SAHABAT BLOG

03 December 2011

Dua Jam di PWTC

Hari ini aku meluangkan masa aku bertapak ke PWTC. Untuk rekod, inilah kali pertama aku bertandang ke Persidangan UMNO. Sebelum ini aku hanya ada niat je nak ke sana , tetapi tak pernah pergi pun.  Itu pun kerana hendak jumpa dengan anak sedare aku. Aku sampai di PWTC kira-kira jam 10.30 pagi.  Namun bila sampai di PWTC, anak sedare aku pergi ke Bukit Bintanglah pulak. Katanya nak beli kasut bola.  Sampai di PWTC, aku tengok ramai juga orang. Ada yang sedang mendengar perbahasan di ruang legar yang disediakan, ada yang bersembang-sembang, ada yang bermain-main. Yang paling ramai sudah tentu kakak-kakak kita yang berbaju merah.Mereka sedang tekun mendengar hujah-hujah para pembahas. Orang lelaki yang duduk untuk mendengar ucapan perbahasan tidak ramai, ada le sorang dua. Sayang aku tidak bawak kamera, kerana kamera aku dipinjam oleh kawan. Dah seminggu dia pinjam, janji nak hantar malam semalam. Mungkin lupa kot. Kalau ada kamera, bolehlah juga digantung dileher, macam wartawanlah katakan kalau tidak pun macam DS Rais.  

Aku naik ke aras 2. Apa lagi disitu lebih riuh rendah lagi 'perbahasan'nya di kalangan perwakilan batik semalaysia. Perwakilan  batik dari Kelantan paling ramai. Mereka bukan berbahas pasal politik tetapi berbahas pasal lelongan kain baju. Aku pun pergi juga untuk mengambil bahagian. Isteri aku dah pesan supaya belikan dia sehelai kain untuk bikin baju kurung. Akupun kadang-kadang naik heran juga dengan bini aku dalam soal pakaian. Dalam bilik di rumah aku tu, ada 4 almari penuh dengan baju kurung dia. Kalau dihitung semuanya mungkin boleh mencapai jumlah ratusan pasang. Tiap kali aku tanya , pasti ada saja jawapannya. Aku pun malas nak berbahas pasal benda-benda remeh macam ni. Ak buat tak kesah je. Berbanding dengan aku, seluar kerja cuma ada 3 helai je, baju pula cukup untuk pakai seminggu. Buat apa nak membazir, selagi boleh pakai, aku pakai. Pasal itu, seluar dan baju yang aku beli 3-4 tahun yang lalu masih aku gunakan untuk pergi pejabat. Ada aku kesah.

Perwakilan batik sedang melelong kain untuk dibuat baju. Paling murah aku lihat ialah 5 pasang baju dengan harga RM50.00. Aku tanya juga , boleh untung ke, pasal jual murah sangat. Aku bukan reti sangat pasal kain baju wanita. Warna pun aku tak berapa tahu. Apa yang aku boleh jadikan panduan, ialah kalau harga mahal sikit tu, maka tinggilah sedikit kualitinya. Jadi aku pun carilah yang mahal sikit. Akhirnya aku beli sepasang kain dengan harga RM25.00. Kain wangi pula tu, warna pink gelap. 

Puas aku menawaf kedai kain, aku pun berlegar-legar di kedai cenderamata pulak. Aku bukan ahli UMNO, jadi segan pulak rasanya nak beli cenderamata yang ada logo UMNO. Aku tengok, orang UMNO sendiri pun tak beli. Akhirnya aku belilah juga sebatang pen dan sebuah keychain berlogo 1Malaysia. Kiranya ada le juga kenangan yang boleh aku tandakan. 

Setelah itu, aku singgah pula ke kedai buku. Ingin juga rasanya nak beli sebuah sekurang-kurangnya bolehlah ditolak LHDN. Peruntukkan RM1000.00 masih belum habis lagi. Belek punya belek, tak berkenan pula dengan tajuk-tajuk buku yang dijual. Aku pegang sebuah novel, bukan main tebal lagi. Hampir 2 inci. Rajin betul pengarang novel ni berkhayal untuk menyiapkan. Aku tak beli juga. Aku memang jarang beli novel, bukan tak minat tetapi terasa sayang pulak duit aku untuk dibelanja membeli novel. Bukan apa, aku kalau baca novel, langsung tak ingat dunia . Selagi tak habis dibaca, tak puas rasanya. Kadang-kadang dari pagi hingga ke petang aku membaca. 

Aku singgah sekejap di kaunter pendaftaran keahlian UMNO. Aku ingat nak mendaftar menjadi ahli. Aku ingatkan mudah je nak mendaftar. Rupa-rupanya sulit juga. Kena bawa gambar dan kena mendapat cadangan ahli UMNO cawangan. Tak jadilah aku nak mendaftar. Aku tengok adalah juga sorang dua yang menyerah dorang daftar. Dah berumur jugalah. Aku berkata dalam hati, kenapa mereka ni dah berumur macam tu baru nak mendaftar. Kalau tak mendaftar macam aku ni tak boleh ke? Yang penting semasa mengundi, aku undi lambang dacing. Bersebelah kaunter keahlian UMNO, ada kaunter SPR. AKu tengok tak ada pun yang berkunjung. Mungkin dah masuk hari terakhir kot, itu pasal tak ada orang yang mendaftar. 

Setelah habis aku terjengok-jengok di kaunter SPR, aku pun memerhati sekeliling. Aku tengok stesen TV sedang membuat liputan. Aku tengok jam,oh, dah hampir jam 12.00 tengahari, sudah tentu waktu untuk berita terkini kot. Aku tengok TV9, NTV7, RTM dan dan juga para pemberita yang sedang berkeliaran dengan kamera masing-masing. Biarlah dia orang dengan kerja mereka. Aku buat tak kesah je.

Aku pun dah nak balik. Masa melintas di hadapan kedai Al Jabar, aku ditahan oleh seorang awek. Rupa-rupanya dia kata ada test penyakit secara percuma. Aku menolak kerana aku tahu kalau aku test, pasti pelbagai penyakit akan keluar. Bila dah tahu penyakit, maka kenalah cari ubat. Di mana nak cari ubat, sudah tentu di Al Jabar. Aku pun memang selalu test penyakit aku di di klinik pakar setiap 6 bulan sekali. 

Sebelum melangkah keluar dari ruang legar PWTC, aku singgah sekejap tempat pameran motor NAZA. Banyak juga motor yang dipamerkan. Ada sejenis motor tu menarik minat aku. Motorbike NAZA 250 CC. Harganya sekitar RM15k OTR. Kiranya masih di dalam kemampuan aku. Boleh jugalah aku gantikan kapcai aku yang dah uzur tu. Aku pun ambil kad nama salesman yang jual motor tu dengan harapan aku akan mendapat ilham untuk contact dia kembali. 

Kira-kira jam 12.30 tangahari, aku pun beredar dari dewan PWTC. Kiranya catatan aku kali ini hanyalah berkenaan pengalaman aku di PWTC sempena Persidangan UMNO kali ke 62 tahun 2011.

2 comments:

Anonymous said...

Jalan-jalan cari makan angin ? hahaha ...potong stim habis !

putrarahman said...

Jalan-jalan tengok mak cik dan kakak-kakak UMNO berpakat menyelak kain. Aku pun tak lepas peluang.