SAHABAT BLOG

03 September 2008

pASAR kEDAI pAYANG

Pada 31/08/2008 baru-baru ini, aku pergi ke Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Setelah sekian lama aku tak pergi ke Pasar kedai Payang, tak banyak juga yang berubah. Keadaan pasar masih macam dahulu dengan baju-baju sutera, kain songket dan kain sutera masih bergantungan. Aku bukan nak tulis berkenaan corak baju sutera dan juga kehalusan kain songket yang di jual di situ. Tetapi ada dua perkara yang aku nak tulis di sini iaitu berkenaan harga yang dibuka oleh para peniaga dan juga kain-kain baju batik buatan luar Negara.

Pertama pasal harga. Aku dapati para peniaga membuka harga terlalu tinggi. Kadang-kadang harga yang dibuka itu mencecah 120% daripada harga yang sebenarnya ditawarkan oleh penjual kepada pembeli. Aku ambil contoh, sehelai baju sutera lelaki dibuka atau ditandakan dengan harga RM250.00.. Kepada pelanggan yang ingin membeli baju sutera tetapi tidak biasa dengan strategi harga yang dimainkan oleh peniaga, sudah pastinya berfikir banyak kali sebelum mengambil keputusan untuk membeli. Tetapi kepada sesiapa yang sudah biasa, mereka tahu bahawa harga yang ditawarkan pastinya turun 70% daripada harga yang ditawarkan.

Kebiasaannya para peniaga kenal sesiapa yasng berminat untuk membeli dan mereka akan menyatakan harga yang ditawarkan . Contohnya seperti sehelai baju sutera yang ditanda harga RM250.00, peniaga akan memberitahu bahawa harganya adalah RM150.00. Ini bermakna harga telah diturunkan sebanyak RM100.00. Apabila pelanggan ingin memujuk harga lagi, mereka akan menyatakan bahawa harga telah diturunkan dengan banyak. Persoalannya, kenapa peniaga meletakkan harga buka yang terlalu tinggi berbanding harga yang ditawarkan. Walaupun ini dinamakan strategi, tetapi strategi ini kelihatan melampau. Bagi sesetengah pelanggan, mereka tidak mendapat keadilan kerana harga sebenar yang dibayar oleh seorang pelanggan bagi sehelai baju adalah berbeza-beza. Ada pelanggan yang pandai memujuk harga, mungkin beliau dapat membeli dengan harga lebih rendah berbanding pelanggan yang tidak bijak memujuk harga. Contohnya bagi sehelai baju sutera yang ditanda harga RM250.00 dan ditawarkan RM150.00 mungkin bagi pelanggan yang pandai memujuk harga boleh membeli dengan harga RM135.00 dan ada yang membeli dengan harag RM140.00 dan sebagainya.

Oleh itu kepada pelanggan terutamanya, apabila hendak membeli kain-kain baju di pasar Kedai Payang, pastikan mereka memujuk harga untuk diturunkan sebanyak 100% daripada harga asal. Kalau tidak cubalah cari ditempat lain kerana banyak kedai yang menjual barangan yang sama di situ. Kepada para peniaga, aku nak tanya kenapa letak harga yang terlalu tinggi. Ini boleh memberikan gambaran yang tidak elok kepada para pelancong kerana mereka akan mengatakan bahawa harga barangan di Kedai Payang mahal dan akan menyebabkan kurangnya sambutan dikalangan pelancong untuk datang membeli belah di Kedai Payang.

Perkara kedua yang ingin saya sentuh pada kali ini adalah berkenaan imej dan kedai pakaian di Kedai Payang. Sekarang ini aku dapati sudah banyak baju-baju Golok atau baju Thailand yang dijual dengan harga yang lebih rendah. Sebenarnya perkara ini tak perlu kerana ianya akan mencemarkan imej Kedai Payang itu sendiri. Kerajaan negeri mesti mempastikan Imej Kedai Payang sebagai sebagai tempat memjual kain-kain baju sutera dan songket tempatan dikekalkan. Jika peniaga ingin memberikan pilihan kepada pembeli yang ingin membeli dengan harga murah, maka mintalah kepada pengusaha-pengusaha supaya membuat bentuk kain-kain baju yang berharga murah. Bila kain-kain baju luar terutama dari Indonesia dan Thailand masuk pasaran di Kedai Payang, banyak implikasi yang akan timbul, antaranya Imej Kedai Payang akan terjejas, kain-kain baju tempatan tidak laku kerana harga tinggi, pengusaha-pengusaha akan menghentikan perusahaan mereka kerana kain-kain baju yang dihasilkan tidak laku, lama kelamaan siapa yang menangyung rugi. Kalau pelanggan nak beli kain-kain baju buatan luar, mereka boleh dapatkannya di Stesen bas kerana di situ banyak pilihan. Mungkin juga ada kebaikannya dari segi persaingan harga, tetapi untuk jangka masa panjang, ianya tidak elok. Kekalkan Kedai Payang sebagai satu tempat yang menjual kain-kain baju yang diusahakan oleh anak-anak tempatan.

Inilah dua perkara yang ingin aku utarakan di sini, semoga ada pihak-pihak yang membaca perkara ini akan menyampaikan kepada pihak yang berkenaan. Pembinaan imej adalah penting dalam sesuatu industri pelancongan. Kedai Payang telah disebarkan ke serata dunia dengan imej tersendiri, tetapi jika imej ini terjejas dan dicemarkan dengan kain-kain baju daripada Negara luar, maka yang rugi adalah kerajaan Terengganu dan Malaysia amnya.

No comments: