SAHABAT BLOG

14 January 2012

FAM ambil berat Ugurtan Mat Said


Takut juga FAM kepada Mat Said MB Tranung. Akhirnya mereka akur dan memutuskan untuk bagi peluang kedua kepada pasukan yang tidak sempat untuk mendaftarkan pemain import supaya berbuat demikian sebelum 15 Februari 2012. 

Selepas ni bolehlah pasukan Tranung mendaftar pemain import mereka supaya dapat bersaing dengan pasukan-pasukan lain secara lebih berkesan.

Sebagai peminat Liga-M, aku ucapkan terima kasih kepada FAM. Tahun ini meruapakan permulaan yang baru kepada Liga-M, maka sudah tentu ada sedikit kepincangan kepada pengurusannya. Apa-apa pun kepada pemain tempatan, diharapkan kehadiran pemain import ini dapat  melahirkan smangat untuk bersaing yang kuat dan menajamkan skil permainan masing-masing. 

Kepada pasukan negara pula, target untuk berada dalam kelompok 75 pasukan terbaik dunia hendaklah dijadikan sebagai matlamat utama.

Cerita selanjutnya seperti di bawah.

PETALING JAYA - Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya memberikan talian hayat kedua kepada semua persatuan bola sepak negeri dan kelab apabila bertindak melanjutkan pendaftaran pemain import sebelum 13 Februari ini.

Berita yang dianggap menggembirakan bagi sesetengah pasukan seperti Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS dan Johor FC kerana kurang berpuas hati dengan keputusan FAM sebelum ini telah disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, semalam.

''Setelah memperhalusi semua rayuan yang diberikan, bukan sahaja melibatkan pasukan Terengganu tetapi turut mengambil kira negeri lain serta mendapat persetujuan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), jawatankuasa berpendapat demi kemajuan bola sepak negara, kami melanjutkan tarikh permohonan pemain import sehingga 13 Februari depan.

''Namun, daripada segi syarat pengambilan, tiada perubahan seperti mana yang ditetapkan sebelum ini cuma pemain yang mahu didaftarkan mesti telah tamat kontrak sebelum 8 Disember dengan pasukan lama.

''Selepas kami menerima senarai pemain-pemain import ini, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang diketuai Datuk Aseh Che Mat akan bermesyuarat secepat mungkin bagi memastikan syarat-syarat itu telah dipenuhi sebelum mereka boleh didaftarkan bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing
''Pintu perpindahan pemain kali kedua pula tidak mengalami perubahan iaitu masih sama seperti yang saya nyatakan sebelum ini iaitu pada 2 hingga 16 April, " katanya.

Bertambah menarik, Hamidin yang juga Naib Presiden FAM, berkata, pasukan yang sudah mempunyai pemain import sebelum ini juga boleh menggantikan dengan pemain baru asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Jelas beliau, keputusan yang dibuat itu bukan kerana tunduk kepada tekanan kepada mana-mana pihak tetapi sedar akan penggunaan kali pertama TMS (Sistem Pemadanan Perpindahan Pemain) yang banyak tidak difahami oleh kebanyakan persatuan negeri dan kelab.

''Walaupun begitu, ini merupakan kali terakhir kami akan beri peluang sebegini dan saya harap ia tidak akan berulang lagi," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said lega dengan keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan.

''Keputusan ini melegakan semua pihak dan ia membolehkan PBSNT (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya," ujarnya.

No comments: