SAHABAT BLOG

13 April 2011

PENUBUHAN KOPERASI KARIAH MASJID

Hari ini aku ingin berkongsi cerita berkenaan Koperasi. Mungkin sudah ramai para pembaca yang mengetahui berkenaan koperasi dan juga kemudahan-kemudahan yang boleh diperolehi dari koperasi. Kebetulan pada hari ini aku mendengar taklimat ataupun ceramah berkenaan koperasi yang disampaikan oleh ketua penolong pengarah Bahagian Promosi dan Pengembangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia iaitu En. Zakaria bin Mat Jusoh. Ceramahnya slow and steady tetapi penuh berisi. Orangnya rendah-rendah dan berasal dari negeri kedah. Aku ingatkan En. Zakaria ni orang Terengganu kerana Mat Jusoh tu  nama yang biasa digunapakai oleh orang Terengganu. Kebetulan cerita atau ceramah yang disampaikan oleh En. Zakaria ini merupakan sesuatu yang baru bagi aku ada sesuatu yang menarik minat aku. Itu pasal tak tertidur masa ceramah yang slow begitu.

Jika selama ini aku hanya menjadi ahli koperasi tanpa mengetahui bahawa aku juga sebenarnya aku pun boleh dan mampu untuk menubuhkan koperasi seperti koperasi keluarga contohnya. Koperasi ini suatu yang mudah untuk ditubuhkan dan mudah untuk memperolehi modal untuk memulakan projek untuk menjana ekonomi kata En. Zakaria. Namun demikian banyak juga koprasi yang tidak berjaya membayar Dividen kepada ahlinya seperti koperasi yang aku masuk. Bayangkan sudah hampir 20 tahun aku menjadi ahli, satu sen dividen pun tak dibayar. Aku tak tahulah apa masalahnya koperasi aku ni, mungkin para Ahli Lembaga pengarah koperasi aku itu tidak pandai buat duit dan mereka seronok terima duit elaun sahaja tanpa memikirkan bagaimana untuk menjana pendapatan.  Aku terfikir untuk keluarkan sahaja saham aku, tetapi kesian juga kepada koperasi aku tu. 

Aku tidak mahu pergi jauh cuma hendak berkongsi dengan para pembaca bahawa daripada penerangan En. Zakaria itu dapat aku simpulkan bahawa pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia sekarang ini sedang giat mempromosi ataupun sedang berusaha untuk menggalakkan rakyat   menubuhkan koperasi terutama di peringkat kariah masjid. En. Zakaria mengatakan bahawa beliau baru sahaja kembali dari Sarawak untuk menerangkan berkenaan penubuhan koperasi kariah masjid. Harapan beliau supaya lebih banyak koperasi kariah masjid berjaya ditubuhkan dan digerakkan untuk membantu menjana ekonomi ahli kariah yang menjadi ahli koperasi.

Penubuhan koperasi bukannya susah sangat kata En. Zakaria. Apa yang diperlukan ialah persepakatan seramai 50 orang ahli kariah masjid untuk menubuhkan koperasi. Apabila koperasi berjaya didaftarkan, koperasi boleh terus minta bantuan sebanyak RM30,000.00 daripada kerajaan untuk mengerakkan koperasi dan selepas 18 bulan, boleh memohon Pinjaman Mudah Tabung Modal Pusingan (TMP) sebanyak RM50,000.00 tanpa cagaran, sebagai modal pusingan koperasi untuk menjalankan pelbagai projek-projek yang menguntungkan.

Aku terfikir, dengan wang sebanyak RM80,000.00, pelbagai projek boleh dibangunkan samada dalam bentuk perniagaan runcit, perternakan, kilang kerepek, kilang keropok atau sebagainya yang bersesuaian dengan tempat kariah berkenaan. Contohnya di kampung aku boleh diusahakan ternakan tilapia dan patin di dalam sangkar kerana kampung aku berhampiran sungai Terengganu. Ikan Patin pun mahal sekarang ini. Ikan patin sangkar boleh mencapai RM14.00 sekilo. Kalau dah masak boleh dijual ribuan ringgit seperti yang berlaku di Temerloh baru-baru ini.  

Namun disebabkan aku berada diluar kampung, dan balik kampung pun sekali sekala, maka tidak dapatlah aku memainkan peranan untuk membangunkan koperasi ini di kariah aku. Aku harapkan pihak Suruhanjaya  Koperasi Malaysia boleh menyalurkan maklumat ini kepada semua AJK masjid diseluruh negara berkenaan penubuhan koperasi kariah masjid ini kerana aku percaya masih ramai yang tidak tahu.

Kerajaan sebenarnya banyak duit untuk diberikan kepada rakyat, tetapi kerajaan tidak bolehlah menyalurkan duit begitu sahaja. Maka penubuhan koperasi ini adalah satu kaedah untuk kerajaan menyalurkan wang kepada kariah masjid untuk menjana ekonomi setempat. Akupun tidak tahu prosedur lanjut berkenaan penubuhan koperasi kariah masjid ini. Tetapi kalau dilihat daripada kesungguhan En.Zakaria menerangkan mengenai kebaikan dan harapan beliau supaya lebih banyak kariah masjid menubuhkan koperasi, maka aku merasa terpanggil untuk mencatatkan disini. Sebenarnya ceramah itu lebih terperinci lagi, tetapi kalau aku catatkan disini, berjela-jela pula jadinya. Kalau sesiapa nak tahu dengan lebih lanjut berkenaan koperasi boleh layari Suruhanjay Koperasi Malaysia ataupun telefon terus kepada En. Zakaria sendiri di Bahagian Promosi dan Pengembangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia.



No comments: