SAHABAT BLOG

29 January 2010

Jamuan Kahwin Orang Dulu-Dulu

Entah pasal apa pada hari ini aku nak bercerita berkenaan tradisi jamuan kahwin orang dulu-dulu di kampung aku. Mungkin juga aku ada mendengar cerita kawan sebelah aku nak kahwin muda kot. Aku tak ada le pula terfikir nak kahwin muda, tetapi sebagai umat Muhammad S.A.W., aku tidak boleh menolak sunah tersebut apabila ianya ditakdirkan terjadi kepada aku suatu masa kelak. Sepatutnya semua orang tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam soal poligami ini jika sekiranya mereka berpegang kepada Qada dan Qadar Allah S.W.T. kerana semua aturan perjalanan hidup kita ini termasuklah ketetapan Syurga dan Neraka telahpun ditulis di Loh Mahfuz, kalau Syurga dan Neraka telah ditentukan, apalah sangat soal jodoh pertemuan. Cuma kita sebagai manusia tidak mengetahui apakah dia aturan perjalanan hidup kita ini. Berapa kali kita kahwin, dengan siapa kita kahwin dan dimana kita akan meninggal dunia ataupun banyak mana rezeki yang ditentukan kepada kita dan sebagainya semuanya telah diatur oleh Allah S.W.T. Yang jelas segala apa yang terjadi kepada kita samada buruk ataupun baik, semuanya telah diatur sejak oleh Allah S.W.T. Jangan silap, posting pada kali ini aku bukan nak cerita pasal poligami ataupun Qada dan Qadar tetapi berkenaan budaya jamuan kahwin di kampung aku suatu masa dulu semasa aku kecik-kecik dulu. Sebagaimana objektif aku menulis, iaitu untuk tatapan generasi mendatang, begitu juga dengan posting pada kali ini supaya anak cucu aku dapat manatap apa yang generasi terdahulu lakukan.

Dulu-dulu, semasa aku kecil-kecik iaitu sekitar tahun 70 an dan awal 80 an, orang kampung aku jarang kahwin dengan orang luar kerana pada masa itu, kemudahan untuk mengenali dunia luar agak terbatas. Oleh yang demikian kebanyakkan orang kampung kau kahwin sesama penduduk kampung. Namun demikian, ayah aku berjaya juga berkahwin dengan mak aku yang berlainan kampung. Aku tak pernah tanya bagaimana mereka berjumpa, namun ini sudah dikira sebagai satu kehebatan kepada arwah ayah aku.

Ringkas cerita, orang dulu-dulu di kampung aku kahwin tidaklah meriah dengan jamuan seperti sekarang ini. Apabila ada penduduk yang nak kahwin, maka wakil yang ditugaskan untuk menjemput penduduk kampung akan berjalan dari rumah ke rumah dengan membawa sekilo gandum dan sekilo gula. Orang kampung sebut ‘memanggil’ ataupun ‘ma’nggil’. Gandum dan gula itu adalah tanda supaya tuan rumah yang dijemput dapat membuat pelbagai jenis kueh untuk dihantar ke rumah pengantin dengan menggunakan gtandum dan gula yang sekilo itu. Maksudnya , pada zaman dulu-zulu, orang kampung aku kahwin hanya menjamu kueh-mueh dan bukannya dengan menumbangkan lembu dan sebagainya. Bukan tak ada , tetapi bukan dikatakan budaya kerana tidak diamalkan oleh ramai penduduk. Namun demikian, ada juga penduduk kampung yang menolak untuk menerima gandum dan gula kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan kueh-mueh untuk dihantar ke rumah pengantin. Kalau setakat sekilo gandum dan sekilo gula, apalah sangat kueh yang boleh disediakan.

Setelah gandum dan gula diedarkan, maka tuan rumah yang dijemput akan membuat kueh-mueh mengikut kepakaran masing-masing. Ada yang buah tepung balut (bungkus), tari (puteri) mandi, badak berendam, getas, agar-agar, kueh bakar, dan yang mesti adalah kueh baulu. Aku tak tahulah kenapa setiap orang mesti membuat kueh baulu. Bukannya sedap mana pun kecuali dimakan semasa panas-panas. Kueh-mueh itu dibuat dengan menggunakan gula dan gandum yang dibekalkan oleh keluarga pengantin dan sudah semestinya ditambah lagi dengan gula dan gandum yang dibeli oleh tuah rumah serta bahan-bahan lain seperti telur itik, telur ayam, agar-agar dan sebagainya. Kalau difikirkan, untung juga keluarga pengantin kerana orang kampung tolong buatkan kueh-mueh untuk jamuan perkahwinan mereka. Amalan gotong royong itu sangat berguna dan bermanafaat. Bukan macam sekarang ni, hampir 100 peratus belanja jamuan kahwin disediakan oleh keluarga pengantin.

Baiklah, setelah bermacam-macam jenis kueh disediakan, tibalah masa hendak hantar kueh-mueh itu kerumah pengantin. Pada kebiasaannya, ianya akan dihantar pada waktu petang malam perkahwinan. Kueh- mueh itu akan dikumpulkan dirumah pengantin. Pada masa inilah dapat dilihat pelbagai aneka kueh tradisional sepertimana aku jelaskan diatas akan disediakan oleh penduduk kampung mengikut kemahiran masing-masing. Namun demikian boleh dikatakan, semua penduduk kampung aku mahir dalam penyediaan kueh-mueh tradisional. Cuma masa dan juga modal sahaja yang membataskan penghasilannya. Tuan rumah pula kebiasaannya akan menyediakan lauk pauk untuk dihidangkan kepada sanak saudara yang datang dari jauh.

Setelah malam menjelang tiba dan kueh-mueh telah dikumpulkan di rumah pengantin, maka tibalah masanya kueh-mueh itu hendak dihantar ke masjid. Kebiasaannya tuan rumah akan mengasingkan kueh-mueh terpilih untuk ditinggalkan dirumah bagi tujuan dihidangkan kepada para jemputan luar. Kueh-mueh lainnya akan diangkut ke masjid. Tugas untuk angkut kueh-mueh kebiasaannya menjadi tanggungjawab anak-anak muda dan juga para remaja. Aku sempat juga mengangkut talam kueh ke masjid. Apabila kueh telah tersedia di masjid, maka seorang penduduk kampung akan ditugaskan untuk memukul geduk (beduk) bagi tujuan memaklumkan kepada orang kampung semua bahawa sudah sampai masa nak mencekik. Orang kampung pun beramai-ramai datang ke masjid. Ada diantara mereka yang membawa plastik untuk membungkus kueh-mueh yang tidak habis dimakan. Kueh-kueh yang menjadi pilihan antaranya tepung balut(bungkus) dan kueh bakar. Kueh baulu adalah kueh yang paling tidak laku sekali tetapi ianya adalah kueh yang wajib ada dalam setiap hidangan.

Setelah selesai menjamu selera di masjid, maka penduduk kampung akan pulang ke rumah masing-masing. Anak-anak muda yang membawa bekas kueh ke masjid akan menghantar semula talam-talam tersebut ke rumah pengantin. Keesokan harinya, kaum ibu akan kembali ke rumah pengantin untuk mengambil talam masing-masing. Kebiasannya pada masa ini, mana-mana kueh yang tidak habis akan dibawa balik oleh kaum ibu. Kueh bahulu adalah yang paling banyak tidak habis dimakan.

Inilah tradisi jamuan kahwin orang dulu-dulu dikampung aku. Sekarang ini keadaan dan bertukar. Seingat aku, tradisi membuat kueh-mueh bagi tujuan jamuan kahwin yang terakhir dilakukan dikampung aku ialah semasa perkahwinan Mokhtar Pak Abas, sekitar awal 90 an. Selepas itu budaya ini telah pupus ditelan zaman. Selepas ini, aku tidak tahu apa pula budaya tradisi kampung kau yang akan pupus. Jika ada ilham, aku akan cuba untuk menceritakan beberapa budaya kampung aku yang telah pupus ditelan arus permodenan.
Sekian.

No comments: