SAHABAT BLOG

23 December 2011

Jangan Putus Asa

Keputusan peperiksaan PMR 2011 telah diumumkan semalam. Walaupun tidak ada ahli keluarga aku yang terlibat, tetapi anak staff aku ada yang terlibat. Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya mendapat keputusan A dalam kesemua matapelajaran. Bagi yang gagal , jangan putus asa kerana perjalanan persekolahan masih belum sampai ke garisan penamat. PMR hanyalah separuh dari perjalanan.

Calon-calon PMR tahun 2011 ini telah menduduki peperiksaan UPSR tahun 2008. UPSR 2008 merekod seramai 46,641 c alon yang mendapat kesemuanya A di dalam mata pelajaran. Maknanya daripada 46 ribu orang tersebut, bagaimana keputusan PMR mereka? Jelas dan pasti, ramai daripada mereka tidak dapat meneruskan kecemerlangan masing-masing untuk memastikan di dalam PMR mereka juga akan mendapat kesemua A. Anak staff aku, semasa UPSR hanya memperolehi 4A 1B sama seperti anak aku, tetapi di dalam PMR alhamdulillah anak beliau berjaya memperolehi keputusan 8A.

Aku percaya bahawa pelajar-pelajar cemerlang PMR 2011 apabila menduduki SPM,  semakin menurun  bilangan pelajar yang bakal cemerlang.   Isunya kenapa mereka tidak dapat mengekalkan kecemerlangan mereka sehingga ke peringkat SPM.

Apabila habis SPM, mereka akan ke Universiti. Aku yakin dan percaya ramai pelajar cemerlang semasa PMR, tidak dapat meneruskan kecemerlangan mereka. Semasa di universiti pelbagai godaan dan cabaran bakal ditempuhi oleh para pelajar cemerlang ini sebelum mereka menamatka pengajian masing-masing. Berapa ramai di antara mereka berjaya memperolehi skor  CGPA 3.67 ke atas.

Setelah menamatkan pengajian mereka di Universiti, berapa ramai pelajar cemerlang PMR ini akan berjaya sebagai seorang manusia yang berjaya. Berapa ramai di antara mereka  menjawat jawatan yang hebat-hebat di dalam sektor swasta ataupun kerajaan ataupun yang memiliki bisness yang hebat-hebat,bergelar jutrawan, pemimpin yang hebat, keluarga yang hebat dan sebagainya.

Oleh itu, kepada ibu bapa dan para pelajar yang kurang cemerlang di dalam PMR, apa yang aku ingin nyatakan di sini ialah kecermerlangan di dalam peperiksaan peringkat rendah seperti UPSR, PMR ataupun SPM belum menjamin seseorang itu bakal cemerlang di dalam kehidupan mereka.

Untuk menjadi manusia yang cemerlang di dalam kehidupan memerlukan banyak gabungan kecemerlangan di dalam banyak perkara lain.  Kalau kita membuat kajian, berapa ramai di kalangan pelajar Islam yang cemerlang di dalam akademik semasa UPSR, PMR ataupun SPM itu cukup sembahyangnya, elok perangainya, menghormati ibu bapa, menghormati orang yang lebih tua, segan kepada para alim ulama.

Sekarang ini kita lihat ramai di kalangan ibu bapa yang begitu taksub untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang di dalam akademik. Namun pada masa yang sama mereka lupa untuk turut sama taksub supaya anak-anak mereka menjadi insan kamil. Kita boleh lihat pusat-pusat tuisyen akademik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, tetapi kita tidak akan lihat pusat-pusat tuisyen yang akan membentuk sahsiah cemerlang ditubuhkan. Kita tidak akan lihat pusat tuisyen Fekah, Akhlak, Tauhid, dan sebagainya. Kita tidak akan melihat pusat-pusat tuisyen untuk kepimpinan, kehidupan bermasyarakat dan sebaginya.

Semua ciri-ciri ini adalah faktor kepada kecermelangan di dalam kehidupan. Faktor-faktor inilah yang sepatutnya dibina dan diperkemaskan kepada para pelajar cemerlang ini. faktor-faktor inilah yang sebenarnya boleh membezakan kecemerlangan sebenar seseorang pelajar itu dan bukannya faktor akademik.   

Aku fikir, tidak ada ibu bapa di atas dunia ini yang inginkan anak mereka menjadi seperti kacang lupakan kulit. Tidak ada ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka yang diberikan tuisyen siang dan malam, yang cemerlang di dalam PMR tetapi apabuila mereka dewasa nanti, mereka melupakan jasa-jasa ibu bapa mereka itu. Menjadi anak yang tidak tahu bagaimana hendak menjadi juslim sejati, tidak tahu bagaimana hendak menghormati pemimpin, dan sebagainya.

Artikel ini ditujukan kepada aku sendiri dan juga ibubapa yang mempunyai anak tidak cemerlang di dalam akademik. Sesungguhnya kecemerlangan di dalam kehidupan itu tidak hanya terletak kepada kecemerlangan akademik, tetapi ianya hendaklah digabungkan dengan kecemerlangan di dalam sahsiah diri para pelajar itu. Jika sahsiah diri hancur, walaupun mendapat kecemerlangan akademik, ianya langsung tidak berguna sama sekali tetapi jika sahsiah diri elok, mempunyai kehebatan diri selain akademik, insyaallah kecemerlangan diri akan diperolehi dan kecemerlangan itu adalah kecemerlangan sejati.

No comments: