Malam ini aku salin secara terus tulisan pengarang Utusan Malaysia bertarikh 24/05/2011 berkenaan ulasan berkenaan 'hajat besar' DAP di dalam arena politik tanah air. Jika nak melihat ulasan peribadi aku, sila baca hingga habis.
Jangan terperangkap 'hajat besar' DAP
CITA-CITA DAP dalam politik Malaysia bukan setakat mahu menawan Pulau Pinang sebaliknya lebih jauh daripada itu. Parti pembangkang tersebut sebenarnya mengimpikan untuk memerintah Malaysia.
Mungkin ramai yang sukar mempercayai 'hajat besar' DAP itu. Malah mungkin ada yang menganggapnya tidak logik. Ini memandangkan DAP tidak diterima majoriti rakyat sebaliknya ditolak pula terutama di kalangan orang Melayu.
Namun hakikatnya, itulah yang sedang direncanakan DAP menerusi gerakan sistematik untuk menawan Malaysia seperti mana dilakukan 'abangnya' iaitu parti PAP di Singapura.
Pendedahan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, mengenai gerakan sistematik DAP untuk menawan Perak, Melaka dan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, perlulah dipandang serius oleh orang Melayu.
Bukan sahaja orang Melayu di tiga negeri terbabit malah di seluruh negara perlu berhati-hati dengan gerakan DAP itu.
DAP hanya mencari orang Melayu untuk dijadikan calon pilihan raya semata-mata bagi memastikan sekiranya menang, Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri majoriti Melayu terbabit daripada parti itu.
Sejarahnya, parti tersebut tidak pernah pun berasa senang atau selesa malah tidak pernah jujur dengan orang Melayu dan Islam di Malaysia. Atas nama demokrasi dan hak sama rata, DAP secara terang-terangan sering kali mempersoalkan kedudukan serta hak istimewa orang Melayu.
Tetapi demi mencapai matlamat menawan lebih banyak kerajaan negeri dan seterusnya kerajaan Persekutuan, parti itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk berpura-pura memperjuang Melayu.
Jika tidak kerana kegagalan wakil DAP menjadi Menteri Besar Perak selepas PRU-12 disebabkan perlembagaan negeri mensyaratkan jawatan itu mesti disandang oleh orang Melayu, DAP tidak akan beria-ia mencari orang Melayu untuk menjadi calon parti itu pada PRU-13.
Mana-mana orang Melayu yang sanggup menjadi calon DAP dalam PRU-13, akan menjadi alat dan 'kuda tunggangan' untuk mengkhianati bangsa sendiri dan memenuhi matlamat politik parti itu.
Sebagai perbandingan, orang Melayu harus melihat nasib orang Melayu di Singapura sama ada diperjuangkan atau sebaliknya, walaupun ada orang Melayu menjadi calon atas tiket parti PAP. Ini mungkin dianggap DAP sebagai berbau rasis dan menyekat kebebasan dalam sebuah negara demokrasi. Namun, biarlah DAP membuat apa sahaja tanggapannya kerana orang Melayu tahu bahawa merekalah 'raja rasis' yang berselindung dengan menuduh orang lain rasis.
Kepada orang Melayu di Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan negeri lain, usahlah gadaikan maruah bangsa semata-mata janji manis daripada DAP yang bersifat 'dedalu atas pokok'.
Orang Melayu dalam parti pembangkang termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya nampak dan sedar tahap kejujuran DAP kini. DAP mahu lebih kuasa berbanding sekarang. DAP tidak mempedulikan rakan-rakan apabila merancang gerakan sistematik tersebut. Sekali lagi, orang Melayu tiada alasan untuk membenarkan diri mereka masuk ke dalam perangkap DAP dalam memenuhi 'hajat besar' parti itu.
Ulasan Putrarahman:
Ringkas dan padat sekali ulasan yang ditulis oleh pengarang Utusan Malaysia pada hari ini. Secara peribadi aku bersetuju dengan ulasan yang ditulisnya di sini.
