Sebelum saya menulis apa-apa artikel (jika ada) pada malam ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Rajagopal dan anak buah beliau kerana berjaya menumbangkan pasukan Hong Kong 2 - 0 dalam perlawanan persahabatan malam ini yang berlangsung di Stadium Shah Alam. Say tidak mahu mengulas panjang kerana saya percaya para penulis berita sukan akan memberikan ulasan yang lebih hebat lagi.
Perlukah polis bantuan Di Selangor?
Ketua Polis Selangor beritahu, anggota mereka tidak cukup, kerajaan kata anggota mencukupi, MB pula memohon untuk menubuhkan pasukan Polis bantuan sendiri. Macamana ni? Kalau merujuk kepada temuramah wartawan utusan dengan Ketua Polis Selangor, amat wajar polis Polis Bantuan diramaikan di Selangor. Tak kisahlah dari mana datangnya samada kakitangan kerajaan, orang politik, peniaga atau sesiapa sahaja layak menjadi polis bantuan. Tetapi perlu ke ianya ditubuhkan oleh kerajaan negeri, kenapa tidak kerajaan persekutuan sahaja. Setahu aku, polis bantuan ataupun polis tambahan ini bukan perkara baru dan ianya telah lama dipraktikkan. Kawan aku sendiri pun dah berpangkat inspektor.
Polis bantuan merupakan satu kaedah yang amat sesuai untuk membantu pihak pasukan polis mewujudkan negara polis. Di sana sini terutama pada waktu malam jika ada polis bantuan , kita boleh melihat polis berkawal di segenap tempat untuk mengawal keadaan. Keadaan ini secara tidak langsung bakal mewujudkan suasana aman dan damai kepada penduduk. Para penjenayah terutama jenayah-jenayah kecil-kecilan seperti jenayah ragut akan berfikir banyak kali sebelum bertindak melakukan aktiviti jenayah mereka apabila melihat kehadiran anggota polis. Mereka bukannya dapat membezakan samada polis sebenar ataupun polis bantuan kerana seragam yang digunakan adalah sama sahaja.
Merujuk kepada berita di dalam Harian Metro, Menteri Besar Selangor telah berusaha untuk menubuhkan pasukan polis bantuannya sendiri. Sudah dua kali beliau menulis surat kepada pihak kerajaan bagi tujuan tersebut. Sehingga kini, masih belum ada maklum balas daripada pihak kerajaan berhubung cadangan MB Selangor itu.
Pada aku, jika sekiranya perkara ini mendatangkan kebaikan kepada rakyat, kenapa kerajaan tidak boleh meluluskan permohonan ini. Namun demikian, aku percaya kerajaan mempunyai alasannya tersendiri untuk tidak memberi maklum balas kepada permohonan MB Selangor ini. Sebagai seorang yang tidak begitu arif dengan hubungan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang, aku tidak boleh hendak mencari alasan yang sesuai di sebalik keengangnan kerajaan pusat ini. Namun demikian, sebagai rakyat yang sentiasa inginkan keadaan sentiasa selamat terutama apabila berhadapan dengan jenayah yang tidak di rancang seperti ragut, samun dan sebagainya, sudah tentu sebarang usaha untuk mewujudkan suasana aman dan selamat amat dialu-alukan. pihak Polis sendiri mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk masing-masing menjaga keamanan negara dengan memberikan bantuan kepada pihak polis.
Bacalah berita berkenaan permohonan MB Selanngor ini di bawah yang dipetik daripada Harakah daily.
Malam ini YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghantar surat kepada YB Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam yang meminta pihak kementerian mempertimbangkan permohonan Kerajaan Selangor untuk Menubuhkan Pasukan Polis Bantuan.
Surat ini adalah yang kedua dihantar YAB Menteri Besar selepas surat pertama yang dihantar kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan salinannya dihantar kepada YB Menteri Dalam Negeri pada Julai tahun lepas, tidak mendapat sebarang maklum balas.
Dalam surat kepada YB Menteri Dalam Negeri itu, YAB Menteri Besar menyatakan kebimbangan Kerajaan Negeri terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sehingga menimbulkan kebimbangan serius di kalangan rakyat Selangor, serta mengulangi hasrat kerajaan negeri untuk mengambil langkah konkrit demi menangani masalah ini.
