SAHABAT BLOG

08 October 2009

UMNO telah usang dan perlu diganti

UMNO telah ditubuhkan semenjak tahun 1946. Maknanya sehingga kini, usia penubuhan UMNO telahpun menjangkau 63 tahun iaitu usia seorang warga emas. Jika kita hendak dibandingkan usia UMNO ini dengan usia seorang warga emas alaf baru ini, terdapat ramai warga emas alaf baru di usia sebegini yang masih aktif dan buah fikiran mereka masih laku di pasaran. Namun demikian, kebanyakkan daripada mereka ini telah menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, jantung, darah tinggi, kencing dedas dan sebagainya. Ada juga di antara mereka yang cuma menunggu untuk kembali ke rahmatullah sahaja. Warga emas diusia 63 tahun lebih selesa duduk di rumah dan bermain dengan anak cucu dan diketika yang sama mereka berusaha untuk menambah amalan ibadah yang lebih jitu lagi. Kehadiran anak cucu mereka diharapkan dapat meneruskan legasi dan juga impian warga emas itu. Gambaran warga emas di usia 63 tahun ini boleh diibaratkan seperti UMNO. Jika diandaikan UMNO itu adalah makhluk ciptaan Allah, maka sekarang ini diusia 63 tahun, ianya telah tua dan menghidapi pelbagai jenis penyakit dan yang paling sedih ianya hanya menunggu masa sahaja untuk kembali kepada penciptaNya. Namun, UMNO bukanlah makhluk, tetapi ianya sebuah pertubuhan yang dicipta oleh manusia dengan izin Allah S.W.T. Dalam kontek pertubuhan ataupun parti, pada pandangan saya, tempoh 63 tahun adalah satu tempoh yang sudah terlalu lama dan telah banyak di antara komponen-komponennya yang telah usang dan dimamah usia. Ya benar, UMNO telah usang dan perlu diganti.

Sesuatu yang usang hendaklah diganti baru supaya jasa dan juga kebaikan yang telah dibawa olehnya kekal berfaedah kepada semua. Contohnya kereta usang, kenalah diganti dengan kereta baru yang lebih cekap dan cekas serta dapat menyaingi arus semasa. Begitu juga dengan rumah atau bangunan. Jika rumah bertampal sana sini dan bersambung situ sini, tak elok dan tak selesa. Macam rumah orang kampung, bila bersambung-sambung, nampak sangat tak kemas Namun itulah kemampuan yang mereka ada. Sudah tentu anak cucu mereka lebih suka jika sekiranya atok mereka mempunyai rumah yang lebih kemas dan moden. Begitu juga dengan UMNO, jika banyak sangat perubahan yang dilakukan akan kelihatan tidak kemas dan longgar sana sini. Oleh yang demikian, elok sangat UMNO ini digantikan ataupun dibubarkan supaya dapat digantikan dengan satu parti baru yang lebih moden dan memenuhi keperluan semasa yang masih menjalankan fungsi yang sama seperti UMNO.

Pembentukan satu parti baru bagi menggantikan UMNO saya fikir sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh orang Melayu yang menyokong perjuangan UMNO selama ini. Mereka seboleh-bolehnya inginkan agar ada sebuah parti yang lebih memenuhi kehendak semasa yang dapat menggantikan UMNO kerana pada mereka imej UMNO ini sudah terlalu jatuh dimata masyarakat. Jika tidak ada satu tindakan drastik, mereka bimbang tidak ada lagi parti yang dapat memberikan faedah dan kebaikan seperti yang dilaksanakan oleh UMNO selama ini.

Perubahan pada nama ataupun disebut sebagai penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang baru kepada parti pemerintah. Dahulu, parti Barisan Nasional dikenali sebagai parti Perikatan dengan menggunakan lambang kapal layar. Begitu juga dengan parti USNO di Sabah telah dibubarkan dan ramai para pemimpinnya telah menganggotai parti UMNO. Saya bimbang dan khuatir, jika UMNO tidak dibubarkan dan digantikan dengan satu parti baru, UMNO juga akan bersedia untuk kembali ke rahmatullah. Kenapa saya bimbang sedangkan saya bukan seorang ahli UMNO? Sebenarnya bukan saya sahaja sebagai penyokong bukan ahli yang bimbang, tetapi saya percaya ramai dikalangan rakyat diluar sana yang menyokong UMNO sedang berada di dalam kebimbangan. Kebimbangan kami berasas kerana sejak aKHir-akhir ini, kami melihat parti UMNO ini telah terlalu banyak kerosakan dan penyakit yang melanda disebabkan segelintir para pemimpinnya yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan kepada mereka. Saya merasakan, tindakan membuat pelbagai pindaan masih belum mampu untuk memulihkan UMNO kerana imej ataupun nama UMNO itu telah tertanam diminda anak-anak muda sebagai sebuah parti yang rosak.

Parti-parti yang mewakili kaum melayu selain UMNO masih tidak relevan dan masih belum jelas arah perjalanan mereka. PAS sendiri merupakan sebuah parti yang juga telah usang. Namun disebabkan para pemimpin PAS masih lagi mempunyai akidah dan prinsip Islam yang jitu, maka PAS kelihatan masih mampu untuk bertahan. Namun tidak seperti UMNO, PAS bukanlahs sebuah parti orang Melayu tetapi sebuah parti orang Islam. Untuk memegang tampuk pemerintahan Negara, sebuah parti Islam tidak boleh berdiri dengan sendiri disebabkan Malaysia adalah sebuah Negara Islam majmuk. Jika sekiranya setiap agama dibenarkan untuk menubuhkan parti bagi memperjuangkan agama masing-masing seperti keistimewaan yang diberikan kepada PAS, saya tidak dapat bayangkan apakah yang boleh berlaku. Setiap agama sudah pasti akan memperjuangkan agama masing-masing dalam sistem pemerintahan Negara. Perkara ini akan saya sentuh dalam catatan yang akan datang. PKR pula sebuah parti yang tidak asas perjuangannya. Mereka melaungkan bahawa mereka adalah parti yang menjaga Kebajikan rakyat. Adakah asas perjuangan mereka adalah untuk Kebajikan rakyat. Walaupun pada luarannya nampak elok, tetapi yang menjadi penghuni di dalamnya adalah orang-orang politik. Orang yang mempunyai asas politik yang begitu padu. Politik adalah untuk kuasa.

Kesimpulannya, tidak ada parti yang benar-benar mampu untuk meneruskan agenda mengekalkan identity bahawa Malaysia ini adalah Tanah Melayu selain sebuah parti yang mempunyai asas perjuangan seperti UMNO. Oleh kerana UMKNO dilihat sudah tidak relevan lagi pada masa ini dalam pertimbangan generasi muda, maka sudah sampai masanya para pemimpin UMNO memikirkan soal pembubaran dan penggantian. Tidak cukup sekadar membuat pindaan dan menggantikan pemimpinnya kerana UMNO itu sendiri telah menghidapi sejenis penyakit yang tidak ada harapan sembuh iaitu rasuah.

No comments: