SAHABAT BLOG

27 June 2012

Berita yang tidak diperakui Benar oleh Pakatan Rakyat.

COKAM:  Malaysia menduduki tempat ke 12 keseluruhanmnya mengatasi USA dan Britain sebagai negara paling selamat di Dunia. Ini sesuatu yang mengejutkan juga. 

Kenapa aku cakap mengejutkan, kerana jika dilihat kepada kejadian jenayah yang dilaporkan seperti pembunuhan, perogolan, penculikan, penipuan, peragutan, perabaan, dan sebagainya boleh dikatakan berlaku pada setiap hari di mana-mana sahaja.  Ini belum lagi jenayah politik seperti fitnah, mengumpat, tuduhan palsu dan seumpamanya yang berlambak berlaku di alam nyata mahupun alam maya. Kalau diukur kadar kemalangan jalanraya, lagi tidak selamat.  

Namun demikian, bagi aku dan aku percaya ramai lagi rakyat di luar sana percaya dengan berita ini kerana bagi rakyat yang tidak busuk hati, yang tidak ada dengki kepada kerajaan BN, yang mendapat taufik dan hidayah dari Allah S.W.T. untuk melihat kebenaran boleh menerima  mempercayai berita ini dengan senang hati dan penuh rasa syukur kepada Allah S.W.T di atas kurniaan ini.

Mereka yang tidak percaya itu sebenarnya rakyat yang tidak ada rasa syukur dalam hati mereka dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada negara ini. Mereka yang tidak mempercayai itu adalah golongan yangmana hati dan sanubari mereka penuh dengan dendam kesumat terhadap kerajaan BN. Mereka yang dihilangkan oleh Allah S.W.T sifat syukur terhadap nikmat dan kurniaan dalam diri mereka.

Malaysia paling selamat

Abdul Rahim Mohd. Radzi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
 
JOHOR BAHRU 26 Jun - Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World Justice Project sebagai negara paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, malah Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.

“Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace Index telah menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di kawasan Asia Pasifik," katanya.

Katanya, sehubungan itu, rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup taklimat isu-isu semasa keselamatan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Wan Ali Besar.

Beliau memberitahu, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2010 kepada 21 peratus pada tahun lepas.

“Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini kepada negara. Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia telah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lepas berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.

“Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim politik, keselamatan serta kestabilan negara ini," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa yang dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah menampakkan hasil. - BERNAMA

No comments: