SAHABAT BLOG

15 December 2010

Kalau Melayu Tuan, Kenapa Hamba Lebih Mewah

perlembagaan Malaysia yang sedia ada telah dimaktubkan hak keistemewaan orang melayu . Saya tidak prejudis mengenainya bahkan mempertahankan hak bangsa dan berbangga dengan bangsa kita melayu juga adalah adalah suatu yang tidak bertentangan dengan Islam . Sebagaimana nabi saw sendiri berbangga sebagai bangsa arab Quraisy .Terutama majoriti penduduk negara ini ialah melayu dan mereka pula rata - ratanya masih perlu pembelaan kerana taraf hidup yang rendah angkara amalan kronisme dan dasar ekonomi yang korup oleh kerajaan UMNO dan BN sejak 53 tahun yang lalu."- Nasaruddin Tantawi

Saya bersetuju dengan kenyatan yang dikemukakan oleh Ketua Pemuda PAS berkenaan mempertahankan hak bangsa dan berbangga dengan bangsa melayu. Kenyataan Ketua Pemuda PAS ini jelas menyatakan bahawa beliau sedar bahawa bangsa melayu adalah bangsa majoriti dan juga bangsa yang mempunyai keistimewaan tertentu yang dinyatakan di dalam perlembagaan.Sehubungan itu tindakan para pemimpim UMNO mempertahan dan memperjuangkan bangsa melayu selama ini tidak salah. Pemimpin PAS sendiri tahu bahawa perasaan bangga dengan keturunan dan bangsa itu tidak bercanggah dengan sirah Nabi SAW.

Oleh yang demikian, hujah ini secara tidak langsung telah mendedahkan hipokrit para pemimpin PAS yang menolak mentah-mentah keutamaan untuk mempertahankan bangsa apatah lagi keistimewaan-keistimewaan yang diberikan oleh perlembagaan.

Walaupun Nasaruddin menolak ketuanan melayu tetapi pada pendapat saya, penolakan beliau disebabkan salah faham dan juga terikut-ikut dengan pemahaman pihak yang anti melayu yang mengandaikan bahawa ketuanan melayu bermakna tuan dan hamba sepertimana kata beliau:-

"Memperjuang dan mempertahankan hak bangsa yang saya maksudkan tidaklah menjadikan bangsa kita tuan dan bangsa lain pula hamba . Pertahankan hak bangsa kita malah berbangga menjadi bangsa melayu adalah suatu yang positif dan wajar namun jangan sekali - kali kita menzalimi bangsa lain serta tidak berlaku adil terhadap bangsa lain sekalipun berbeda agama justeru inilah yang dilarang."

Kekeliruan beliau dapat dibuktikan bilamana beliau mendakwa bahawa pemimpin UMNO telah berlaku zalim dengan bangsa lain. Alangkah mudahnya beliau membuat kesimpulan sedangkan adakah beliau faham konsep menzalimi dan dizalimi. Jika beliau tidak terlalu anti dengan UMNO dan BN, sudah tentu beliau dapat melihat kemewahan yang melimpah ruang yang dinikmati oleh pelbagai bangsa termasuk bangsa-bangsa yang dikatakan sebagai hamba. Pernahkah di dalam buku-buku sejarah mencatatkan bahawa seorang hamba itu lebih mewah dari tuannya. Apa yang dilihat sebagai zalim itu disebabkan usaha-usaha pemimpin UMNO hendak memberikan keadilan kepada semua rakyat terutama bangsa melayu sesuai dengan keistimewaan yang diperuntukkan kepada mereka.

Nasaruddin juga mencadangakan supaya ketuanan Islam diambilkira sebagaimana kata beliau:-

"C. ] Saya mencadangkan Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu tajaan UMNO dan BN .

Justeru Islam adalah agama Allah tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Allah swt , tuhan yang namanya mahu digunakan oleh seluruh agama samawi dalam negara kita . Islam pula bukan hak orang melayu sahaja , bahkan bangsa India dan China jauh lebih awal menerima Islam . Islam adalah agama yang adil untuk semua .

Islam dirujuk kepada kitab suci al Quranul Karim yang rata - rata pemimpin Pakatan Rakyat termasuk non muslim mula memetiknya untuk berhujjah justeru ia satu pengiktirafan kepada kebenaran yang dibawa oleh Islam . Islam adalah satu agama yang lengkap merangkumi semua persoalan hidup termasuk perkara yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti ekonomi , sosial , politik dan undang - undang , juga hubungan manusia dengan tuhan seperti ibadah ."

Tidak salah untuk mencadangkan ketuanan Islam kerana majoriti rakyat menganut agama Islam. Namun sedarkah beliau bahawa tidakkah nanti para penganut agaman lain akan beranggapan bahawa seolah-olah agama Islam itu adalah Tuan dan agama lain seperti Hindu, Kristian, Budha sebagai hamba. Masalah ini sebenarnya lebih besar implikasinya kerana sebagaimana kita ketahui melalui sejarah bahawa perbalahan antara agama ini bukan perkara baru dan musuh Islam lebih banyak berbanding musuh melayu. Jika kita menobatkan Islam sebagai tuan, ini akan menberikan satu imej yang tidak baik kepada para pelabur yang bukan beragama Islam dan setiasa anti dengan Islam. Oleh itu berbanding ketuanan melayu, ketuanan Islam bersifat lebih global dan kesannya sudah tentu bersifat global.

Kesimpulannya, ketuanan melayu sebenarnya mempunyai tafsiran yang berbeda-beda. Walaupun begitu tafsiran yang mengaitkan antara hamba dan tuan amat tidak tepat dan saya boleh katakan bahawa tafsiran sebegini adalah satu tafsiran yang zalim terhadap bangsa melayu. Hujah saya, jika melayu itu tuan dan bangsa lain itu hamba, kenapa lebih ramai hamba yang berstatus jutawan berbanding tuan mereka.

No comments: