SAHABAT BLOG

24 September 2010

Balik Raya

Sebenarnya aku bercadang untuk menulis cerita atau menulis pengalaman pulang berhari raya pada kali ini selepas Syawal berakhir. Namun demikian, sebagaimana moto aku dalam penulisan blog, mencatat bila ada idea, maka aku rasakan pada hari ini aku ada idea untuk dicatatkan didalam blog aku semoga catatan ini boleh di baca oleh generasi aku yang mendatang.

Wah…. Bukan main seronok angah dan kakak bila sahaja aku memberitahu tarikh dan masa untuk pulang ke kampung. Si Kakak asyik tanya sahaja bila nak pulang beraya. Aku cakap pagi besok iaitu pada pagi Rabu 8 September 2010. Rancangan asalnya, aku akan bertolak pada malam 07 September 2010 dan rancangan ini telah pun diketahui oleh Angah. Namum demikian, aku menukar rancangan disebabkan hati kecil aku minta ianya ditukarkan. Rasa tak selesa pulak bila memandu waktu malam dengan kereta baru, automatic pulak tu. Apa lagi, marahlah si Angah bila tahu aku menukar rancangan. Namun demikian, bila aku jelaskan kepadanya bahawa aku sakit perut dan letih, alhamdulillah dia faham. Kalau tidak, dia akan mendesak sakan supaya kemahuan dia dituruti. Angah memang mempunyai keinginan dan kemahuan yang tinggi. Mungkin juga anak-anak aku sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan Kak Long mereka dan ingin berkongsi menaiki kereta Exora bersama Kak Long mereka.

Sebagaimana biasa, pada malam hendak pulang ke kampung aku akan menyuruh anak-anak aku tidur awal. Kalau tidak… emmmmm..pukul 11.00 malam baru tidur. Namun bila aku cakap, siapa yang tidur lewat tidak boleh pulang ke kampung, maka semuanya tidur awal termasuk si achik. Alhamdulillah pukul 10.00 malam, kesemua anak-anak aku telah dibuai mimpi masing-masing, mungkin mimpi menaiki Exora bersama kak Long mereka.

Pukul 4.30 pagi aku dah gerak angah untuk bersahur. Kakak pun turut bangun sama dan achik pun bangun juga. Selesai bersahur, semua pakat tidak tidur. Aku dan angah apabla selesai sembahyang subuh, terus menjalankan aktiviti iaitu memunggah barang-barang yang hendak di bawa balik ke dalam kereta. Bersemangat betul si angah bila tahu kami akan bertolak pada pagi ini.

“ betul ke kita nak balik pagi ni, ayah”. Tanya kakak untuk kali ke sepuluhnya.
“yelah, pergi mandi cepat, kalau lambat ayah tinggalkan kakak dengan mak cik sarimah” jawab isteri aku.

Mak cik Sarimah adalah pengasuh anak-anak aku. Apa lagi, tanpa banyak karenah, kakak terus ke bilik mandi. Achik pulak merengek minta susu. Aku dan angah sudah siap memunggah kesemua barang ke dalam kereta.
“ Abang” panggil isteri aku.
Aku buat diam sahaja kerana aku tahu, mesti dia minta aku buatkan susu untuk achik,.
“Abang, tolonglah buatkan susu achik tu, Ma ni banyak lagi nak kemas kat dapur ni” Rayu isteri aku dari dapur.
“kakak nak susu juga” sahut kakak dari bilik air.
“kakak kata nak puasa” angah menjawab sambil membuka seluar dan baju untuk mandi. Tak ada jawapan dari kakak, Cuma bunyi air sahaja yang kedengaran. Maknanya dia setuju dengan kata-kata angah tadi tu. Aku pun menuju ke dapur untuk menyediakan susu untuk si achik. Isteri aku pula sedang membersihkan dapur dan mengemas pinggan mangkuk yang bertaburan di dalam sinki.

“Abang , pergilah check air keta tu” arahan selanjutnya daripada isteri aku. Waktu itu kira-kira pukul 7.30 pagi. Aku pun tanpa berlengah terus turun ke bawah sambil memjinjing beg plastic sampah. Aku turut membawa satu jug air tapisan untuk diisi ke dalam kereta. Memang benar, kereta aku kekurangan air.

Setelah semua siap sedia dan pelbagai doa dan ayat-ayat suci Al Quran telahpun di baca, kami pun memulakan perjalanan kira-kira jam 8.00 pagi. Keadaan jararaya pada pagi itu tidak terlalu sibuk kerana aku fikir para penghuni kota memilih untuk pulang pada sebelah malam nanti. Di dalam kereta, semua anak-anak aku duduk diam dan tidak banyak karenah. Walaupun kusyen belakang aku rebahkan untuk meletak kueh-mueh dan kerepek raya, tidak berlakunya perebutan tempat duduk disebabkan aku telah mengasingkan angah dengan kakak. Kebiasaannya jika mereka ditempatkan bersama-sama, maka akan berlakulah pertengkaran dan perebutan tempat duduk.

Keadaan jalanraya yang tidak sibuk membolehkan Exora aku bergerak dengan lancar. Aku sampai di Tol Jabor lebih kurang pukul 12.00 tengahari. Kelajuan maksimum ialah 160 kmph, manakala kelajuan purata lebih kurang 120 km/jam. Lebih kurang 5 km dari simpang Dungun Sungai Besi, Jalan raya jem disebabkan terdapatnya kemalangan antara Toyota Wish dengan Prado. Keadaan kenderaan tidaklah remuk di sana sini, mungkin kelewatan pihak yang terlibat untuk mengalihkan kenderaan masing-masing menyebabkan jalanraya jem. Selain kemalangan itu , alhamdulillah, perjalanan kami berjalan dengan lancar dan kami sampai ke rumah kira-kira pukul 5.00 petang.

Penggunaan minyak lebih kurang RM70.00 ataupun RM20.00 lebih banyak berbanding kereta WAJA. Sampai di kampung isteri aku, masih sempat aku dan anak-anak keluar ke pekan Kuala Berang untuk membeli juadah buka puasa. Perjalanan pada kali ini tidak berapa penat walaupun aku berpuasa. Alhamdulillah, selamat sampai.

No comments: