SAHABAT BLOG

06 March 2011

Siapa Pilihan Hati?

Hari ini, pengundi di Kerdau ddan merlimau bakal memilih wakil rakyat masing-masing. Samada calon BN atau calon PAS, terpulanglah kepada kebijaksanaan para pengundi untuk memilih. Jika hendak dibandingkan PRK Galas dan Tenang, aku berpendapat peluang BN untuk menang lebih cerah. Faktor utama yang boleh memberikan kemenangan mudah kepada BN adalah pemilihan calon yang difikirkan boleh menang dan bukan calon yang 'terpaksa' kerana mereka ada jawatan dalam  parti. Di samping itu juga kekurangan isu di pihak PAS memudahkan lagi memudahkan lagi tugas dan kerja petugas kempen BN. Para bloger pro BN pun tidaklah bersusah payah nak menangkis isu-isu yang dibangkitkan. 

Apa-apa pun, kita lihat keputusan malam nanti. SPR janji nak keluarkan keputusan pukul 8.00 malam, tetapi aku jangkakan lebih lewat lagi. Aku jangkakan kedua-dua DUN bakal dimenangi oleh calon BN dengan majoriti yang bertambah. 

Baca berita yang aku kutip dari Utusan Online untuk cerita lanjut pasal DUN Kerdau dan Merlimau.

Merlimau, Kerdau milik siapa?

SEBANYAK 10,679 pengundi dan 8,999 lagi pemilih berdaftar akan keluar menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi memilih wakil rakyat baru, masing-masing di dua pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau hari ini.

Pilihan raya kecil kali ke-15 dan 16 sejak pilihan raya umum Mac 2008 itu menyaksikan pertembungan tradisi Barisan Nasional (BN) dan Pas.BN memenangi kedua-dua kerusi itu tiga tahun lalu.

BN dalam tempoh setahun ini telah memenangi empat daripada lima pilihan raya kecil iaitu di Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas dan Tenang.Kemenangan di Merlimau dan Kerdau jika berpihak kepada BN disifatkan penganalisis politik sebagai peningkatan momentum sokongan rakyat kepada parti itu sejak kebelakangan ini.

Di Merlimau, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin yang juga anak bekas Ahli Parlimen Jasin, Roslan Ahmad berhadapan dengan calon Pas, Yuhaizat Abdullah.Yuhaizat merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka.

Sementara di kerusi DUN Kerdau, BN mempertaruhkan Naib Ketua UMNO Kuala Krau yang juga lulusan Universiti Al-Azhar, Syed Ibrahim Syed Ahmad.Beliau menghadapi tentangan daripada Ketua Penerangan Pas Pahang, Hassanuddin Salim.Hassanuddin pernah bertanding di Kerdau pada 2008 tetapi tewas.

Kerusi Kerdau kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN 12 Februari lalu.
Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau pula diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum lepas, Mohamad Hidhir menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.
Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN Kerdau dengan 15 orang daripadanya pengundi pos. Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran mengundi dibuka kepada pengundi.

Tiga kawasan di DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 1,000 orang iaitu kawasan Felda Jengka 23 seramai 1,572 orang, Desa Murni (1,343 orang) dan Felda Jengka 22 (1,048 orang)

Sama seperti di Merlimau, kawasan Kerdau memperlihatkan jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus.

Di Merlimau, sejumlah 10,679 pengundi berdaftar dicatatkan di situ termasuk 36 pengundi pos. Golongan wanita di situ mengatasi pengundi lelaki dengan masing-masing 5,592 dan 5,087.
Daripada keseluruhan pengundi, 7,988 adalah Melayu. Sejumlah tujuh pusat mengundi dengan 21 saluran mengundi disediakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan kepada Mingguan Malaysia meminta para pengundi di kedua-kedua kerusi supaya keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan cuaca mendung di Merlimau pada sebelah pagi manakala di Kerdau adalah baik.

Bagaimanapun kedua-kedua kawasan dijangka hujan pada petang. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut mengingatkan pengundi supaya menyemak nama mereka dalam senarai daftar pemilih dan tidak lupa membawa kad pengenalan ke pusat mengundi.

"SPR juga berharap tidak ada tanggapan bahawa pengundi akan beratur panjang pada sebelah pagi kerana kita ada mekanisme untuk menyelesaikannya. Seperti mana pelaksanaan mekanisme itu dilaksanakan pada PRK lepas, SPR akan menyediakan kerani di setiap saluran untuk memanggil dua pengundi serentak yang beratur di luar dengan bergilir-gilir membuang undi," katanya.

SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi di Merlimau dan Kerdau melebihi 80 peratus iaitu naik lima peratus daripada pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum 2008, peratusan keluar mengundi di Merlimau dan Kerdau masing-masing mencatatkan 76.18 peratus dan 80.3 peratus.

No comments: