SAHABAT BLOG

17 January 2011

Rokok adalah Kambing Hitam ku.

Malam ni aku bercadang untuk menulis dan bercerita berkenaan PRK Tenang. Mungkin disebabkan kawasan itu bernama Tenang, maka aku lihat tidak banyak yang dibicarakan oleh pemimpin besar parti-parti di malaysia ini. Aku dapati PM kita lebih fokus ke Sarawak. Mungkin dia lebih risau dengan Pilihanraya Negeri Sarawak berbanding Tenang.

Sedang aku mencari bahan-bahan untuk menulis, kawan aku yang telah lama tidak jumpa talifon. Dah lama tak berborak dengan dia sudah tentu banyak perkara yang diceritakan. Salah satu perkara yang kami bincangkan ialah berkenaan berhenti merokok. Memang dia tahu bahawa aku sudah lama berhenti merokok, lebih kurang 6 tahun. Apa yang dia tidak tahu bahawa aku baru sahaja balik dari membeli rokok. Aku tidak beritahu dia bahawa aku kembali merokok secara runcit dan secara kecil-kecilan. Perokok runcitlah katakan. Dia bertanyakan aku bagaimana cara aku berhenti rokok dahulu? Bagaimana aku nak bagi tahu kerana setiap orang itu mempunyai pelbagai sebab untuk berhenti merokok. Aku bagi tahu dia bahawa aku berhenti rokok dahulu disebabkan aku sakit. Walaupun aku tahu bahawa sakit aku itu tidak ada kaitan dengan rokok, tetapi aku jadikan rokok sebagai kambing hitam. Aku jadikan rokok itu sebagai punca aku sakit, walaupun doktor mengesahkan bahawa sakit aku tidak ada kaitan dengan rokok, tetapi aku percaya bahawa rokok menjadi salah satu punca kemerosotan kesihatan aku. kepercayaan itu telah menyebabkan rasa benci aku terhadap rokok semakin mendalam. Apabila aku berhenti merokok, barulah aku tahu bertapa busuknya nafas seorang perokok itu bila bercakap. Aku bukan menghina, kerana inilah realitinya yang aku alami dahulu. Aku fikir, nafas aku juga sudah tentu berbau sedemikian semasa aku merokok dahulu. Sekarang ini, bila aku merokok sekali sekala, aku pastikan di dalam poket aku ada tersedia gula-gula yang boleh membantu menghilangkan bau nafas.

Rakan aku itu tak percaya bahawa aku berhenti merokok disebabkan aku sakit kerana dia tahu bahawa semasa aku menghidap batuk yang berpanjangan dahulu, aku masih juga merokok. Apa lagi yang aku boleh bagi tahu jika dia tidak percaya. Dia tahu, tabiat merokok aku memang dasyat. Pagi-pagi, jika orang lain bersarapan dengan nasi goreng atau roti canai baru merokok, aku pula merokok dahulu baru mencari nasi goreng atau roti canai. Kalau disambungkan setiap batang rokok yang aku telah hisap, mungkin telah mencapai ratusan kilometer. Aku pun sebenarnya tidak tahu bagaimana punca sebenar aku boleh berhenti merokok, apa yang aku pasti adalah aku sentiasa mempunyai niat untuk berhenti dan niat itu sentiasa sahaja mengiringi setiap hembusan asap rokok aku. Setiap kali pengumuman bajet diumumkan, cukai rokok akan dinaikkan dan akibatnya harga rokok pun turut meningkat naik. Kenaikan harga rokok ini juga telah membantu aku berhenti merokok. Kadang-kadang aku kesian kepada perokok kerana mereka terpaksa membelanja duit yang banyak untuk mengekalkan tabiat buruk mereka itu.

Aku tidak dapat memberikan jawapan yang tepat bagaimana aku berhenti merokok kepada kawan aku itu. Tapi apa yang aku tekankan kepada dia ialah, anggaplah rokok itu sebagai musuh dan jangan jadikan ianya sebagai kawan yang tidak boleh berpisah. Letakkan segala kesalahan dan kejadian yang berlaku samada seluar berlubang, batuk, loya, pening, kawan menjarakkan diri semasa bercakap ataupun sebagainya kepada rokok. Setiap kali mencapai rokok untuk dihisap, tanamlah rasa benci kepada rokok dan niatlah di dalam hati bahawa itu adalah rokok terakhir yang kita akan hisap. Apabila kita telah menanam nilai kebencian yang mendalam terhadap rokok, pasti suatu hari nanti fikiran kita akan mengawal kita untuk memberitahu bahawa kita telah melakukan satu perbuatan yang kita benci dan tidak suka.

Sebagai panduan dan untuk meringkaskan mengenai petua-petua berhenti merokok, aku tuliskan beberapa petua yang aku perolehi daripada pembacaan aku dan bukannya dari pengalaman aku.

1. Jadikan rokok itu sebagai punca segala penyakit yang dihidapi termasuklah ketidak upayaan anda semasa di ranjang.

2. Jika anda termengah-mengah semasa menaiki tangga walaupun dua tingkat, jadikan rokok itu sebagai puncanya.

2. Buanglah putung rokok di dalam tandas dan tinggalkan seketika, selepas itu lihat kembali ke dalam mangkuk tandas, anda akan dapati warna air telah bertukar menjadi warna kuning. bayangkan apa yang terjadi kepada paru-paru anda.

4. Fikirkan, jika anda membelanjakan RM10.00 sehari untuk membeli rokok, anda sebenarnya boleh berjimat sebanyak RM10.00 sehari jika anda tidak merokok.

5. Tangguh dan ubah tabiat merokok anda. Contohnya jika anda suka menghisap rokok selepas makan, maka tangguhkan tabiat menghisap rokok selepas makan hingga beberapa ketika sehingga rasa masam manis makanan itu telah hilang, barulah anda mencapai rokok. kebiasaannya waktu paling cemas untuk merokok ialah selepas makan.

6. Cuba berhenti merokok sehari dan pergilah masuk ke dalam kawasan mereka yang merokok, sudah pasti anda akan menghidu satu bau yang tidak menyenangkan. sebenarnya bila merokok, hidung kita telah hilang rasa peka untuk menghidu kesemuanya itu. Jika anda hendak merokok, bayangkan bau yang telah anda hidu itu.

7. Jika anda merasakan bahawa anda belum bersedia untuk berhenti merokok walaupun anda tahu akan bahaya dan juga cara-cara untuk berhenti merokok, tetapkan satu tarikh dan tanamkan satu azam yang kuat untuk anda berhenti merokok. AKu dahulu telah berazam jika aku mendapat anak lelaki, aku akan berhenti merokok, dan azam itu aku telah suarakan kepada isteri aku. Alhamdulillah aku mendapat anak lelaki dan aku pun berhenti merokok, tetapi bukan dengan serta merta. Enam bulan selepas itu, baru aku boleh berhenti merokok. Kini merokok kembali secara kecil-kecilan. Selepas ini, sebelum saraf ketagihan aku kembali disentuh, aku kena mencari masa yang sesuai untuk berhenti merokok semula. nampaknya aku kena buat azam baru. Jika dapat anak lelaki kedua, aku akan berhenti merokok semula, tetapi entah bila, kerana isteri aku nampaknya tidak ada kesungguhan untuk mengandung buat masa sekarang ini.

Sebenarnya walau sebanyak mana petua dan juga ubat yang disediakan, jika anda suka kepada tabiat merokok itu maka teruskanlah tabiat itu. tabiat anda adalah hak milik kekal anda, tiada siapa yang berhak untuk menghalang tabiat anda. Ini sahaja yang mampu dituliskan malam ini. Tderima kasih kepada sesiapa yang membaca. Jika anda seorang perokok, aku pohon maaf jika menyinggung hati anda dan jika anda ada rasa apa yang tuliskan ini membantu anda untuk berhenti merokok, maka panjangkanlah kepada kawan-kawan yang bercadang hendak berhenti merokok. Ataupun mungkin juga anda boleh menjadi perokok kecil-kecilan atau pun perokok runcit seperti aku. Setiap malam selepas makan malam, aku akan hidupkan engin motor sambil memberikan alasan untuk membuang sampah, aku akan pergi ke warung untuk membeli sebatang rokok.

Sebahagian daripada petua-petua yang aku tuliskan disini didapati daripada buku tulisan Ben Sweetland yang bertajuk. " I can".

No comments: