SAHABAT BLOG

12 September 2012

Rakyat Selangor Saman Kerajaan Negeri

Rakyat saman MB Selangor




KAMARUDIN yang mewakili 711 plaintif bercakap kepada para wartawan selepas memfailkan saman tuntutan terhadap kerajaan negeri Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seramai 711 pengguna air di Selangor memfailkan saman terhadap tiga pihak bagi mendapatkan tunggakan subsidi air berjumlah RM405,270 di bawah skim air percuma yang dijanjikan kerajaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Tiga pihak yang dinamakan sebagai defendan itu ialah kerajaan negeri Selangor selaku defendan pertama; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar kecil) (defendan kedua) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai defendan ketiga.

Seorang penduduk Pangsapuri Seksyen 7, di sini, Sahari Basri, 65, selaku plaintif bersama 710 pengguna air di negeri itu, memfailkan tuntutan di kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kamarudin & Partners kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kira-kira 100 pengguna air, ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) hadir mengiringi pengguna air di negeri itu dan peguam, Kamarudin Ahmad.
Turut hadir Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya pada Mac 2008, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat di negeri itu untuk memberikan air percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik sekiranya defendan pertama menang pilihan raya tersebut.

Plaintif mendakwa, berdasarkan manifesto defendan pertama tersebut, setiap pengguna air domestik di negeri itu yang mempunyai akaun bekalan air dengan defendan ketiga layak menerima subsidi sebanyak RM11.40 sebulan, tidak kira sama ada pengguna menggunakan meter air individu atau pukal.
Malah dakwanya lagi, defendan pertama telah memulakan Skim Air Percuma kepada pengguna air domestik di negeri Selangor pada 1 Jun 2008.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa tidak menerima subsidi tersebut memandangkan tiada sebarang potongan bil yang dikeluarkan oleh defendan ketiga.

Dalam pernyataan itu juga, plaintif turut mendakwa, pihak defendan bersikap cuai dan tidak bersungguh-sungguh dalam menukarkan meter pukal kepada meter individu menerusi Program Penukaran Meter Individu di Selangor.

Sehubungan itu, pihak defendan menuntut agar satu deklarasi bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan oleh defendan pertama merangkumi semua pengguna air di negeri itu tanpa mengira jenis meter.
Plaintif turut menuntut jumlah ganti rugi sebanyak RM405,270 daripada defendan pertama atau ketiga dan faedah kadar empat peratus setahun dari tarikh penfailan sehingga penyelesaian penuh dan apa-apa relif tambahan yang dianggap sesuai oleh mahkamah dan kos.

COKAM: Kalau tak silap aku, tahun 2008, pernah ada seorang pemuda yang saman kerajaan selangor kerana mungkir janji manifesto. Aku cari-cari berita pasal perkara tersebut tetapi tak jumpa. Aku tak tahu apa dah jadi dengan saman pemuda berkenaan.

Kes rujukan kerana tak tunai janji manifesto belum ada lagi setakat ni. Pasal tu parti politik tak takut untuk janji macam-macam. Jika sekiranya Mahkamah memutuskan kemenangan kepada rakyat, maka ianya akan menjadi kes rujukan di masa-masa yang akan datang. Kalau di rujuk kepada kes-kes yang berhubung dengan kontrak ataupun iklan produk, banyak kes boleh dijadikan rujukan. Bagi aku, manifesto ni merupakan janji ataupun kontrak bertulis antara pihak yang membuat janji iaitu parti politik dengan rakyat. Kerajaan hendaklah mengotakan janji manifesto mereka. Jika tidak mereka telah melanggar kontrak dan boleh didakwa di mahkamah.

Aku berdoa semoga Kerajaan Selangor kalah dalam saman ini.

No comments: