CATATAN PERIBADI

21 January 2009

uLASAN P036 KTR UNTUK BLOG DSKT

Assalamualaikum

Saya tertunggu-tunggu posting Dato’ Seri berhubung kekalahan BN di P036 KT. Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua calon yang bertanding kerana mereka berjaya mengharungi tempoh kempen dengan tabah dan tanpa insiden-insiden besar yang mampu menggugat keharmonian Negara kita. Mungkin kurang manis saya mengucapkan tahniah kepada calon yang menang dalam blog Dato’ tetapi inilah hakikat demokrasi. Apa-apa pun saya mengharapkan kepada calon yang kalah supaya menjadikan kekalahan ini sebagai satu ikhtibar dan membuat bedah siasat.

Berbalik kepada P036, saya tidak hadir disana samada sebagai pemerhati ataupun sebagai petugas kempen, tetapi saya sentiasa mengharapkan agar calon yang bakal terpilih dapat menjalankan amanah mereka dengan berkesan agar segala janji-janji yang dilontarkan semasa kempen dapat dipenuhi. Sebagai seorangyang berminat dengan politik tanahair, saya bergantung harap sepenuhnya kepada laporan-laporan yang dibuat oleh media arus perdana Negara untuk mengikuti perkembangan semasa politik tanah air terutama apabila adanya pilihanraya.

Peranan Media

Media tempatan samada media elektronik dan media cetak telah memainkan peranan yang cukup besar kepada program-program kempen yang dijalankan pada setiap pilihanraya diadakan. Laporan-laporan yang disiarkan walaupun ada diantaranya tidak mempunyai nilai berita, tetapi ianya memberikan kesan dan implikasi yang cukup besar kepada perasaan dan emosi pengundi. Namun demikian, saya cukup sedih dan rasa geram kerana sikap tidak matang dan tidak professional media arus perdana dalam melaporkan sesuatu berita. Seperti sudah menjadi amalan dan kebiasaan yang tidak boleh diubah, boleh dikatakan hampir 90% berita-berita yang dilaporkan berpihak kepada kerajaan. Ekoran daripada itu, ramai di kalangan pengundi yang tidak dapat membuat perbandingan secara matang sedangkan sebagai sebuah Negara demokrasi yang mana pemimpinnya dipilih oleh rakyat, mereka sepatutnya diberikan maklumat-maklumat yang tepat dan sahih. Tugas dan peranan untuk melaporkan maklumat-maklumat ini adalah menjadi tanggungjawab media-media rakyat. Namun demikian, media tempatan tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah dan jujur, hasilnya kebanyakan daripada berita-berita yang keluar disebelah pihak kerajaan adalah berita yang mengandungi unsur-unsur kebaikan manakala berita-berita di sebelah pihak pembangkang kebiasaannya mengambarkan berita-berita yang tidak enak didengar.

Ekoran daripada itu rakyat ini telah menanam secara halus sikap meluat dan benci mereka kepada kerajaan. Hasilnya, wujudlah blog-blog persendirian yang memamparkan berita-berita disebelah pihak pembangkang. Blog-blog ini semakin hari semakin porpular dan jika dikaji dengan lebih mendalam, hampir separuh daripada berita yang dilaporkan adalah berita-berita yang boleh dipertikaikan. Tetapi para bloger ini begitu rancak menulis berita-berita sensasi dan dengan tidak bertanggungjawab disebabkan mencari porpulariti.

Persoalannya, kenapakah sikap berat sebelah media rakyat ini terjadi. Adakah semua media-media perdana seperti stesen televisyen, akhbar-akhbar utama ini dikuasai sepenuhnya oleh parti BN. Jika jawapannya adalah “yes”, maka sepatutnya dan sewajarnya akhbar-akhbar dan stesen-stesen televisyen ini menghadkan penyiaran kepada ahli-ahli parti sahaja sebagaimana dilakukan kepada akhbar Harakah. Saya percaya, ada di antara rakyat yang mula membenci dan meluat kepada kerajaan BN disebabkan sikap tidak matang para pengamal media ini. Walaupun Menteri Penerangan kelihatannya cuba untuk mengubah, tetapi nampaknya masih belum berhasil. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan jika BN hendak mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