“Saya menulis kepada YB Menteri Dalam Negeri supaya hasrat Kerajaan Selangor untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan menjadi kenyataan. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri, dan tiada alasan munasabah mengapa kerajaan Persekutuan harus menolak tawaran kami untuk menyumbang sumber tenaga dalam usahasama menjaga keselamatan rakyat,” kata Menteri Besar.
Kerajaan Selangor pernah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi perintis, tetapi ditolak dengan alasan anggota polis mencukupi untuk mengawal keselamatan.
Bagaimanapun, dua kes yang terbaru di mana dua pegawal keselamatan ditetak di Damansara Perdana serta kes wanita hamil yang ditampar dan dirompak jelas membuktikan perlunya ada pasukan keselamatan tambahan untuk membantu polis mengawal keselamatan dan mencegah kejadian jenayah.
Niat Kerajaan Selangor ini murni iaitu menyediakan pasukan keselamatan bagi membantu dan melengkapi rutin harian anggota polis, bukannya mengambil alih tugas penguatkuasaan pasukan polis. Dengan peningkatan bilangan pasukan keselamatan yang diberi tugas rondaan dan pencegahan jenayah, keselamatan rakyat dapat dipertingkatkan.
“Kerajaan Selangor komited untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan ini dengan hasrat menyediakan persekitaran kehidupan yang aman selaras dengan misi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri idaman, tenteram dan berkebajikan,” kata Menteri Besar.
http://www.harakahdaily.my/pusat-perlu-terima-tawaran-kerajaan-negeri-tubuh-pasukan-polis-bantuanStrategi ‘sentuhan mesra’ polis
Dipetik daripada Utusan Malaysia Online.
SEBAGAIMANA perwatakannya yang mesra, Ketua Polis Selangor,
DATUK TUN HISAN TUN HAMZAH begitu komited menjayakan konsep ‘kepolisan masyarakat’ bagi mendekatkan anggota polis dan masyarakat dalam usaha menurunkan kadar jenayah. Di bawah terajunya, beliau memperkenalkan dua strategi iaitu Ops Payung dan kad sektor.
Wartawan Utusan Malaysia, HELMI MOHD. FOAD dan jurugambar, SHAHARANI SAIBI mendapatkan maklum balas mengenai strategi itu.
UTUSAN: Di bawah teraju Datuk sekarang, anggota polis di Selangor melaksanakan dasar turun padang dalam usaha memerangi jenayah. Contohnya, memperkenalkan Ops Payung. Boleh Datuk terangkan pendekatan ini.
Dalam NKRA, seperti di Pulau Pinang ia berasaskan kepada teknologi manakala di Selangor, kerajaan tetapkan bagaimana mahu meningkatkan lagi kepolisan komuniti.
Maksudnya cukup mudah iaitu public enggagement. Jadi, enam objektif NKRA antaranya adalah menurunkan kadar jenayah iaitu indeks jenayah dan jalanan serta menurunkan perasaan takut masyarakat serta penyertaan masyarakat.
Ini kerana memerangi jenayah bukan hanya tanggungjawab polis, sebaliknya mesti membabitkan kesedaran semua orang. Masyarakat sendiri perlu memastikan harta benda mereka tidak dibiarkan.
Polis akan membantu masyarakat tentang bagaimana mahu melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah.
Polis juga memberikan pendidikan bagaimana mengukuhkan sasaran seperti motosikal perlu mempunyai kunci tambahan atau semak samun di kawasan rumah dibersihkan dan diberikan pencahayaan.
Saya lihat kadangkala penjelasan melalui media atau televisyen tidak sampai ke bawah. Ada orang tidak baca akhbar dan menonton televisyen, sedangkan begitu banyak kempen disiarkan.
Saya fikirkan apa yang diperlukan masyarakat. Dalam kepolisan komuniti ini, masyarakat memerlukan kehadiran anggota polis. Berbeza dengan negara luar, mereka tidak perlu kehadiran anggota polis di merata tempat tetapi di negara ini, masyarakat hendak tengok polis baru rasa selamat.
Memandangkan anggota kita tidak cukup, maka kita perkenalkan Ops Payung. Pada dasarnya payung digunakan untuk melindungi panas dan hujan. Termasuk dalam konsep 4P yang diperkenalkan oleh IGP iaitu ‘perlindungan’. Mengapa payung dan bukan van, bas bergerak atau kereta?
Payung mudah dialihkan atau ‘mobile bit based’ dan ia rapat dengan masyarakat. Ia boleh diletakkan di kaki lima kedai.
Payung tidak akan diletakkan di sesuatu tempat yang sama setiap hari. Ia melihat kepada corak jenayah. Di situ masyarakat boleh membuat laporan dan jumlah anggota minimum biasanya tiga orang, dilengkapi alat komunikasi dan diari stesen.
Ketika beroperasi, dua anggota akan bergerak untuk bertemu masyarakat dan mendapatkan maklum balas tentang jenayah. Secara tidak langsung dalam tempoh enam bulan anggota polis dapat mengenali warga setempat di kawasan tersebut dan merapatkan silaturahim. Ini dinamakan sebagai rakan kongsi kepolisan.
Sebagai rakan kongsi, masyarakat akan tahu bagaimana hendak kawal harta benda mereka dan sampaikan maklumat kepada polis. Kalau kita beri ceramah dan pameran, dia tidak ada sentuhan peribadi dan polis tidak kenal khalayak sasaran mereka.
Apakah maksudnya masyarakat sebagai rakan kongsi polis?
Melalui Ops Payung, masyarakat akan memahami peranan mereka sebagai rakan kongsi kepolisan, mereka akan luahkan masalah dalam komuniti dia, seperti penagihan dadah dan anggota boleh beri nasihat apa yang perlu dilakukan masyarakat.
Kalau anggota itu tidak boleh selesaikan, dia boleh rujuk kepada pegawai atau ketua balai daerah (OCPD) seperti masalah kawasan gelap, OCPD boleh bangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya dibuat pencahayaan di kawasan tersebut.
Ini sesuai dengan konsep bandar selamat yang diterapkan dalam PBT. Ini satu bentuk tindakan proaktif kerana dengan cara itu identiti penjenayah lebih mudah dikenal pasti.
Bukan semata-mata serahkan masalah kepada polis tetapi berkongsi masalah itu bagi mencari jalan penyelesaiannya. Masyarakat ada pelbagai latar belakang, seperti ahli perniagaan, peguam dan pendidik, mereka boleh kongsi pengalaman mereka.
Kadangkala apabila kawasan menjadi bandar besar, masyarakat hidup terasing, tidak kenal jiran kerana masing-masing sibuk mencari duit. Ini cara polis rapatkan mereka.
Apabila cuti panjang, anggota dalam Ops Payung akan edarkan borang. Dari situ penduduk boleh kenal jiran mereka. Mereka boleh bantu kutip surat khabar atau surat-surat serta pamplet iklan. Sekali gus ini mengelak penjenayah mengenal pasti suatu kediaman ditinggalkan pemiliknya kerana bercuti.
Melalui Ops Payung juga, maklumat tentang jenayah dapat sampai dengan cepat dan tindakan pantas boleh diambil. Ada satu kes pecah kereta di Serdang, pemilik kereta telah bergelut dengan perompak dan orang ramai yang melihat kejadian itu terus memaklumkan kepada Ops Payung berdekatan.
Anggota telah berkejar ke tempat kejadian dan berjaya menangkap lelaki itu. Siasatan mendapati dia menggunakan motosikal curi dan beberapa kes pecah rumah dapat diselesaikan.
Dengan kehadiran polis di sesuatu tempat, ia juga dapat memecahkan corak jenayah.
Konsep kita, bila orang bergerak kita statik, bila masyarakat statik kita bergerak. Seperti di lapangan terbang dan pasar malam, masyarakat statik, jadi kita akan bergerak.
Bagaimana sambutan masyarakat apabila anggota polis lebih dekat dengan mereka?
Saya hendak tunjukkan kepada awak, ini salah satu e-mel yang saya terima, seorang penduduk berketurunan Singh, dia minta masyarakat melihat peranan polis yang sanggup bertugas ketika dalam hujan.
Katanya, mengapa kita tidak lihat dahulu polis sebagai manusia. Kita tolonglah tegur sapa dan ucapkan terima kasih. Lelaki Singh itu kata dia tolong beli air untuk anggota Ops Payung. Bukan bermaksud saya minta masyarakat belikan air tetapi tanda terima kasih yang mudah.
Ini beri pengiktirafan dan motivasi kepada anggota polis. Berbanding dulu, kalau nampak polis mereka buat tidak tahu sahaja.
