SAHABAT BLOG

04 May 2011

OSAMA BIN LADEN TERBUNUH - PERMULAAN ATAU AKHIRAN?

Lama sudah rasanya aku tidak mengemaskini blog aku kerana aku pulang ke kampung halaman aku untuk menziarahi orang tua aku yang telah tua dan sering keuzuran. Apabila pulang ke kampung, banyak masa dihabiskan untuk menikmati suasana kampung dan menziarahi sanak saudara. Sebab itulah tiada posting atau artikel dapat dikemaskini di dalam blog aku. Sepanjang aku dikampung, tidak banyak berita atau cerita baru yang luar biasa menerjah ke telinga aku. Semuahya cerita-cerita biasa yang datang dan pergi begitu sahaja tanpa ada rasa kesan dan bekas dihati. Cerita pasal politik jauh sekali untuk dikongsi. Kawan baik aku yang juga setiausaha kerja sebuah parti pembangkang pun langsung tidak mengajak atau membuka cerita pasal kisah semasa yang berlaku. Sebenarnya 3 hari bukannya masa yang lama untuk berkongsi-kongsi cerita, lagipun aku banyak menghabiskan masa aku bersama keluarga.

Kebetulan pada hari aku balik, ahli perniagaan paling glamour sekarang ini iaitu Shazryl Eskay yang mewakili Datuk Trio telah melafazkan sumpah muhabalah di sebuah masjid di bandar baru Sentul. Aku harapkan apa yang dilakukan oleh beliau itu mampu untuk menyelesaikan isu Video Seks ini. Diharapkan selepas ini isu ini tidak diungkit lagi kerana semua pihak seharusnya sudah tahu siapa yang bersalah dalam soal ini.

Hari ini, dunia dikejutkan dengan berita kematian orang Islam yang paling ditakuti oleh USA iaitu Osama bin Laden. Osama bin Laden diberitakan telah dibunuh oleh pihak tentera USA di sebuah rumah di Pakistan. Turut terbunuh bersama-sama beliau adalah anak dan isteri beliau. Diberitakan juga, mayat Osama bin Laden telah diuruskan upacara pengkebumian oleh pihak USA di dalam laut setelah negara Arab Saudi dan Pakistan tidak mahu menerima mayat Osama bin Laden. Osama bin Laden banyak dikaitkan dengan siri keganasan yang dilakukan terhadap kepentingan Amerika. Siri keganasan beliau yang dikatakan paling ganas adalah pengeboman Bangunan World Trade Center pada September 11, 2001. Walaupun pihak USA begitu yakin bahawa serangan kapal terbang ke bangunan tersebut dilakukan oleh AlQaeda yang diketuai oleh Osama bin Laden, tetapi masih ada juga pihak yang percaya ada  misteri disebalik serangan tersebut.

Banyak pihak yang mungkin menaruh keyakinan bahawa dengan  kematian Osama bin Laden, maka keganasan akan semakin menghampiri titik nokhtah. Pada pendapat aku, keganasan bukannya dicetuskan oleh Osama bin Laden sahaja. Ramai lagi pihak yang diluar sana yang ganas-ganas malah lebih ganas dari Osama. Namun demikian, keganasan mereka dilindungi oleh pihak tertentu. Lihat sahaja apa yang  telah berlaku di Iraq suatu ketika dahulu. Pihak Amerika yang diketuai oleh Bush telah bertindak menyerang Iraq sehingga membunuh dan menghancurkan negara Iraq. Namun disebabkan Bush itu seorang ketua sebuah Negara Amerika, maka beliau tidak digelar penganas walaupun tindakan beliau itu lebih ganas dari Osama bin Laden.

Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh pemimpin Israel kepada penduduk awam Palestin. Setiap hari ada sahaja penduduk awam Palestin yang dibunuh oleh Israel. Tetapi oleh kerana ianya dilakukan oleh pemimpin sebuah negara yang pro- Amerika, maka pemimpin Israel tidak digelar penganas walaupun tindakan pemimpin mereka  lebih ganas dari Osama bin Laden.

Aku bukan menyokong Osama bin Laden ataupun Al Qaeda, jauh sekali untuk menyetujui apa yang telah mereka lakukan. Aku juga bersetuju kegiatan Al Qaeda patut dihentikan, namun aku tidak tahu adakah Osama patut disalahkan ke atas semua keganasan yang dilakukan yang dikaitkan dengan Al Qaeda selama ini. Adakah semua keganasan yang dilakukan itu datangnya dari arahan beliau. Itu aku tidak tahu.

Sekarang ini, pemimpin Libya iaitu Muhammad Ghadapi nampaknya akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Iraq iaitu Sadam Husein yang telah diburu dan dijatuhkan hukuman mati di tali gantung. Asalnya, Muhammad Ghadafi hanya hendak memerangi pemberontak yang mengangkat senjata yang  ingkar dan tidak patuh kepada kerajaan yang sah. Tindakan ini sebenarnya sah disisi undang-undang negara tersebut. Keadaan yang sama juga pernah berlaku di Malaysia dimana pihak kerajaan telah memerangi pemberontakan komunis suatu ketika dahulu, begitu juga Gerakan Aceh Merdeka di Indonesia,  puak-puak Abu Sayaf di Philipina, Di Selatan Thailand yang tidak pernah aman sehingga sekarang. Pokoknya, kenapa pihak NATO yang diketuai Amerika begitu bersemangat hendak membantu puak-puak pemberontak di Libya sedangkan di negara-negara lain mereka diamkan sahaja.

Osama bin Laden terkorban
DUA wajah Osama semasa hidup (kiri) dan selepas terbunuh dalam serangan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) di bandar Abbottabat, utara Islamabad. Bagaimanapun gambar kecederaan Osama itu diragui oleh banyak pihak.


WASHINGTON 2 Mei – Pemimpin rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden maut dalam satu operasi ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) di Pakistan, sekali gus menamatkan pemburuan selama 10 tahun yang dilancarkan AS terhadap perancang serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001.

Presiden AS, Barack Obama dalam satu pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut berkata, Osama terbunuh dalam satu serangan tentera AS di bandar Abbottabat, kira-kira 100 kilometer di utara Islamabad.

Beliau berkata, turut maut dalam operasi selama 40 minit diketuai Agensi Perisikan Pusat (CIA) itu ialah tiga lelaki termasuk seorang anak lelakinya dan seorang wanita.
“Keadilan telah ditegakkan,” kata Obama lewat malam tadi di White House, sambil menambah kata, jenazah ketua al-Qaeda itu kini berada dalam simpanan AS dan akan disemadikan mengikut hukum Islam.

Kematian pemimpin al-Qaeda itu turut disahkan Pengarah Risikan Antara Perkhidmatan Pakistan (ISI), Leftenan Jeneral Ahmad Shuja Pasha.

Seorang anggota al-Qaeda di Yemen yang dihubungi menerusi telefon turut mengesahkan ketua rangkaian militan itu terbunuh dan menyifatkannya sebagai ‘malapetaka’.

Beberapa jam selepas pengumuman mengenai kematian Osama dibuat, AS segera mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya di seluruh dunia dengan menyatakan satu keganasan anti-AS mungkin tercetus.
“Jabatan Negara AS memberi amaran kepada rakyat negara ini yang berada di luar negara supaya berjaga-jaga terhadap sebarang keganasan yang mungkin berlaku,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.
Rangkaian televisyen terbesar Pakistan, Geo turut menyiarkan satu rakaman imej muka Osama yang berlumuran darah, tetapi ia masih belum disahkan. – AFP/AP/Reuters

No comments: