SAHABAT BLOG

18 January 2011

BACAAN SELAIN AZAN DI PEMBESAR SUARA PATUT DIHENTIKAN - KATA DR. MAZA

BACAAN SELAIN AZAN DI PEMBESAR SUARA PATUT DIHENTIKAN
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)



Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;



1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak

Ulasan :

Memang benar memang bacaan ayat-ayat suci Al Quran yang dipasang sebelum waktu sembahyang itu mengasyikkan dan syahdu di dengar terutama bila kaset yang dimainkan itu bacaan Imam Syudais diwaktu subuh hening dengan sayup-sayup memecah keheningan malam. Bagi sesiapa yang diberikan Hidayah, seperti Umar Ibnu Khatab, sudah pasti akan terpegun dengan bacaan ayat-ayat Suci Al Quran. Tujuan mereka yang memperdengarkan bacaan memang baik dan bagus semoga akan ada hati-hati orang kapir ini yang diberikan hidayah oleh Allah sebagaimana Saidina Umar Ibnu Khatab. Seperti bacaan terahin yang dialunkan setiap Subuh, itu sebenarnya telah lama diperdengarkan semenjak ratusan tahun yang lalu dan kalau ianya dialunkan dengan lembut dan tidak kasar serta terlalu kuat, kenapa ianya hendak dihentikan?

Daripada kita mempertikaikan bacaan Al Quran yang dialunkan dengan merdu dan syahdu ini, adalah lebih baik kita mempertikaikan ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang kadang-kadang perasan bahawa mereka seorang pemidato. Ceramah mereka kadang-kadang aku dengar bukannya mengajar dan memberikan pengajaran tetapi seperti berdebat atau berpidato dengan suara yang kuat. Kadang-kadang aku keliru adakah mereka sedang marahkan seseorang atau sesuatu pihak atau sedang memberi ceramah. Ada kalanya seperti suara orang bergaduh. Jika ceramah disampaikan dalam keadaan sedemikian rupa, mana mungkin objektif ceramah itu berjaya dicapai.

Lagi satu, aku perhatikan selepas sembahyang berjemaah, ada sesetengah imam akan berwirid dengan suara yang kuat dibantu penggunaan pembesar suara. Sudah tentu bunyinya kuat dan kedengaran seluruh masjid. Masalahnya pada masa itu, masih ada lagi jemaah yang bersembahyang wajib iaitu mereka yang masbuq. Pada akulah, tidak salah berwirid kerana ianya juga dituntut oleh Islam tetapi alangkah lebih baik jika dipelankan supaya tidak ganggu jemaah yang sedang sembahyang. Tidak boleh disalahkan jemaah yang masbuq itu kerana ianya memang syariat Islam. Sebagaimana hadis Nabi S.A.W. bil. 4 dalam rencana Ustaz Asri di atas. Kita dilarang membaca Al Quran dengan kuat sehingga menggangu orang lain sedang beribadat. Mana lebih afdhal samada berwirid atau membaca Al Quran?.

3 comments:

Anonymous said...

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jangan terus menikus kerana rakyat benar-benar ingin melihat beliau mengakibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim demam kerana berdebat dengannya.

"Berdebatlah. Cakap besar dari jauh apa gunanya.

"Kalau betul Najib ada semua maklumat mengenai Anwar dan kalau dia dedahkan, Anwar akan demam, tunggu apa lagi?

"Janganlah menikus tak habis-habis. Sambutlah cabaran Anwar untuk berdebat dan dedahkan semua maklumat itu. Rakyat pun nak tahu juga.

Sebelum itu, ketika berucap kepada para peneroka di Felda Chemplak, Tenang, Najib berkata: "Kenapa saya harus takut berdebat dengannya? Saya adalah perdana menteri. Saya ada semua maklumat. Kalau saya dedahkannya... adoi... dia akan demam".

"Tak usahlah menyuruh Anwar menyelesaikan masalah peribadinya kalau diri sendiri tak henti-henti melarikan diri dari masalah peribadi ekoran pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Beliau juga mengingatkan Najib supaya jangan cuba melarikan diri dari membahaskan masalah ekonomi negara dengan bercakap besar kononnya dia boleh mengakibatkan Anwar demam kalau dia mendedahkan isu peribadi Ketua Pembangkang itu.

Beliau mengingatkan Najib bahawa debat di antara beliau dan Anwar bukan isu peribadi tetapi debat tersebut adalah untuk rakyat dan berpaksi kepada isu-isu negara.

Anwar mengajak Najib berdebat dalam hal dan isu pengurusan negara selepas Najib menghentam program 100 hari Pakatan Rakyat (PR).

"Sebagai Perdana Menteri, Najib harus berani mempertahankan dasar-dasar dan tatacara pentadbirannya di khalayak umum ketika Anwar sendiri bersedia mempertahankan program 100 hari PR yang diburuk-burukkan oleh Najib," katanya.

Beliau mempersoalkan, adakah Perdana Menteri tidak tahu membezakan hal ehwal negara dengan isu peribadi?

"Kalau isu peribadi, orang tidak berdebat, malah boleh bersembang kedai kopi sahaja. Susahlah negara kalau Perdana Menteri mempunyai gaya pemikiran yang setahap pemikiran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk) Ahmad Maslan," katanya.

putrarahman said...

Terima Kasih kepada Tanpa nama yang memberikan komen walaupun pinjam komen orang lain.

Anwar Ibrahim sedang mencari populariti ataupun ingin menaikkan semula nama dan imej beliau di mata masyarakat setelah satu persatu kemungkaran beliau dibongkarkan. Terbaru yang saya dapat maklumat daripada penulis blog ialah berkenaan penyaksian mata anak perempuan beliau iaitu Nurul Izzah terhadap perbuatan terkutuk beliau dengan bekas pemandu isteri beliau.

Manusia kalau sentiasa membuat jahat, dan tidak pernah ada niat untuk bertaubat, nescaya suatu hari Allah akan bongkarkan segala-galanya melalui pelbagai cara.

Aku tidak tahu setebal manakah muka beliau sekeluarga apabila begitu ramai yang menghina beliau saban hari dan saban ketika di seluruh pelusuk Malaya. Aku tidak mahu menghukum samada beliau bersalah atau tidak namun jika melihat dan membaca kutukan-kutukan yang diterima oleh beliau, aku keliru samada ianya satu balasan dariNya ataupun ujian dariNya, siapa tahu. Namun jika seandainya satu ujian, kenapakah semakin hari semakin berat ujian yang diterimanya dan semakin merebak kepada ahli keluarga yang lain.

Memang benar, PM mempunyai banyak maklumat berkenaan Anwar Ibrahim, tetapi pada saya, memandangkan kes beliau masih berjalan di Mahkamah, maka maklumat-maklumat itu tidak boleh didedahkan kerana ianya menganggu mahkamah dan PM boleh dituduh menghina mahkamah. Pembayang yang diberikan oleh PM itu sebenarnya sudah boleh menutup dan mengunci mulut para 'pemuja' Anwar Ibrahim termasuklah yang bergelar Tuan Guru.

Nasihat aku kepada PAS, jika hendak menang di Galas, jangan benarkan Anwar Ibrahim bertandang apatah lagi berkempen di Tenang. Biarlah PAS berusaha sebagai anak jantan sebagai medan ujian. jika PAS menang tanpa bantuan dan sokongan DAP dan PKR, maka why not, PAS berpisah daripada PR kerana itu adalah yang sebaik-baiknya kepada umat Islam di Negara ini.

Anonymous said...

pm kata dsai byk masalah peribadi. pm suruh dsai selesai kan dulu masalah peribadi. kenapa pm nak pusingkan tajuk pulak. yg nak dibahaskan bukan isu peribadi.. ianya isu negara. jgn jadi macam menteri umno yg bahas dgn dsai dulu. antara syarat2 adalah - tidak boleh menyerang peribadi lawan. jelas sekali menteri tersebut tidak dapat mengawal emosi. berbalik kpd debat pm-dsai ... kalaulah ianya berlaku apa salahnya. byk negara eropah dan negara maju pun berdebat. kenapa helah pm spt buang masa... la.. nampak sgt mcm tak berani. kalau benar apa nak takut. jgn dok berkokok sorang diri dl rtm, utusan dan tv3..