SAHABAT BLOG

11 October 2010

Rumah Terbuka

Syawal dah berlalu. Hingga ke saat akhir, masih ramai umat Islam yang mengadakan majlis rumah terbuka. Alhamdulillah budaya ini adalah satu budaya sihat yang harus dikekalkan. Namun demikian, aku dapati budaya ini lebih banyak diamalkan oleh warga kota berbanding warga kampung. Bagi warga kampung, rumah terbuka mereka adalah 2-3 hari Syawal sahaja. Dalam masa 2-3 hari, pintu rumah sentiasa terbuka untuk menyambut kedatangan sanak saudara dan juga sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat untuk bermaaf-maafan. Kanak-kanak adalah tetamu yang paling ramai. Selepas 2-3 hari, warga kampung akan kembali kepada kehidupan normal masing-masing. Rumah tidak lagi dibuka sepanjang hari. Namun jika masih ada yang datang bertandang terutama saudara mara yang jauh, biskut raya sentiasa ada untuk dihidangkan. Kalau tidak ada biskut raya, biskut marie atau biskut jagung menjadi pengganti. lemang, ketupat sudah habis tinggal buluh sahaja lagi. kepala-kepala lemang pun sudah di goreng.

Alhamdulillah, majlis rumah terbuka di kota-kota besar sedikit berlainan. Pada hari raya ke 2-3 , ramai warga kota pulang berhari raya di kampung. Oleh itu rumah-rumah akan sentiasa tertutup rapi kecuali mereka yang memang tidak bercadang hendak balik kampung. Selepas itu, mereka akan menetapkan suatu hari sebagai hari terbuka dimana sanak saudara dan sahabat handai akan dijemput bagi memeriahkan majlis rumah terbuka. Kaedah ini ada baiknya juga kerana masa dan tenaga pun jimat. Kueh mueh pun boleh dibajetkan. Bajet biasanya berlebih-lebih kerana yang datang hanyalah sanak saudara dan rakan yang rapat sahaja. Kanak-kana yang tidak dijemput hanya meleleh air liur dan mengharapkan dipanggil untuk sekurang-kurangnya meneguk secawan air dan
duit raya seringgit dua.Hari raya mereka tidak berkesempatan untuk kutip duit kerana pintu rumah sentiasa tertutup (balik kampung).

Pejabat-pejabat kerajaan pula akan memilih hari-hari yang sesuai untuk mengadakan majlis rumah terbuka. Majlis-majlis akan dibuat di hotel-hotel. Pada masa ini status hotel sudah tidak diambil kira samada ada status halal atau pun tidak.Para pemimpin pun akan mengadakan majlis rumah terbuka dengan menjemput anak-anak yatim yang berdekatan untuk disumbangkan duit raya. Setiap hari, akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan memamparkan gambar-gambar majlis hari raya pemimpin diseluruh negara.

Aku tidak tahu , budaya rumah terbuka ini sebenarnya berasal daripada mana dan meniru budaya siapa. Namun konsep ini sedikit berbeza dengan konsep rumah terbuka tradisional seperti aku ceritakan di kampung-kampung. Aku mengharapkan konsep baru ini hendaklah jangan merebak ke kampung-kampung kerana menyusah dan menyulitkan orang kampung. Kasihan kanak-kanak. Mereka mengharapkan tuan rumah membuka rumah pada hari raya pertama , kedua dan seterusnya. Namun demikian jika ada orang kampung yang mempunyai masa dan sumber kewangan, adalah tidak salah untuk mengadakan konsep ini dengan syarat 2-3 hari pertama bulan Syawal itu, mereka juga membuka rumah mereka untuk dikunjungi jika mereka ada dirumah dan majlis hendaklah dibuka kepada sesiapa sahaja penduduk kampung, bukannya memilih sanak saudara dan sahabat handai semata-mata.

Aku, memang tidak membuat majlis rumah terbuka kerana aku pulang ke kampung. Lagi pun rumah aku sentiasa terbuka untuk menerima tetamu walaupun pintunya tertutup kerana ada 'closer'. tahun ini, tidak ada pulak budak-budak yang datang kutip duit. Mungkin juga mereka diingatkan oleh mak ayah supaya berhati-hati mengutip duit raya, bimbang diculik dan sebagainya. Aku sendiri pun bimbang dan tidak membenarkan anak-anak aku pergi mengutip duit raya.

No comments: