Mazlan Aliman
Mazlan Aliman
KUALA LUMPUR - Felda hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan lima lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel.
  
Felda memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
  
Felda (plaintif) menamakan Mazlan dan Mustafa sebagai defendan pertama dan kedua manakala Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan, pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.
  
Menerusi pernyataan tuntutan, Felda mendakwa bahawa Mazlan telah memuat naik kata-kata fitnah di laman sosial facebook miliknya pada 19 November tahun lepas dan empat hari selepas itu (23 November), Mazlan mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu perhimpunan yang dilakukan di hadapan pejabat Felda.
 
Dakwanya, kenyataan fitnah yang dikeluarkan Mazlan telah diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam menerusi beberapa artikel di akhbar Harakah pada 26 hingga 29 November tahun lepas.
  
Felda mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi Felda dan mendakwa kesemua defendan sengaja berbuat demikian untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat demi meneruskan agenda tersendiri dan kepentingan peribadi.
  
Felda menuntut gantirugi am, khas, teruk, teladan, faedah dan kos ke atas semua defendan.
  
Felda juga menuntut satu arahan injunksi untuk menahan Mazlan dan ejen-ejennya berbicara atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut di internet atau media cetak.
  
Selain itu Felda turut menuntut supaya Mazlan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.
  
Sementara itu peguam Wan Azmir Wan Majib yang mewakili Felda memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan menghantar writ saman kepada defendan-defendan dalam minggu ini. - Bernama