Tiga penduduk Kuantan hari ini gagal dalam cubaan mereka untuk menyekat operasi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan mengetepikan permohonan mereka supaya ditangguhkan keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) untuk memberi lesen pengoperasian sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) bagi menjalankan operasi loji pemprosesan nadir buminya di Gebeng.

Hakim Datuk Ramly Ali, yang mengetuai panel hakim berkenaan, berkata mahkamah itu mendapati hakim Mahkamah Tinggi bertindak betul di sisi undang-undang dan dari segi fakta apabila beliau menolak permohonan penangguhan mereka.

Katanya fungsi Mahkamah Rayuan bukan untuk mencampuri budi bicara Mahkamah Tinggi, kecuali ia melakukan kekhilafan atau mengetepikan pertimbangan yang berkaitan.

"Kami dapati tidak ada sebab yang sah untuk mencampuri keputuan Mahkamah Tinggi itu. Kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan itu," kata Ramly, yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali.

Mahkamah itu juga memerintah penduduk berkenaan membayar RM20,000 sebagai kos kepada semua responden, yang terdiri daripada menteri berkenaan, LPTA, Lynas Corporation Ltd (sebuah syarikat Australia) dan Lynas Malaysia Sdn Bhd.

Panel itu membuat keputusan berkenaan setelah mendengar hujah yang dikemukakan peguam Datuk Bastian Pius Vendargon yang mewakili penduduk terbabit, Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili Lynas dan peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili menteri berkenaan dan LPTA.

Penduduk terbabit -- Tan Bun Teet, 64, Syed Talib Syed Sulaiman, 60, dan Hasimah Ramli, 44, memfailkan permohonan bagi mendapatkan semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi mengetepikan keputusan LPTA pada 30 Jan tahun ini dan keputusan menteri berkenaan pada 13 Jun berhubung kelulusan TOL kepada LAMP.

Dalam permohonan itu, mereka juga ingin mengetepikan keputusan LPTA dan menteri terbabit pada 3 Sept untuk mengeluarkan TOL kepada Lamp.

Mereka turut memohon penangguhan keputusan dua pihak berkuasa berkenaan berhubung TOL, sementara menunggu keputusan permohonan mereka mendapatkan semakan semula kehakiman.

Pada 28 Ogos, mereka memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan permohonan semakan semula kehakiman, yang ditetapkan untuk pendengaran pada 5 Februari dan pada 8 November, hakim Datuk Mariana Yahya menolak permohonan mereka berhubung TOL itu.

-Bernama