Saya juga galakkan pegawai kanan melawat anggota dalam Ops Payung. Ini akan dapat tingkatkan moral anggota. Kalau pemimpin dan ketua jabatan turun, ini menunjukkan mereka diperhatikan. Kalau kita buat tidak tahu, lama-kelamaan dia akan bosan dengan kerja dia.
Dengan ada moral dan semangat, prestasi kerja mereka akan lebih baik, apatah lagi kalau ada masyarakat menegur sapa, ini menambah semangat dan menimbulkan kemesraan.
Kesannya anggota polis tidak akan melakukan perkara menyeleweng kerana dia segan orang sudah kenal dan masyarakat juga segan kerana hormati anggota polis yang ada di situ.
Di Selangor banyak kes berprofil tinggi seperti pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati, kematian Teo Beng Hock, selain suasana politik negeri. Apa strategi polis untuk mengembalikan kepercayaan masyarakat?
Selangor adalah negeri yang paling ramai penduduk iaitu kira-kira 5.4 juta dan terdapat ramai pekerja asing termasuk yang tiada permit. Ia kini diperintah oleh kerajaan negeri yang bukan dari Barisan Nasional (BN).
Sudah pasti ini menimbulkan suasana politik, ekonomi dan sosial yang pelbagai, jadi ini menjadi satu cabaran bagi kita.
Kes bunuh memang banyak dan kes samun memang berlaku tetapi kalau ia tidak dipolitikkan, kita boleh jalankan siasatan seperti biasa tetapi apabila ia dipolitikkan, kita perlu berhati-hati.
Kalau terdapat kes yang gagal dalam pertuduhan atau tidak boleh dituduh di mahkamah, besar akibatnya.
Seperti kes anggota polis memukul orang di Kota Damansara, ia dipolitikkan sedangkan bagi polis sama sahaja sama ada polis yang memukul atau orang awam. Pihak penyiasatan melihat perkara itu sama saja. Kita lihat siapa penjenayah tanpa membeza-bezakan latar belakang kaum dan kita mahu memberikan keadilan kepada mangsa dan juga orang kena tangkap. Kita tidak mahu menganiaya sesiapa.
Kita akan teliti apa keterangan yang ada. Seperti kes berprofil tinggi yang anda sebutkan tadi, sistem kerja kita ialah kumpulkan pegawai-pegawai polis berkelayakan seperti mereka yang mempunyai latar belakang guaman untuk bersidang diterajui oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah.
Mereka akan meneliti keterangan dalam kes berprofil tinggi tentang bagaimana kita dapat kemaskan siasatan. Ini membolehkan pendakwaan dijalankan dengan lebih mudah. Kita sepatutnya menyiasat dengan lengkap sebelum menyerahkan kepada pihak pendakwa raya.
Kalau sesuatu kes ada tendensi dipolitik maka polis akan siasat lebih teliti?
Kita tidak melihat sama ada sesuatu kes itu politik atau tidak, sebaliknya kita lihat sama ada wujud jenayah atau tidak. Kita lihat berdasarkan Kanun Acara Jenayah (CPC).
Kita tidak tengok kalau ada orang politik, baru kita siasat. Justeru, saya nasihatkan masyarakat supaya jangan beremosi politik dalam sesuatu kes jenayah.
Biar polis laksana tugas dengan adil, kita tidak melihat kaya atau miskin serta warna kulit. Kita sebenarnya buta warna. Dalam sesuatu operasi serbuan, kita tidak melihat majoriti kaum mana yang terlibat.
Saya rasa kagum kerana semangat itu masih dipegang teguh dalam pasukan polis, kita tidak lihat warna kulit atau fahaman. Kalau keluar operasi terpaksa bertempur, kita bertempurlah, soal balik atau tidak balik, itu soal lain.
(ruj: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)
2 comments:
salahnya disini adlah disebabkan selangor tu di bawah pakatan. memang sah...polis di negeri selangor kurang...kenyataan ini dibuat sendiri oleh KPN Selangor...
apakan daya ..politik tak selari dgn kerajaan pusat..maka kebaikan rakyat di abaikan... mayb kalu umno selangor mohon boleh diluluskan oleh kerajaan pusat.
Terima kasih. Saya tidak sokong mana-mana pihak. Yang penting sesuatu perkara itu hendaklah tidak ada unsur-unsur untuk mencari kelebihan politik.
Post a Comment