SAHABAT BLOG

02 March 2011

Hitam atau Putih.

"Pengguna kenderaan yang belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini......Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof .

Alamak, berat jugak kes ni.  Saman had laju tahun 2007 dahulu aku dah bayar. Selepas di saman pada tahun 2007, aku tidak pernah menerima surat saman daripada pihak polis walaupun alamat surat menyurat telah dikemaskini. Aku tunggu juga kot-kot ada surat saman datang, tetapi sungguh hampa kerana tidak ada yang datang hendak hantar saman. Alamat aku dah kemas kini di JPJ.

Jika tidak menerima surat saman daripada pihak polis bermakna aku tidak tahu samada aku kena saman atau tidak.  Kebiasaannya dalam hal saman menyaman ni, orang yang menyaman kebiasaannya menyampaikan writ saman mereka kepada orang yang di saman. Orang yang kena saman pun tahu bahawa mereka telah disaman. Dalam kes saman ekor ni, aku tak tahu adakah kaedah dan cara yang sama digunakan oleh undang-undang. Namun demikian kalau diikutkan logiknya, jika kita di saman oleh pihak JPJ atau Polis, sepatutnya pihak polis atau JPJ perlu menghantar surat saman dan menyatakan bahawa kita telah disaman, dimana di saman, disaman di bawah peraturan mana, jumlah  saman dikenakan, dimana hendak dijelaskan dan bila hendak bayar, berapa tempoh  aman itu perlu dijelaskan dan lain-lain lagi. Bila pengguna dah terima writ saman atau surat saman, barulah mereka berpeluang untuk mennguruskan hal-hal yang berikutnya, samada hendak bayar ke, hendak merayu ke ataupun hendak lawan di mahkamah.

Dari segi undang-undang, adakah menjadi satu tugas dan tanggungjawab pengguna jalanraya untuk menyemak saman mereka?  Kebanyakkan pengguna beranggapan bahawa mereka tidak melakukan kesalahan, maka sebab itu mereka tidak menyemak saman. Rupa-rupanya, mereka tak perasan ada pegawai polis yang menyorok sedang merakam had laju mereka.

Pasal duit saman ni, ada suara-suara sumbang yang dibualkan oleh orang, kata mereka, kerajaan nak kutip duit saman kerana nak berbelanja untuk PRU ke 13. Mereka kata, oleh kerana banyak sangat PRK, maka kerajaan telah tak ada duit untuk dibelanjakan dalam PRU nanti. Jahat betul dia orang ni, menuduh kerajaan yang bukan-bukan. Kerajaan tak buat kerja lagu tu. Macam-macam tuduhan membuta tuli kepada kerajaan. Kesian kerajaan.

Berita yang aku petik dari Utusan online kenyataan Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di atas .


17.3j saman trafik disenarai hitam

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Mac - Sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pengguna kenderaan di seluruh negara akan disenaraihitamkan mulai hari ini.

Tindakan itu diambil setelah tempoh yang diberikan untuk orang ramai membayar saman tersebut sejak Ogos tahun lalu, berakhir semalam.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, jumlah itu adalah baki daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan oleh pihaknya atas pelbagai kesalahan sejak 2001 sehingga semalam.

Menurutnya, daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan dalam tempoh 10 tahun itu, sebanyak 31.9 juta saman dibayar oleh pengguna kenderaan sehingga semalam.

"Pengguna kenderaan yang belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini.

"Pengguna yang enggan membayar saman tertunggak selepas tarikh semalam perlu bersedia menerima implikasi jika disenarai hitam.

"Tempoh enam bulan sejak Ogos tahun lalu yang diberikan oleh kerajaan sebagai kelonggaran untuk pengguna yang mempunyai saman tertunggak menjelaskan saman mereka sudah memadai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Semalam merupakan tarikh akhir yang diberikan oleh kerajaan kepada pesalah trafik untuk menjelaskan saman tertunggak mereka masing-masing sebelum dikenakan tindakan senarai hitam.

Menurut Abdul Aziz, sepanjang tempoh pembayaran saman yang diumumkan kerajaan sejak Ogos lalu, sebanyak 5.5 juta saman dijelaskan oleh pengguna kenderaan.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 1.5 juta saman diselesaikan pada minggu terakhir tempoh tersebut iaitu sepanjang minggu lalu mulai 21 Februari sehingga tengah malam tadi.

Beliau memberitahu, pihaknya membuat anggaran sebanyak 187,417 saman dijelaskan sehari dalam seminggu sebelum tempoh itu tamat.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan enam kali ganda daripada hari pembayaran biasa.