Membawa jawatan semasa berkempen

Setiap kali pilihanraya diadakan samada yang kecil ataupun umum, para pemimpin daripada pihak kerajaan akan berusaha dengan segenap tenaga bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Dalam ghairah berkempen itu, mereka tidak sedar bahawa mereka telah menggunakan kemudahan-kemudahan yang sebenarnya bukan hak parti mereka. Walaupun sering kali diingatkan oleh parti pembangkang, tetapi mereka seolah-olah menafikan dan mencari pelbagai alasan untuk membenarkan ataupun menjadikan perbuatan mereka itu sebagai satu perbuatan yang sah. Bukanlah sesuatu yang hairan dan luarbiasa, apabila setiap kali kempen berlangsung, para pemimpin kerajaan akan meluluskan pelbagai projek-projek, menggunakan segala kesempatan yang ada atas nama jawatan-jawatan dalam kerajaan mereka untuk berkempen. Tidakkah mereka tahu bahawa projek-projek yang mereka luluskan itu ataupun peruntukkan-peruntukkan yang dihamburkan itu adalah sebenarnya duit rakyat dan bukannya duit parti mereka. Tidak salah jika ada pemimpin pembangkang yang mendakwa bahawa kempen di P036 KT seperti peperangan antara Israel dan Hamas. Ini bukanlah bermakna BN itu seperti Israel, tetapi kekuatan mereka yang mereka miliki berbanding kekuatan PAS seumpama Kekuatan ketenteraan Israel berbading kekuatan tentera Hamas. Pihak BN akan menggunakan pelbagai kemudahan atas nama jawatan mereka seperti mengadakan perjumpaan dengan kakitangan kerajaan, meluluskan pertukaran nama Maktab Perguruan, Sekolah, Meluluskan projek perumahan, memecah tanah disana-sini dan sebagainya. Tidakkah mereka sedar bahawa, perbuatan-perbuatan ini sebenarnya sudah lapuk dan semakin meluat dimata rakyat serta menjemukan kepada sesetengah pihak.

Memang tidak dinafikan, setiap kali pilihanraya kecil diadakan, penduduk setempat akan memperolehi pelbagai projek pembangunan segera dan ada pihak yang mengharapkan agar ditempat mereka juga akan ada pilihanraya kecil. Namun akhirnya, kekalahan juga yang BN perolehi. Ini adalah budaya BN sebagai kerajaan dalam menjalankan strategi kempen mereka. Mereka tidak pandai untuk merancang strategi lain selain strategi mengumpan pengundi dengan pembangunan, sehinggakan pembangunan yang ditawarkan itu ada yang tidak munsabah dan tidak berada dalam senarai keutamaan. Sepatutnya, para pemimpin kerajaan dalam pilihanraya kecil hendaklah datang berkempen dengan membawa jawatan mereka dalam parti. Jika mereka datang kerana keperluan jawatan mereka dalam kerajaan, mereka tidak boleh sekali-kali menggunakan platform itu untuk berkempen. Jawatan mereka dakam kerajaan tidak boleh sama sekali digunakan sebagai modal untuk berkempen. Mereka hendaklah secara gentlemen berkempen dengan membawa imej, modal dan peruntukkan parti. Tidak ada sebarng projek yang dibenarkan diluluskan sepanjang kempen berlangsung, tetapi mereka boleh berjanji jika memenangi sesuatu kerusi barulah projek-projek itu akan terlaksana. Jika kalah, mereka tidak akan didakwa sepertimana berlaku di Pulau Pinang semasa Permatang Pauh dimana ada penduduk mendakwa Timbalan Perdana Menteri mungkir janji. Bagi saya, jika kalah, janji tersebut tidak ada kewajipan untuk ditunaikan.

Di P036 KT, BN tidak ditolak dan masih lagi diterima oleh rakyat. Begitu juga calon yang bertanding . Jika BN ditolak ataupun calon tidak diterima oleh rakyat, saya percaya majoriti akan lebih besar diperolehi oleh PAS. Kalau melihat kepada majoriti yang diperolehi, saya percaya terdapat isu-isu kecil yang menyebabkan 2 ribu lebih pengundi tidak menyokong BN dan memberikan sokongan mereka kepada PAS. Saya percaya antara isu-isu yang sering terlepas pandang oleh para pemimpin BN adalah seperti yang saya kupaskan di sini.

No comments:

Post a Comment