SAHABAT BLOG

18 May 2012

CUEPACS , MTUC MAHU PM BAIKI KEBAJIKAN PEKERJA BADAN BERKANUN

17 Mei 2012

CUEPACS , MTUC MAHU PM BAIKI KEBAJIKAN PEKERJA BADAN BERKANUN


Sinar Harian
17/5/2012


 Cuepacs, MTUC mahu PM baiki kebajikan pekerja badan berkanun
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA LUMPUR - Cuepacs dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengemukakan empat tuntutan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjamin  kebajikan pekerja di tujuh badan berkanun selepas mereka tamat perkhidmatan kelak.

Empat tuntutan itu - mewujudkan Skim Dana Pencen, memanjangkan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberi kepada sektor awam kepada tujuh agensi berkenaan, bayaran sagu hati tamat perkhidmatan, dan penambahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syer majikan yang pelaksanaannya berbeza antara agensi-agensi tersebut.

Ia akan dikemukakan kepada Najib dalam tempoh terdekat. Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, agensi terbabit ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

"Tujuh agensi ini, dahulu di bawah sektor awam sepenuhnya, tetapi pada 1992, ia diasingkan untuk diurus tadbir secara autonomi atau mutlak.

"Kita memohon kepada kerajaan supaya mengkaji semula pengasingan itu supaya ia tidak ketinggalan dengan sektor awam dan masa depan pekerjanya terjamin selepas tamat perkhidmatan nanti," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja tujuh agensi berkenaan di Ibu pejabat Perkeso, di sini hari ini.

Omar berkata pihaknya turut berharap kerajaan tidak meminggirkan agensi-agensi itu dalam setiap penambahbaikan terhadap sektor awam.

Cuepacs juga berharap tujuh agensi itu akan mendapat pencen secara berkala, seperti yang telah dipertimbangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jika ia tidak boleh mendapat pencen sepertimana sektor awam.

Beliau meminta langkah itu, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 pekerja sokongan, diselesaikan tahun ini setelah dikemukakan kepada kerajaan sejak 2009.

Mengenai nasib kira-kira 35,000 kakitangan kontrak di agensi-agensi kerajaan, Omar berkata, Cuepacs meminta kerajaan supaya tidak menamatkan tempoh perkhidmatan mereka sebaliknya ditawarkan penyambungan kontrak jika tiada kekosongan jawatan untuk ditetapkan.

Cuepacs menerima banyak aduan daripada kakitangan kontrak bahawa kontrak mereka tidak disambung dan memohon jasa baik Perdana Menteri untuk menangani perkara itu dengan kadar segera.
Sementara itu, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan pada sidang media sama berkata, pihaknya akan meminta kerajaan mewujudkan satu mekanisme supaya ketujuh-tujuh badan berkanun itu mendapat faedah serupa, sama ada yang diperoleh oleh penjawat awam atau kakitangan swasta dan status mereka juga harus jelas.

Perkara itu masih belum mendapat maklum balas Perdana Menteri setelah ia dikemukakan bulan lepas.

"Kadang-kadang kita lihat faedah yang diperoleh kakitangan kerajaan, tidak semua kakitangan di badan berkanun dapat, dan pada masa yang sama, faedah-faedah yang diperoleh oleh sektor swasta juga mereka tidak dapat," katanya.

Mohd Khalid berkata, mereka juga tidak mempunyai saluran untuk membuat aduan jika berlaku pertikaian antara pihak pentadbiran badan berkanun dengan pekerja berbanding penjawat lain. - Bernama
 
COKAM: Aku ada ramai kawan yang bekerja di 7 Badan Berkanun yang dinyatakan di atas. Memang pada asalnya, badan berkanun ini diasingkan pada tahun 1992 disebabkan pada masa itu kerajaan berpendapat bahawa Badan Berkanun ini mempunyai daya saing yang tinggi untuk bersaing dengan Sektor Swasta dan berkemampuan untuk menjana keuntungan setiap tahun. Dari keuntungan tersebut, kerajaan berharap para pengurusan tertinggi badan-badan berkanun yang diasingkan ini dapat merancang sendiri pampasan (gaji, elaun dan kemudahan) kepada kakitangan masing-masing tanpa perlu bergantung kepada pihak kerajaan.
 
Pada tahun 2005, aku difahamkan oleh kawan aku, pihak kerajaan telah melepaskan sepenuhnya kepada pengurusan badan-badan berkanun berkenaan untuk merangka dan merancang saraan masing-masing termasuk gaji, elaun dan kemudahan tanpa perlu merujuk kepada pihak kerajaan kecuali menteri pengawal sahaja kecuali bayaran bonus.
 
Oleh yang demikian, aku berpendapat, apabila kerajaan telah melepaskan sepenuhnya kepada pihak badan berkanun berkenaan untuk merangka sistem saraan masing-masing, maka 4 perkara yang menjadi tuntutan pihak kesatuan kakitangan seperti yang dibangkitkan oleh Presiden CEUPACS tersebut boleh diselesaikan atau dilaksanakan tanpa perlu merujuk kepada pihak kerajaan.  Masalahnya kenapa masih tidak dilaksanakan? Ini yang menjadi kemusykilan 120,000 kakitangan badan berkanun berkenaan.
 
Oleh itu, MTUC dan CEUPACS mengharapkan agar PM dapat memberikan kata putus dan arahan  agar melaksanakan tuntutan 4 perkara yang dituntut tersebut supaya kehidupan para kakitangan selepas bersara terbela dan terjamin. Mereka ini pada asalnya termasuk ke dalam skim pencen kerajaan tetapi mungkin disebabkan termakan dengan pujuk rayu dan juga disogok dengan cerita-cerita yang indah kabar dari rupa dari kawan-kawan, mereka telah mengadaikan pencen mereka itu. Kalau kakitangan kerajaan yang memilih skim KWSP diberi pilihan kedua oleh pihak kerajaan dan hampir 100% menukar kembali kepada skim pencen, tetapi kenapa kakitangan badan berkanun ini tidak diberikan pilihan yang serupa.

4 comments:

Anonymous said...

Apa status tuntutan ini?senyap sahaja...

putrarahman said...

Entahlah. Dengar ceritanya sudah mendapat perhatian Jabatan Perdana Menteri.

Anonymous said...

Betul ke putrarahman?
Tetapi knp JPM dan bukanya JPA & MOF...
Sepatunya pihak kesatuan kena bertegas dan tidak boleh berlembut dlm isu2 spt ini...ini smpi dah masuk KSN yg baharu da... :-)

putrarahman said...

Sekarang ni, KSN ke, MOF ke, JPA ke dah tak main dah. Semua tak berani buat keputusan. Kena pergi ke PM juga baru ada keputusan.

Tunggu je lah........:-)