"Semalam sahaja, sebanyak 375,248 saman berjaya dijelaskan sehingga pukul 12 tengah malam berikutan tarikh terakhir pembayaran sebelum tempoh menyenarai hitam dilaksanakan.

"Situasi ini menunjukkan sikap segelintir masyarakat yang gemar menyelesaikan saman mereka pada saat-saat akhir," katanya.

Ditanya mengenai pesalah trafik yang disenarai hitam, Abdul Aziz berkata, mereka akan menghadapi kesukaran antaranya untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan.

Beliau juga berkata, berkuat kuasa hari ini, orang awam yang dikenakan saman baru akan disenarai hitam jika gagal membayar saman tersebut dalam tempoh dua bulan.

"Ia akan berlaku secara automatik dalam sistem jadi bila disenarai hitam, seseorang itu tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka," katanya.

Mengenai aduan orang ramai yang sukar membayar saman berikutan sistem tergendala semalam, beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada penggunaan yang terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh sistem.



5 comments:

dinturtle said...

rumah baru nampak....... HIJAU tuh ! Gambar anak2 dibatuburuk waktu raya cina baru ni ke ?

soal saman ni, bayangkan mereka yang disaman pakat ramai2 gi mahkamah belaka ... guana gamok ? berapa tahun nak settle semua kes, waktu sama kes baru tetap ada..

putrarahman said...

Rumah Hijo, bior sojuk mato memandang.

Ha ah, dokek Batu Burok. Tak ingat bile, tapi bukan Raya Cine, rasanye, pada raye haji dulu. Aku, tiap kali raye akan pulang ke kampong. Orang kampunglah katakan.

Anonymous said...

eloklah tu ..warna hijau dan putih. sejuk mata memandang.. warna biru ni ... tak berapa sejuk.

pasal duit saman tu kita pun tak tau kerajaan guna utk apa.... duit rakyat dah jadi hak kerajaan... dia boleh buat macam-macam termasuk pembangunan dan pru 13 juga. jadi tak salah sekiranya rakyat "bercerita" begitu berikutan keadaan ekonomi negara yg kurang memberangsangkan dimana rakyat terpaksa menanggung bbeban kenaikan harga barang. semalam dalam berita tv ada pemimpin kesatuan sekerja memaklumkan pendapatan RM3,500 ke bawah adalah di sifatkan sbg pendapatan sederhana. bayangkan kalau gaji sesorang penjawat awam hanya rm1,500 hingga rm2,500.. belum tolak kwsp, socso, loan mcm2...dan terkini saman dan saman ekor kena bayar. apa yang tinggal??? renung-renungkan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". saman memanglah kena bayar.... tapai setiap individu bertanya kenapa mesti ada "tarikh akhir" utk dpt diskaun. apa salahnya bagi diskaun sepanjang tahun. utk sapa??? utk rakyat juga.... kan slogan di atas utk rakyat.

putrarahman said...

Hijo sejuk mata memandang. Biru kedamaian dan keamanan serta ketenangan. Kalau warna biru dan hijau digabungkan ianya menjadi warna kuning..

SEmakin besar pendapatan semakin besar kehendak manusia ni. kalau masa pendapatan RM2,000.00 cuma pakai Proton Saga je. Bila pendapatan dah naik RM4,000.00 dah tukar kereta Honda City. Kalau macam ni, sampai bila pun tak pernah cukup. Jutawan pun banyak hutang juga, bila-bila massa boleh muflis kalau tak kena cara hutang diuruskan.

Terima kasih.

Anonymous said...

itu bagi mereka yg suka berhutang. tapi kat malaysia ni kita boleh dikatakan wajib berhutang, beli rumah (keperluan asas), dahla mahal rumah ni. ok la.., tapi membeli kereta pun kena hutang....harga kereta kat malaysia amat mahal disebabkan tax kerajaan malaysia yang melampau tinggi peratusnya. yg herannya beli kereta butan malaysia pun kena tax yg tinggi... ni kira mcm mana. patutnya kerajaan kena kurang kan tax utk kereta malaysia. sekadar kancil mata bulat tu kena bayar rm35k... ada logik ke.. kalau kereta perdana V6 dijual dan boleh dibeli di negara luar hanya RM70ribu shj... kenapa di malaysia sampai rm120k. inilah tekaan kerajan terhadap rakyatnya. tak sesuai langsung dengan slogan "rakyat didahulukan"... ini satu contoh shj. fikirlah....