SAHABAT BLOG

02 December 2010

Ketuanan Merlayu VS Ketuanan Rakyat

Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata istilah Ketuanan Melayu hanya ciptaan ahli politik dalam menggambarkan kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu. "Saya tidak tahu kenapa timbulkan isu ini. Apa yang saya nampak adalah 'Ketuanan Anwar' dalam PKR. 'Ketuanan Anwar' yang perlu dihapuskan. 'Ketuanan Melayu' hanya nak kaburkan 'Ketuanan Anwar'. Pada pandangan saya, konsep itu (Ketuanan Melayu) tidak ada," katanya. Shamsul mengulas kenyataan presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu Ahad lalu.

Dr Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu bermaruah'. Sambil mempersoalkan tindakan Dr Wan Azizah, Shamsul berkata kenyataan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah gimik politik dan untuk menutup kemelut yang dihadapi PKR ketika ini. Katanya, Dr Wan Azizah perlu melihat semula apa yang dimaksudkan dengan ketuanan itu dan tidak seharusnya mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Menurut beliau jika dilihat dalam soal ekonomi, kaum Cina mendominasi sebanyak 70 peratus daripadanya manakala Melayu hanya 30 peratus, dan tiada istilah kaum Melayu mendominasi dalam semua aspek.
Kesan buruk "Kalau kita lihat sepatutnya 70 peratus itulah yang tuan. Jadi, ketuanan Melayu itu menunjukkan apa? Apa dia ketuanan itu? Dia (Dr Wan Azizah) sendiri tidak jelas apakah maksud ketuanan itu," katanya. Beliau berkata ahli politik seharusnya memikirkan isu yang relevan untuk dibincangkan dan tidak membangkitkan isu yang boleh mendatangkan kesan buruk antara kaum.

Sementara itu bagi pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim istilah Ketuanan Melayu tidak perlu dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam perlembagaan negara,. Beliau berkata dalam aspek sejarah, hanya 'Ketuanan Raja' yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja. "Sebelum ini tidak pernah disebut 'Ketuanan Melayu' dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan cuma 'Ketuanan Raja' iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. "Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan," katanya. Khoo berkata istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum. "Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh," katanya. - Bernama


Ulasan Saya

Anuar Ibrahim dan PKR melaungkan "Ketuanan Rakyat". Apa itu ketuanan rakyat?. Jika dalam konsep ketuanan melayu, mereka (PKR) memahami bahawa ianya melibatkan konsep seorang tuan dan hamba. Jika kita ambil tafsiran ini dan bawa kepada konsep ketuanan rakyat yang dilaungkan oleh mereka membawa maksud rakyat itu adalah tuan dan pemerintah pula menjadi hamba. Siapa pula yang dimaksudkan dengan pemerintah itu?

Untuk mengenalpasti siapa pemerintah itu, kita kembali kepada perlembagaan persekutuan menyatakan kuasa pemerintah adalah raja-raja melayu. Jika demikian hal nya, adalah PKR ingin menjadikan raja-raja melayu sebagai hamba? Ini tidak mungkin terjadi sama sekali kerana perlembagaan persekutuan bukan sesuatu kitab buku rujukan sekolah yang boleh ditukar sesuka hati. Jika hal yang demikian, siapakah pula yang menjadi hamba jika sekiranya rakyat menjadi tuan?. Persoalan ini ditinggalkan kepada PKR untuk mereka jawab.

Kesimpulannya, saya berpendapat istilah ketuanan rakyat adalah satu istilah yang membabi buta dan diistilahkan tanpa berfikir panjang bagi tujuan menggantikan konsep ketuanan melayu yang dipegang oleh bagi tujuan mengaburi dan mengelirukan rakyat . Istilah ini harus dibuang dan digantikan dengan istilah baru yang lebih tepat jika sekiranya PKR tidak suka dengan istilah ketuanan melayu. Mereka mungkin boleh menggunakan istilah pemerintahan rakyat. Namun demikian sudah tentu mereka akan mengalami kesukaran kerana perlembagaan telah menetapkan bahawa raja-raja melayu adalah pemerintah bagi persekutuan dan negeri-negeri melayu.

3 comments:

hingus said...

Namun demikian sudah tentu mereka akan mengalami kesukaran kerana perlembagaan telah menetapkan bahawa raja-raja melayu adalah pemerintah bagi persekutuan dan negeri-negeri melayu. - tapi kuasa apa yg ada pada raja skrg. setakat tentu hari raya, adat melayu, bubar parlimen...itupun setelah dapat "perkenan" PM . byk kuasa raja melayu dihapuskan era tun Mahathir. pada masa tu tak sorang pun pemimpin umno bangun memberontak.. malah mereka tak nampak pun inilah ssuatu penghinaan terhadap raja melayu seterusnya minidakkan "ketuanan melayu".

Anonymous said...

bukan tak berani tegur...tapi klu tegur umno...kena buang jawatan umno.. pastu hilang kuasa..periuk nasi kena jaga jugak

putrarahman said...

Terima kasih kepada Hingus dan Tanpa Nama 13:06.
Pada saya, lebih baik dikurangkan daripada dihapuskan langsung. Lagipun negara kita mengamalkan konsep raja berpelembagaan iaitu perlembagaan lebih tinggi dari sultan. Jika kuasa itu tidak dikurangkan, konsep ini tidak bertepatan kerana ada ketikanya sultan lebih tinggi kedudukannya daripada perlembagaan.