SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Kerajaan Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Kahlid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk membatalkan saman difailkan 711 pengguna air negeri itu tahun lalu.

Hakim Datuk Hashim Hazmah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pagi tadi.

Beliau menolak permohonan kesemua defenden tersebut dengan kos.

Kesemua 711 pengguna air Selangor adalah kumpulan pertama yang mengambil tindakan undang-undang pada September lalu terhadap ketiga-tiga pihak terbabit kerana gagal membekalkan bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008 Pakatan Rakyat.

Mereka memfailkan saman itu pada September lalu bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM405,270 daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam penyata tuntutan, kesemua 711 pengguna air itu antara lain mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma itu dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh Syabas.