CATATAN PERIBADI

07 July 2008

HADIAH WANG JEMAAH DI MASJID

Mungkin sukar untuk kita menafikan kaitan wang dengan sesuatu perkara termasuk dalam soal ibadat. Korban pun memerlukan wang, zakat juga memerlukan wang, menunaikan fardhu haji juga memerlukan wang. Oleh kerana begitu eratnya kaitan wang dengan ibadat, maka saya ingin mengemukan satu idea yang mungkin tidak pernah terfikirkan oleh sesiapa.

Besarkah faedahnya kita mendirikan begitu banyak masjid sedangkan diketika yang sama jemaah yang mengimarahkan masjid tersebut semakin berkurangan. Mana lebih besar faedah jika membelanjakan wang untuk mendirikan masjid-masjid itu digunakan untuk menarik lebih ramai jemaah datang mengimarahkan masjid yang sedia ada. Adakah kita kekurangan masjid hinggakan setiap tahun ada sahaja masjid baru didirikan. Tetapi saya percaya yang pasti kita sentiasa sahaja menghadapi kekurangan umat Islam datang berjemaah di setiap waktu.

Oleh yang demikian, saya cadangkan supaya pihak kerajaan negeri memperuntukkan sebahagian daripada wang perbelanjaan untuk pembangunan umat Islam dengan memberikan hadiah wang tunai kepada mereka yang pergi sembahyang di masjid. Ini bermakna mereka yang pergi sembahyang di masjid akan diberikan ganjaran wang tunai daripada kerajaan. Jumlah ganjaran yang diberikan bergantung kepada kerajaan. Contohnya sembahyang subuh mungkin kita hadiahkan lebih sikit berbanding sembahyang Maghrib dan Isyak. Allah sendiri memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding sembahyang dirumah.

Oleh itu tidak bolehkah kita memberikan mereka juga ganjaran, sebagaimana kita memberikan ganjaran kepada Imam dan Bilal. Imam dan Bilal juga mendapat ganjaran daripada Allah dan diketika yang sama kerajaan negeri juga memberikan mereka ganjaran.

Saya yakin, apabila kita melaksanakan program ini, akan ramai dikalangan anak-anak muda kita yang akan datang ke Masjid untuk berjemaah. Mungkin ada di antara mereka yang seumur hidup tidak pernah berjemmaah dimasjid kecuali sembahyang Jumaat dan Hari Raya akan turut hadir berjemaah masjid. Kita akan lihat banyak masjid yang selama ini kosong dan sepi dan ada yang diimarahkan oleh cicak dan haiwan lain akan berseri semula. Imam-imam akan begitu teruja dan bersemangat untuk mengimamkan makmum yang begitu ramai.

Adakah Negeri kita akan menjadi miskin disebabkan begitu ramai orang datang sembahyang ke masjid. Adakah Negara kita akan kekurangan wang disebabkan begitu ramai orang yang akan datang berjemaah dimasjid setiap waktu.

Saya percaya apabila program memberikan ganjaran kepada mereka yang berjemaah di masjid ini diamalkan , maka kita akan banyak masalah-masalah sosial di kalangan anak muda kita akan dapat diatasi.

No comments:

Post a Comment