar. Bukti kuat dan gahnya Islam di Malaysia ini dapat dilihat apabila PAS berjaya menjadikan ianya sebagai modal politik mereka. Bukti kuat dan gagahnya  Islam di Malaysia ini terbukti apabila PAS telah menetapkan objektif dan matlamat perjuangan mereka untuk menubuhkan sebuah negara Islam tulen. 

Siapakah menjadikan Islam begitu gah dan kuat di Malaysia ini jika bukan bangsa Melayu atau lebih tepat lagi UMNO. Dengan pertolongan Allah S.W.T. UMNO sentiasa sahaja diberikan pertolongan olehNya untuk menang pada setiap kali Pilihanraya Umum di adakan. Adakah PAS pernah berterima kasih kepada UMNO? 

Andaikata kuasa politik orang Melayu lemah dan tertindas, Islam di Malaysia ini turut sama mengalami perubahan yang besar. Syiar agama lain akan sedikit demi sedikit akan mengatasi Islam. Pada masa itu Islam tidak boleh disyiarkan dengan sewenang-wenangnya kerana pelagai peraturan dan sekatan bakal dihadapi. Pada masa itu Parti PAS sendiri pun akan turut menerima tempiasnya. 

Kini UMNO menghadapi cabaran yang cukup kuat. Semua parti pembangkang terutama DAP ingin sekali melihat UMNO ini tumbang. Kalau mereka diberikan kuasa, mereka akan memastikan UMNO ini akan hancur berderai, berpecah belah dan hanya tinggal nama dan sejarah sahaja. Aku tidak hairan kenapa DAP ingin menumbangkan UMNO kerana mereka mempunyai serampang banyak mata. Namun aku cukup benci dan marah kepada PAS kerana mereka sebenarnya sengaja menempah kesusahan apabila membantu DAP untuk menumbangkan UMNO. 

Buku sejarah pun mungkin tidak  akan menceritakan perihal kehebatan UMNO. Sejarah UMNO hanya kan menjadi cerita dari mulut ke mulut sahaja. Apabila UMNO tumbang, BN sendiri akan berpecah belah. Parti-parti komponen BN akan mencari dahan baru untuk terus hidup. GERAKAN, MIC, MCA akan berpecah belah. Ramai pemimpin mereka akan menerima tawaran untuk menyertai parti-parti baru. Tinggallah UMNO sendirian yang akan terus menjadi parti penentang kerajaan. Itu pun hanya tinggal pemimpin dan penyokong yang betul-betul berjiwa UMNO. Mana-mana pemimpin dan penyokong yang suam-suam kuku dan tidak ada semangat dan roh UMNO yang kuat turut sama mencari parti-parti baru untuk disertai.

Aku tidak risaukan diriku kerana sekarang ini aku sudah ada pekerjaan tetap. Aku sudah ada rumah, aku sudah ada harta, aku sudah ada sumber pendapatan. Apa yang aku ada sekarang ini adalah kurniaan dari Allah S.W.T. disebabkan bangsa aku kuat , disebabkan bangsa aku masih menjadi pemimpin utama negara. Namun demikian, apakah nasib anak-anak dan cucu aku di masa yang akan datang. 

Ikuti apa yang dinukilkan oleh Perdana Menteri di bawah ini mengenai Survival Orang Melayu.

Penentu survival Melayu
Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian daripada perwakilan ketika menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Pekan, Pahang, semalam. Turut hadir, Rosmah Mansor.

PEKAN 15 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sebarang pilihan raya tetapi penentu kepada survival orang Melayu.

Perdana Menteri berkata, orang Melayu tidak lagi mempunyai tempat bergantung harap sekiranya pembangkang menang kerana pakatan itu tidak mempunyai parti Melayu untuk menjadi teras pemerintahan seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya DAP, kata Najib, yang diketahui tidak senang dengan kedudukan orang Melayu dan Islam mungkin menjadi 'king maker' dalam pakatan tersebut dan bukannya Pas, apatah lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehubungan itu, Presiden UMNO itu mengingatkan orang Melayu dan ahli UMNO supaya bersatu hati dalam menangani cabaran pada pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan Raya Umum Ke-13 ini bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi soal survival orang Melayu, tanah air kita.

"Kalau nak kekalkan teras pemerintahan, pastikan UMNO menang, (dan sekiranya) sebaliknya berlaku, buruk padahnya," kata Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib selaku wakil Badan Perhubungan UMNO negeri.

Najib berkata, sekiranya kerajaan sedia ada kini digantikan, pasti sesuatu yang buruk akan menimpa orang Melayu.

"Barisan Nasional, terasnya UMNO. Pembangkang siapa terasnya?, Pas, DAP atau PKR?. PKR lemah, kalau sekiranya mereka bergabung, DAP dapat banyak kerusi, adakah orang Melayu dapat bergantung harap kepada DAP?

"DAP (selama ini) tidak ada rasa senang hati terhadap kedudukan orang Melayu dan orang Islam...hati perut tak sama dengan kita (BN)," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, ahli UMNO perlu memperkukuhkan kekuatan dan tidak sesekali berpecah, apatah lagi selepas calon parti bagi pilihan raya umum diumumkan.

"Yang penting sekali bukan individu tapi parti, perjuangan mesti diteruskan, kalau parti kalah, tirai akan jatuh, kita akan lihat masa depan tidak menentu," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan tersebut, Najib menyeru seluruh ahli parti supaya bertindak dalam satu barisan dengan mengetepikan segala kepentingan diri demi agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, jika itu dapat dilakukan, insya-Allah PRU-13 bakal memperlihatkan kejayaan cemerlang sekali gus mengekalkan UMNO sebagai parti paling berjaya di dunia kerana kekal berkuasa sejak merdeka.

Dalam pada itu, Najib berkata, selepas pembangkang gagal menafikan kejayaan dibawa UMNO sepanjang memerintah negara, maka mereka cuba mengambil alih apa yang telah dibina atas jerih payah UMNO dan BN.

"Tetapi kita UMNO tidak akan reda jika apa yang telah diusahakan dan dibina selama ini direntap oleh pembangkang," tegas Perdana Menteri.

No comments: