SAHABAT BLOG

28 December 2013

GST ( Gasak Sampai Tenat)

23 Dec 2013. Pak Hassan dengan Pak Mail seperti biasa akan bertandang ke kedai Munah untuk minum kopi. Hari Senin adalah hari Pasar tani di Kuala Berang. Pak Hassan dan Pak Mail “diarahkan” oleh isteri masing-masing untuk ke Pasar tani bagi tujuan membeli ikan aya. Nak buat lauk nasi daganglah tuh….

“San,  mun mari jugok deh, meh kita minum air di kedai Munah dulu”. Ajak Pak Mail kepada Pak Hassan.

“Mehlah lagipun aku tak minum lagi pagi ni. Kat rumah pun cuma ada ubi kayu rebus je”. Pak Hassan terimaan pelawaan Pak Mail.

“Munah, Kopi O satu. Nasi minyak ni, lauk apa?” Pak Hassan order minuman.

“Buat dua Kopi O. Kasi Kaw-kaw. Telur masak separuh dua biji”. Pak Mail membuat order tambahan.

“Pak Hassan. Nasi minyak tu lauk gulai daging. Lauk gulai ayam dah habis. Telur tak adalah Pak Mail. Kebetulan pagi tadi tak sempat nak beli lagi”. Munah membalas order Pak Mail dan Pak Hassan.

“Takpelah kalau macam tu, aku makan nasi minyak jugaklah” Pak Mail menjawab.

“Mail, oleh kerana mun terrer pasal ekonomi. Aku nak tanya, mun tahu tak apa itu GST. Orang dok sibuk sangat sekarang ni pasal GST. Dalam TV tiap-tiap hari ada iklan pasal GST. Aku tak berapa nak faham sangat dengan GST ni” . Pak Hassan memulakan cerita. 

Memang menjadi kebiasaan bagi Pak Hassan dan Pak Mail membincangkan berkenaan isu-isu semasa setiap kali mereka  ada kesempatan untuk bersembang.

“GST is a consumption tax based on the value-added concept. GST is imposed on goods and services at every production and distribution stage in the supply chain including importation of goods and services” Pak Mail menjelaskan maksud GST kepada Pak Hassan.

“Apa tu mail, akun tak fahamlah. Mun pun tahun, Bahasa Inggeris aku bukan terrer sangat" Pak Hassan tak faham maksud GST yang diterangkan oleh Pak mail.

" GST ini adalah cukai bagi barangan dan perkhidmatan.  Ianya dikenakan ataupun dilaksanakan pada setiap peringkat pengeluaran dan juga pengagihan atau pengedaran di dalam rantaian bekalan termasuklah pengimportan barangan dan juga perkhidmatan.Maksudnya, daripada pengeluar hinggalah kepada pengguna akhir akan dikenakan cukai GST. GST ini menggantikan Government and Services Tax 10% yang dilaksanakan kerajaan sekarang ini”.  Pak Mail menterjemahkan makna GST yang beliau faham.

 “Kerajaan BN kata dengan adanya cukai GST ini ianya bakal mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan kerana pada andaian mereka, apabila cukai sedia ada iaitu 10% ditukarkan kepada cukai GST sebanyak 6%, maka secara logiknya, barangan pun mestilah kurang cukainya. Jadi tiada alasan bagi peniaga untuk menaikkan barangan mereka disebabkan GST. Pihak pembangkang pula membuat andaian GST ini bakal menyebabkan harga barang dan perkhidmatan akan naik. Pada pendapat aku kedua-dua pihak betul” Pak Mail menambah.

 “Pada aku, kenaikan harga barang yang kita alami sekarang ini, disebabkan sikap para peniaga kita.  Mereka sengaja mengambil kesempatan di atas apa jua langkah rasionalisasi yang diambil oleh kerajaan. Apabila kerajaan menaikkan harga petrol, mereka menaikkan harga barangan, bila harga gula meningkat, mereka juga turut menaikan harga barangan, bila tariff elektrik naik, para peniaga turut menaikkan harga. Mereka ini langsung tidak mengambil kira kesusahan rakyat. Tak kira Cina ataupun Melayu mahupun India, Semuanya sama sahaja jika dalam setahun ada 5 pengumuman rasionalisasi, maka 5 kalilah para peniaga kita akan naikkan harga barang. Kalau macam ni, nazak kita Mail”. Tambah Pak Hassan.

 “Pada pandangan aku, secara teorinya bagi barangan yang selama ini dikenakan cukai sebanyak 10%, maka apabila GST 6% diperkenalkan, tiada sebab barangan tersebut naik harga. Barangan ini yang kerajaan jangkakan bakal turun harga. Yang menjadi isunya, ialah banyak lagi perkhidmatan dan juga barangan yang tidak kena cukai 10%  seperti kedai gunting rambut, kedai cuci kereta, para nelayan, petani yang menjual hasil tani dan banyak lagi. Barangan dan perkhidmatan inilah yang aku fikir bakal menaikkan harga. Maklumlah , dulu tak kena cukai, sekarang dah kena cukai. Jadi tak salahlah jika pembangkang kata GST ini bakal menaikkan harga barang”. Pak Mail terus rancak menjelaskan pasal GST.

 “Amboi, Pak Hassan, Pak Mail, rancak berbual. Ni hah, kopi O kaw-kaw punyer dan nasi minyak. Kopi O dengan Nasi Minyak aku masih harga lama lagi. Mun berdua tak usah risau, lagipun aku bukan jenis peniaga yang tak berhati perut, yang asyik fikir kenuntungan besar sahaja tanpa mengambil kira kesusahan para pelanggan mereka”.  Munah menyampuk sambil menghulurkan kopi O panas dengan nasi minyak kepada Pak Hassan dan Pak Mail.

“Bagus mun Munah. Inilah sikap yang patut ada pada para peniaga kita”. Pak Mail memberikan respond kepada Munah.

“Mail, mun kata nalayan dan petani pun kena GST juga. Maknanya jika mereka kena cukai, maka cukai yang mereka kena bayar tu akan dikutip dari para pembeli ikan. Bukan lagu tu ke? Tanya Pak Hassan.

“Betul San, nelayan dan petani tidak berkecuali untuk mendaftar sebagai salah seorang pembayar GST. Namun oleh kerana produk pertanian dan nelayan dikecualikan dari GST, maka mereka boleh membuat permohonan untuk tidak terlibat dengan GST ini. Jadi janganlah pula mereka menaikkan harga disebab GST” Pak Mail mengiakan Pak Hassan.

“Sebenarnya banyak lagi yang boleh aku cerita pasal GST ni. Kalau mun rajin, cuba buka http://www.treasury.gov.my/. Banyak juga maklumat yang boleh kita perolehi dilaman web tersebut. Cuma aku nak tekan disini, secara teorinya, ada barangan yang bakal turun harga ataupun tidak sepatutnya naik harga dan ada barangan dan perkhidmatan yang bakal naik harga terutama barangan dan perkhidmatan yang tidak terlibat dengan cukai perkhidmatan 10%.  Namun demikian, aku sebenarnya cukup risau dan bimbang dengan sikap sebilangan para pengusasha dan peniaga kita. Mereka ini adalah makhluk yang suka mengambil kesempatan. Tak payahlah aku beri contoh kerana rakyat sendiri boleh menilai sikap para pengusaha dan peniaga kita” . Pak Mail membuat kesimpulan.

“ Betullah Mail, aku pun macam tu juga. Pada pendapat aku GST ini adalah satu langkah yang langsung tidak popular yang diambil oleh kerajaan untuk berlaku adil kepada semua rakyat. Selama ini daripada 29 juta rakyat kita hanya sekitar 2 juta sahaja yang membayar cukai individu, manakala Government and Services Tax 10% pun tidak menyeluruh. Jadi dengan GST kerajaan akan mengutip cukai hampir daripada 100% ataupun 29 juta rakyat kena cukai. Jadi selepas GST ini dilaksanakan, tidak ada lagi pihak-pihak yang mendakwa bahawa hanya golongan atau kaum mereka sahaja yang menjadi pembayar cukai dan penyumbang kepada pendapatan Negara. Sebenarnya GST ini sangat baik untuk Negara untuk jangkamasa panjang. Dan diharapkan, GST ini juga bakal membawa kebaikan kepada rakyat untuk jangkamasa panjang. Soal kenaikan harga atau kenaikan kos sara hidup itu, ianya hanya bersifat sementara sahaja. Rakyat Cuma berasa kurang selesa di dalam tempoh penyesuaian itu sahaja. Apabila rakyat sudah dapat menyesuaikan diri dan adjust kembali cara perbelanjaan mereka, maka isu kenaikan harga barang pun hilang.  Selama inipun ramai di kalangan rakyat kita yang berbelanja perkara yang tidak sepatutnya. Banyak membazir. Jadi dengan adanya GST ini, diharapkan rakyat kita lebih berhemah apabila berbelanja” Pak Hassan turut membuat kesimpulan.

“ Pak Hassan, Pak Mail rancak berbincang. Tambahlah lagi kopi, aku belanja. Kali ini cerita passal apa? Macam biasa, perbualan Pak Hassan dan Pak Mail ini aku tulis dalam blog aku ye”.  Tiba-tiba aku muncul. Biasalah aku biasanya muncul diakhir cerita.  

“Kali ini kami bercerita pasal GST. Puak-puak pembangkang kata GST tu, ‘Gasak Sampai Tenat’. Munah, tambah air kopi lagi satu. Sahabat kita ni baru sampai”. Pak Hassan membuat order untuk aku air kopi.


“GST” ….’Gasak Sampai Tenat’. Ha ha ha ha 

No comments: