SAHABAT BLOG

28 October 2008

pESTA bOLA mERDEKA

Pada hari Sabtu 26/10/2008 yang lepas, aku telah ke Stadium Putra Bukit Jalil untuk menonton perlawanan Akhir Kejohanan Pesta Bola Merdeka kali ke 40. Aku pergi seorang diri menaiki STAR LRT dari Bandar Tasik Selatan ke Bukit Jalil. Perjalanan lebih kurang 10 minit. Aku berkeyakinan penuh bahawa Malaysia akan mengalahkan Vietnam kerana dalam perlawanan peringkat kumpulan hingga ke perlawanan Separuh Akhir, Malaysia tidak pernah tewas dan yang membanggakan jumlah jaringan yang dikumpul oleh sekuad Malaysia di bawah pimpinan Sathianathan ialah 18 gol dan tanpa dibolosi. Fakta ini begitu menarik minat aku untuk meramalkan kemenangan akan berpihak kepada pasukan Malaysia. Tetapi kusangka panas sampai kepetang rupa-rupanya banjir di tengahari. Malaysia akhir tunduk kepada pasukan budak-budak Vietnam dengan kekalahan 6-5 dalam sepakan penalty setelah kedudukan terikan tanpa jaringan sehingga ke masa tambahan.

Merujuk kepada perlawanan tersebut,ada beberapa perkara yang ingin aku catatkan disini:

1. Kehadiran penonton kurang memuaskan dimana 1/3 sahaja Bahagian Stadium penuh. Ini bermakna lebih kurang dalam 25,000 orang yang hadir. Jumlah init sebenarnya sudah memadai untuk meniupkan dan menaikkan semangat pasukan Malaysia kerana jumlah penonton Vietnam aku fikir hanya berjumlah tak sampai 500 orang sahaja. Penonton bukanlah alasan kepada kekalahan pasukan Malaysia. Berhubung penonton ini, saya dapati ada sebahagian penonton yang masih tidak dapat menjaga disiplin. Banyak botol-botol air dilemparkan ke tengah padang dan hampir kena kepada para pemain dan penjaga garisan. Pasal botol air ini, yang kelakarnya, semasa penonton nak masuk ke dalam Stadium, polis yang menjaga pintu masuk tidak membenarkan penonton membawa masuk botol kerana takut di lemparkan kearah pemain dan pegawai padang ( memang dilempar pun), tetapi sebaik sahaja masuk ke dalam Stadium dan di waktu rehat, berlambak botol mineral air yang dijual. Jadi apa rasionalnya polis menghalang bawa masuki botol air diperingkat awal itu? Lagi satu pasal penonton yang memasang mercun. Bunyi mercun begitu bising dan mengegarkan Stadium. Nasib baik ditempat aku duduk tidak ada yang melempar mercun. Kalau tidak aku tak tahulah apa yang terjadi kepada keluarga yang membawa kanak-kanak. Ini satu sikap kurang ajar para penonton kita. Mereka hendak meniru penonton di Amerika Selatan agaknya?

2. Yang kedua pasal perlawanan. Aku dapati jurulatih Malaysia telah silap membuat strategi. Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Sathia telah menggunakan formula 5-4-1. Formula ini mementingkan pertahanan dan Bahagian tengah untuk membantu penyerang tunggal. Formula ini sesuai untuk berhadapan pasukan yang tidak bermain untuk seri dan ternyata menjadi kepada Malaysia. Tetapi dalam perlawanan akhir menentang Vietnam. Sepatutnya Sathia mengetahui bahawa Vietnam akan cuba bermain secara defensive untuk seri sahaja kerana mereka mempunyai keyakinan bahawa peluang mereka lebih cerah jika perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti. Oleh kerana Sathia menggunakan formula 5-4-1 dalam kebanyakan masa permainan 120 minit tersebut, maka aku dapati penyerang tunggal iaitu Safee Ali tidak mempunyai ruang yang selesa untuk melakukan larian dan meloloskan diri. Ini disebabkan tiada penyerang lain yang perlu diberi perhatian oleh pertahanan Vietnam. Oleh itu, Safee mengharapkan hantaran-hantaran silang dari tepi padang. Kecekapan penjaga gol Vietnam untuk menangkis hantaran silang telah menyebabkan Malaysia tenggelam punca. Bagi merubah taktik, Indraputera telah dibawa ketengah bagi membantu Safee dan memasukkan Ashari untuk mengambil alih tempat Indraputera di posisi sayap kiri. Ternyata strategi ini kurang berjaya kerana Ashari kerap kehilangan posisi dan ini memberikan kelegaan kepada pasukan Vietnam. Ternyata strategi Vietnam menjadi manakala Strategi Malaysia silap. Sepatutnya Malaysia menukar Strategi kepada 4-4-2 setelah melihat corak permainan Vietnam. Aku percaya, jika Sathia cepat menukar strategi, Malaysia boleh berjaya pada malam tersebut.

3. Yang ketiganya pasal masa kejohanan ini di adakan. Namanya Pesta Bola Merdeka bermaksud sempena kemerdekaan Malaysia. Tetapi masalahnya ianya dianjurkan dalam bulan Oktober sedangkan Bulan Kemerdekaan Negara berakhir pada 16 September setiap tahun. Aku pun hairan kenapa lambat sangat kejohanan ini di adakan seolah-olah ada suatu sebab yang tidak boleh dielak hingga menyebabkan kejohanan ini diadakan lewat atau diluar bulan-bulan kemerdekaan. Bukan apa, tidak kena rasanya. Mood Merdeka rakyat sudah habis atau tiada lagi dalam bulan-bulan selepas bulan kemerdekaan. Sambutan kemerdekaan juga telah tiada, tiba-tiba ada pulak kejohanan sempenan Kemerdekaan. Ini mengarut namanya. Aku tak tahulah apa yang ada dalam kepala pihak FAM yang menjadi penganjur kejohanan ini.

4. Ke empatnya, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak STAR LRT kerana sikap kerjasama mereka pada malam itu dan malam-malam lain mungkin. Tren terakhir mungkin sepatutnya habis pukul 12.00 malam. Aku kebetulan menaiki tren terakhir dan aku dapati sikap kerjasama pihak RapidKL pada malam itu terserlah. Mereka menunggu hampir 30 minit di Stesen Bukit Jalil bagi memastikan penonton khususnya dapat balik. Kebiasaanya mana ada tren tunggu sampai begitu lama. Paling lama pun mungkin 5 minit. Jadi aku fikir sikap begini patut dipuji kerana secara tidak langsug pihak RapidKL pun menyokong bolasepak Negara.

Inilah perkara-perkara yang ingin aku cakapkan pasal perlawanan Malaysia VS Vietnam dalam perlawanan ahkir Kejohanan Pestabola Merdeka kali ke 40 tahun 2008. Walau kalah, aku tidak serik untuk hadir lagi jika da perlawanan yang membabitkan pasukan Malaysia dan Terengganu.

No comments: