SAHABAT BLOG

04 September 2013

Akhirnya Hatijah Bertaubat

KUALA LUMPUR: Dalam  satu perkembangan yang mengejutkan, balu bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Ustaz Asaari Muhammad yang juga Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam mengumumkan bertaubat dan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan kumpulan tersebut.

Dalam tiga pucuk surat yang diemel kepada Harakahdaily, Hatijah (gambar), Timbalan Pengerusi GISB, Rasidi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Lokman Hakim memohon maaf kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), polis, akhbar, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Kerajaan Malaysia kerana melanggar fatwa, memutuskan silaturrahim dan bersangka buruk.

"Bahawa kami GISB mengaku bersalah dan sanggup bertaubat dan bersumpah atas nama Allah! Sekiranya perkara ini diragui kebenarannya.

"Mohon pihak tuan aturkan apa sahaja program untuk mempastikan kami benar-benar selamat dari ajaran sesat ini!" kandungan surat bertajuk Memohon Maaf Kepada Pihak Berwajib itu dipetik.

Dalam surat yang berlainan Hatijah, Rasidi dan Lokman menggariskan 10 langkah yang bakal diambil GISB untuk bertaubat dan mematuhi fatwa (berhubung Aurad Muhammadiah).

Antaranya  menulis surat memohon maaf kepada Majlis Fatwa, Jakim dan Jais; mengeluarkan surat sumpah dan upacara sumpah; melupuskan bahan-bahan rujukan (ajaran Aurad Muhammadiah); menganjurkan program kesedaran untuk seluruh anggota GISB; dan melaksanakan program pemantauan.

GISB juga akan membebaskan ahli-ahli yang dikuarantin; mempertemukan pasangan suami isteri yang terpisah; mengirim surat permohonan maaf kepada pihak-pihak terbabit; mengamalkan zikir dan wirid yang dibenarkan Jakim dan menyiarkan langkah-langkah yang diambil melalui media massa.

Aurad Muhammadiah yang diamalkan  bekas pengikut kumpulan Al-Arqam dan juga anggota GISB telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Fatwa berhubung Aurad Muhammadiah telah  diwartakan pada 5 Ogos 1994.

1 comment:

Xpas said...

Harap tak bertaqiyah, sedih melihat yg zahirnya tekun beragama tp tersasar.