DAP sebenarnya telah lama mengidamkan kuasa politik tanahair. Namun demikian mereka juga terpaksa akur kepada komposisi penduduk dan kaum di negara ini. Mereka sedar bahawa untuk mencapai puncak kuasa, mereka memerlukan undi daripada orang melayu dan juga India. Pada ketika yang sama mereka akan mempastikan undi orang cina akan berpihak kepada mereka.
Bagi mencapai tujuan tersebut, DAP telah menjalinkan kerjasama dengan PKR dan PAS. PKR walaupun kelihatan seperti parti yang dipunyai oleh orang Melayu, tetapi pada ketika yang sama ianya juga mejadi pilihan kepada kaum India yang tidak bersetuju dengan MIC. PAS pula terus menjadi pilihan kepada orang melayu yang tidak suka kepada UMNO . Apabila ketiga-tiga parti bergabung iaitu DAP, PKR dan PAS, maka sudah lengkaplah usaha DAP untuk mempastikan undi tidak pergi kepada BN. Bagi memastikan ikatan yang termeterai antara ketiga-tiga parti ini terjalin kukuh, DAP telah menggunakan Anwar Ibrahim sebagai orang atau pemimpin yang boleh menyatukan ketiga-tiga parti berkenaan. Oleh sebab itulah, mereka akan mempertahankan Anwar Ibrahim dalam apa jua keadaan apabila Anwar Ibrahim terlibat dengan kesalahan moral.
Namun demikian, apabila DAP mendapati Anwar semakin hampir ke Sungai Buloh akibat kes Liwat dan juga kes terbaru iaitu Video Seks, maka DAP telah mengurangkan kebergantungan mereka kepada Anwar Ibrahim. DAP menjangkakan bahawa impian mereka melalui PR bakal berkubur sebelum PRU 13.
Sehubungan itu, DAP telah merangka strategi baru untuk menambat dan memperolehi undi orang melayu. Mereka sedar bahawa parti DAP itu senditi sebenarnya mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan undi Melayu dan India. DAP adalah parti berbagai kaum, oleh itu kenapa mereka tidak menarik lebih ramai pemimpin Melayu itu sendiri untuk menjadi pemimpin DAP. Dalam masa yang singkat ini, DAP telah merancang untuk mempromosi pemimpin-pemimpin Melayu mereka. Mereka juga telah melancarkan portal Roketkini di dalam bahasa Melayu dengan ketua editornya orang melayu. Tujuannya supaya segala aktiviti-aktiviti DAP boleh ditulis di dalam bahasa Melayu menggunakan akhbar dan portal mereka sendiri dan tidak lagi mengharapkan kepada Suara Keadilan dan Harakah.
Rancangan DAP, jika perpecahan di dalam PR berlaku, mereka akan meletakkan calon-calon DAP yang berbangsa melayu di kawasan-kawasan Melayu. Jika sekiranya calon DAP ini menang, maka tidak ada halangan bagi DAP untuk melantik saeorang Menteri Besar dari kalangan ahli DAP yang berbangsa Melayu. Namun demikian, jika sekiranya PR masih terus bertahan, DAP akan meletakkan calon Melayu mereka di kawasan Cina dengan misi yang cukup jelas untuk melantik beliau sebagai Menteri Besar. Sudah pasti kaum cina akan mengundi calon DAP walaupun berbangsa melayu kerana mereka sedar tujuan dan objektif DAP. Namun demikian perancangan mereka ini telah dapat dihidu oleh para pemimpin UMNO. Sekarang ini kita akan lihat bagaimana DAP hendak menafikan perkara ini. Sebagaimana biasa, PKR dan PAS akan sentiasa mempertahankan DAP dalam apa jua isu yang dibongkar oleh UMNO.
Rujukan
No comments:
Post a Comment