SAHABAT BLOG

18 January 2010

Kembalikan Hak Negara Islam

Salam,

Apa akan jadi jika sekiranya peniaga-peniaga bukan muslim meletakkan tanda halal pada barangan mereka yang tidak ada pengesahan halal daripada JAKIM dengan alasan bahawa perkataan halal bukan hak sesiapa dan bukannya hak orang Islam atau JAKIM ( mungkin ada yang bawa ke Mahkamah). Bukankah ini akan mengelirukan umat Islam untuk menentukan mana satu makanan atau barangan yang betul-betul halal menurut syarak. Apakah motif jika berlaku sedemikian, tidak lain dan tidak bukan hendak mengelirukan umat Islam semata-mata. Begitu juga dengan penggunaan nama 'Allah" di Semenanjung Malaysia, semenjak sekian lama ianya tidak kedengaran digunakan di Semenanjung Malaysia, walaupun ada yang mendakwa telah digunakan sejak beratus tahun dahulu, kenapa sekarang ini mereka tiba-tiba sahaja hendak menwar-warkan penggunaannya. Salahkah jika sekiranya orang Islam mempunyai syak wasangka dan menaruh bimbang jika sekiranya ada niat dan motif tertentu disebalik semuanya ini?. Tidakkah ianya nanti akan mengelirukan umat Islam yang kita sedar bahawa masih ramai yang masih mempunyai imam senipis kulit bawang. Tidakkah nanti ada yang akan membuat andaian dan anggapan mudah bahawa agama lain selain Islam juga bertuhankan Allah, oleh itu apa bezanya jika mereka mengamalkan agama selain Islam kerana ianya juga agama yang bertuhankan Allah sedangkan mereka tidak tahu bahawa hanya Islam adalah satu-satunya agama yang diterima dan diredhai oleh Allah S.W.T. disisinya malahan Nabi Isa A.S. ataupun Yesus bagi orang Kristian pun akan mengamalkan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhamamd S.A.W. apabila Baginda kembali ke Bumi suatu hari kelak.

Saya bersetuju dengan komen-komen yang mengatakan bahawa para pemimpin Melayu Islam sekarang ini amat keliru untuk membuat keputusan-keputusan yang dilihat berpihak dan bertujuan membela dan mempertahankan kesucian Islam apatah lagi hendak bertindak dengan begitu drastic dalam mempertahankan Umat Islam dan Bangsa Melayu. Mereka tidak berani untuk mengambil keputusan yang tegas disebabkan hendak menjaga hati pengundi minority sedangkan diketika yang sama mereka tidak sedar bahawa pengundi monority ini ramai yang hanya berpura-pura. Dari segi politik tindakan pemimpin itu tidak salah kerana bagi tujuan mengekalkan kuasa, undi minoriti amat penting diketika undi majority telah berpecah, namun dari segi maruah dan prinsip perjuangan bangsa dan agama, tindakan sedemikian amat rendah martabatnya. Apa gunanya berkuasa jika sekiranya kita tidak dapat menggunakan kuasa itu bagi tujuan mempertahankan kedaulatan bangsa dan kesucian agama Islam khususnya.

Ketegasan amat diperlukan bagi membela dan mempertahankan nasib bangsa dan agama Islam khususnya. Sikap terlalu banyak tolenrasi disebabkan takut hilang undi akan merugikan bangsa dan melemahkan agama Islam khususnya. Ini bumi Islam dan menjadi wajib bagi para pemimpin Islam sedar akan hak-hak sebagai sebuah Negara Islam yang berdaulat. Kembalikan hak-hak tersebut diketika masih berkuasa.

No comments: